PRK Kemaman: Peluang Pas cerah, tapi jangan ambil mudah

PRK Kemaman: Peluang Pas cerah, tapi jangan ambil mudah

PAS mempunyai potensi yang besar untuk sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Kemaman. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 29 Oktober hingga 17 November lalu, kumpulan penyelidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) melaksanakan satu kaji selidik bertajuk Kecenderungan Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menerusi temu bual secara dalam talian dan secara tatap muka.

Kaji selidik yang menggunakan teknik persampelan rawak berstrata untuk pemilihan responden ini melibatkan seramai 1,356 pengundi berdaftar bagi Parlimen Kemaman (P.040) iaitu 285 orang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik (N.29), 294 orang bagi DUN Kijal (N.30), 391 orang bagi DUN Cukai (N.31) dan 386 orang bagi DUN Air Putih (N.32). Responden yang dipilih ini juga adalah representatif kepada pengundi berdaftar bagi bahagian pilihan raya ini dari sudut kumpulan etnik, umur dan jantina.

Selain untuk mengenal pasti faktor-faktor utama yang menjadi pertimbangan pengundi dalam menentukan undi mereka, kaji selidik ini juga melihat peluang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam PRK; mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan gabungan PH-BN serta turut membandingkannya dengan tahap penerimaan rakyat terhadap Menteri Besar Terengganu dan kerajaan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan kaji selidik ini, 68 peratus responden bersetuju bahawa calon dipertaruhkan dalam PRK ini hendaklah terdiri daripada muka baharu yang aktif dalam parti dan berpendidikan tinggi berbanding 15 peratus responden tidak bersetuju.

Secara lebih spesifik, nama calon yang menjadi pilihan utama responden untuk mewakili Pas mengikut kaji selidik ini ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, manakala pilihan utama responden untuk mewakili UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Mengenai kekalahan teruk UMNO di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan peringkat negeri baru-baru ini, 53 peratus responden berpendapat bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah puncanya, diikuti 27 peratus responden berpendapat puncanya ialah Datuk Seri Ahmad Said. Responden berpendapat kedua-dua mereka perlu ditukar.

Sejumlah besar, iaitu 63 peratus responden juga berpendapat calon UMNO akan mengalami kekalahan lebih teruk dalam PRK ini berbanding kekalahan calon UMNO bagi kerusi ini pada PRU15. Hanya 14 peratus responden berpendapat UMNO tidak akan kalah lebih teruk.

Kemungkinan kekalahan UMNO ini juga amat berasas jika dibandingkan dengan beberapa dapatan lain dalam kaji selidik ini. Antaranya, hanya 21 peratus responden yang berpuas hati berbanding 62 peratus tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

DRASTIK

Dapatan ini dilihat berwibawa kerana selari dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 hingga 24 Oktober lalu yang menunjukkan tahap ketidakpuasan hati rakyat dengan prestasi Anwar sudah naik menjadi 43 peratus.

Sebaliknya, 70 peratus responden di Kemaman berpuas hati dengan prestasi Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar berbanding hanya sebilangan kecil, iaitu tujuh peratus yang tidak berpuas hati.

Majoriti, iaitu 63 peratus responden juga tidak bersetuju dengan kerjasama antara PH dan BN berbanding 19 peratus bersetuju. 61 peratus responden pula berpendapat, kehidupan mereka tidaklah bertambah baik selepas PH-BN memerintah negara berbanding hanya 15 peratus berpendapat sebaliknya.

Tambahan pula, 44 peratus responden juga tidak yakin Kemaman akan membangun dengan lebih drastik jika calon BN memenangi PRK ini berbanding 23 peratus yang yakin menyebabkan janji pembangunan tidak mampu digunakan dengan berkesan di Kemaman.

Pada 18 November lalu, sah Pas menamakan Ahmad Samsuri sebagai calonnya manakala UMNO menamakan calon lain untuk mewakilinya, iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Walaupun mungkin dengan menamakan calon langsung daripada bekas pegawai tinggi kerajaan ini ada kelebihannya tersendiri, namun berdasarkan kaji selidik ini, UMNO harus sedar bahawa majoriti pengundi mahukan calon yang aktif dalam parti serta dekat dan selalu bersama mereka.

Tindakan Pas/Perikatan Nasional (PN) memilih Ahmad Samsuri sebagai calon pula dilihat lebih tepat dengan kehendak majoriti pengundi, tambahan pula Menteri Besar Terengganu ini diakui mempunyai keperibadian yang baik dan suka menyantuni semua pihak sama ada kawan mahupun lawan.

Pemilihan beliau juga dilihat sangat strategik untuk memastikan hak Terengganu dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan di Parlimen sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh Pas di peringkat nasional. Berdasarkan tinjauan umum juga mendapati kebanyakan rakyat sememangnya melihat dan menyokong pemilihan beliau bagi mempersiapkannya sebagai antara pemimpin utama negara demi masa depan yang lebih baik.

Menggesa Ahmad Samsuri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk bertanding dan jika memenangi PRK ini juga adalah tuntutan tidak berasas. Perlu disedari bahawa Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang juga adalah ahli Parlimen dan suara mereka di Parlimen dianggap penting.

Kesimpulannya, Pas mempunyai potensi yang besar untuk sekali lagi memenangi kerusi ini. Bagaimanapun, dengan 20 peratus responden tidak pasti akan keluar mengundi atau tidak dan enam peratus responden lagi tidak akan keluar mengundi, Pas tidak boleh mengambil mudah mengenai peratusan keluar mengundi terutamanya dalam memastikan pengundi luar pulang mengundi. – UTUSAN

Eikhwan Ali ialah Ketua Jabatan Pengurusan Strategik & Advokasi Dasar di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini