BERMULA di Zon Selatan, Tengah dan Utara Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan meneruskan konvensyen khasnya di Sibu pada 5 November ini.
Penganjuran konvensyen itu bertujuan membolehkan ahli-ahli PBB didedahkan kepada dasar ekonomi baharu yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selain itu, ahli-ahli juga berpeluang mendalami dasar ekonomi baharu yang merupakan inisiatif kerajaan GPS untuk menumpukan serta menaik taraf pendapatan isi rumah menerusi pembangunan infrastruktur seperti bekalan air, api dan kesambungan jalur lebar secara menyeluruh di setiap pelusuk bahagian negeri ini.
Sejak pernah menjadi parti pembangkang satu ketika dahulu, GPS tidak hanya meletakkan kerajaan pusat untuk menjadi king maker, sebaliknya melaksanakan beberapa inisiatifnya tersendiri agar kepentingan rakyat sentiasa diutamakan sekali gus membuat dasar dan keputusan.
Malah ketika kerajaan Persekutaun ditadbir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Sarawak melangkah dengan berhati-hati terhadap keputusan yang dibuat kerajaan ketika itu.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bersatu pernah menyatakan partinya tidak berhasrat meletakkan calon di mana-mana kerusi yang dipertandingi GPS sebagai tanda hormat hubungan baik antara parti mereka. Bagaimanapun, ketika mengumumkan calon bagi kerusi di Sarawak, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya meletakkan empat calon dengan tiga daripadanya mewakili Bersatu dan seorang lagi calon Pas.
Salah satu kerusi yang dipertandingkan parti itu iaitu Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju berjaya pertahankan kerusi tersebut dengan menunjukkan peningkatan dengan majoriti 8,826 undi, berbanding PRU14 yang hanya meraih 989 undi sahaja.
Dalam keputusan PRU15 itu, Ali berjaya mendapat 19,223 undi, manakala calon GPS Giendam Jonathan Tait memperoleh 10,397 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Ibil Jaya Mundat meraih 1,221 undi.
Dengan keputusan tersebut, Ali berjaya mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal kedua dan menjadi calon tunggal dari Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mendapat kerusi Parlimen di Sarawak. Itu salah satu perkara yang dimungkiri Bersatu dalam politikingnya di Sarawak selepas pentadbiran kerajaannya diambil Perdana Menteri ke sembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, keputusan PRU15 membawa kemenangan 82 kerusi PH, PN (73), manakala Barisan Nasional (BN) (30), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Parti Warisan (3), Bebas (2) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.
TITAH YDPA
Keputusan PRU15 menyaksikan tidak ada parti mahupun blok parti politik yang berjaya mendapat majoriti sekali gus menyebabkan Parlimen tergantung.
Disebabkan itu, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan gabungan PN dan PH untuk mengadap. Setelah selesai majlis menghadap, PN melalui Muhyiddin memaklumkan beliau menolak titah Yang di-Pertuan Agong tentang idea penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi PH pula iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan kepada idea penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Seterusnya Istana Negara menitahkan 30 Ahli Parlimen BN menghadap secara bergilir.
Sehingga ke giliran GPS, parti itu dengan 23 ahli Parlimen juga mengumumkan perubahan sokongan kepada Anwar untuk bersama PH dan BN.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyatakan kekesalan kerana tertipu dengan mainan pihak tertentu yang menggambarkan BN menyokong menyertai gabungan PN.
Atas semangat setiakawan antara dua parti GPS dan BN, maka GPS akur dengan gabungan bagi membentuk kerajaan Perpaduan dipimpin oleh Perdana Menteri. Pada masa sama komited mewujudkan situasi politik yang terus stabil dan kukuh demi pembangunan negara yang maju dan mampan.
Daripada langkah PBB mewakili GPS dapat dinilai bahawa mana-mana parti Semenanjung tidak berupaya menjadi kingmaker kepada keputusan melibatkan parti tempatan.
Ia membuktikan bahawa parti ‘Malaya’ sukar bertapak di Sarawak bagi menjaga Bumi Kenyalang yang mana kelaknya akan memberi impak besar kepada kestabilan politik dan pembangunan sosioekonomi rakyat.
Sehubungan itu, jentera parti utama GPS iaitu PBB terus komited memperjuangkan hak anak negeri dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan penambahan kawasan Parlimen baharu di Sarawak selaras dengan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Abang Johari dibantu oleh Timbalan Presiden PBB yang juga Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, membangkitkan cadangan tersebut untuk mewujudkan beberapa kawasan yang sudah pun diusulkan.
Katanya kajian untuk memohon penambahan kawasan Parlimen di Sarawak, bukan sahaja di kawasan Betong tetapi seluruh negeri.
Selain itu, Sarawak turut menggesa agar mempunyai dua pertiga kerusi keseluruhan dalam Parlimen. Jelas Abang Johari, dalam Laporan Antara Kerajaan (IGC) memang tidak disebut dua pertiga, tetapi disebut suara Sarawak dan Sabah mesti diambil kira di dalam Parlimen.
Malah, pengenalan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold, pun ada katanya.
Maka, konvensyen PBB yang dianjurkan di setiap zon-zon Sarawak menjadi satu objektif bagi mengetengahkan usaha dan inisiatif kerajaan GPS dalam usaha menjadi negeri membangun, sekali gus menekankan lima sektor penting laitu meningkatkan import dan eksport domestik, meningkatkan industri minyak dan gas, pemodenan sektor pertanian, menyusun semula kawasan bandar dan naik taraf pengangkutan awam serta mengembangkan sektor pelancongan.
Apa pun, Kerajaan Negeri Sarawak diketuai Abang Johari, dibantu Fadillah dan rakyat dipercayai akan sentiasa berwaspada dengan hak-hak perlembagaan dan keselamatan agar tidak terhakis. Matlamatnya tidak lain tidak bukan supaya rakyat Sarawak tidak mudah diperkotak-katikkan dengan perlu bersatu padu dan berani mempertahankan hak-hak dan kedudukan Sarawak dalam Perlembagaan dan Persekutuan.
Dan apatah lagi GPS turut mengesahkan lagi sokongan padu rakyat Sarawak terhadap gabungan itu menerusi kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak 4 November lalu.
Pada PRK itu, calonnya, Iskandar Turkee memperoleh 9,638 undi menewaskan dua pencabar, Stevenson Joseph Sumbang daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang hanya meraih 854 undi dan Chieng Lea Phing dengan 431 undi.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Sarawak.











