PERDANA Menteri United Kingdom, Rishi Sunak, baru-baru ini mengunjungi Baitulmuqaddis bagi menyatakan solidariti bersama rejim Israel. Lawatan ini dilatari dengan pembantaian tanpa henti dan tidak berkadaran oleh rejim Zionis terhadap orang awam di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu rentetan Operasi Taufan al-Aqsa.
Ironinya, semasa berkunjung ke Baitulmuqaddis, Sunak menginap di Hotel King David, tidak jauh dari kota lama Al-Quds yang pernah menyaksikan peristiwa pengeboman oleh pengganas dan pelampau Zionis pada 22 Julai 1946, menjelang berakhirnya penjajahan British di Palestin.
Dalam keganasan tersebut, hotel yang dibiayai sebahagian kos pembinaannya oleh Bank Negara Mesir rosak teruk. Pengganas Yahudi daripada kumpulan Irgun berjaya membunuh 91 nyawa tidak berdosa, sementara 45 orang cedera.
Selain pengeboman terhadap hotel tersebut, Irgun juga bertanggungjawab melancarkan serangan pengganas ke atas perumahan, premis perniagaan, hospital, pasar dan pengangkutan awam yang telah mengorbankan ribuan nyawa warga Palestin tidak berdosa antara 1937 hingga 1939.
Tidak cukup itu, antara 1944 hingga 1947, dengan ketibaan lebih ramai pendatang Yahudi dari seluruh dunia, pengganas Irgun turut menyasarkan askar, polis dan pekerja British ketika era penjajahan. Mereka merekrut lelaki dan wanita termasuk remaja untuk bertindak ganas, menyemai permusuhan berteraskan perkauman hingga sanggup membunuh dengan cara tidak berperikemanusiaan.
Pada 1948, apabila British keluar dari Palestin, pengganas Irgun meneruskan keganasan ke atas kampung dan bandar milik warga Arab, memaksa mereka keluar dari kampung halaman hingga terpaksa menjadi pelarian bagi meneruskan kehidupan.
Selepas penubuhan negara Israel, agak ironi apabila pemimpin kumpulan pengganas Irgun itu, Menachem Begin dilantik sebagai Perdana Menteri Israel pada 1977. Beliau dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan bersama Presiden Mesir, Anwar Sadat setelah menandatangani perjanjian damai Kem David. Perjanjian ini berjaya mengunci mulut negara-negara Arab daripada bertindak sebagai satu ketumbukan tentera negara bagi mengawal keganasan berterusan dilakukan oleh rejim Zionis.
Ini merupakan sebahagian daripada bukti jelas betapa sebenarnya negara rejim Zionis ini hakikatnya ditubuhkan oleh kumpulan pengganas di atas pertumpahan darah warga Arab Palestin.
SEJARAH HITAM
Naratif moden yang dilakarkan oleh media Barat pula sentiasa meletakkan kesalahan kepada pejuang Palestin, seolah-olah sengketa yang berlaku ini berpunca daripada serangan 7 Oktober lalu, dan cuba memadamkan sejarah hitam keganasan Zionis di bumi Palestin.
Lebih merunsingkan, dalam kalangan golongan muda Malaysia, segelintir mereka mempertikaikan dasar kerajaan yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Kumpulan ini turut menempatkan pandangan mereka seolah-olah ‘tidak berpihak’, tetapi jauh di sudut hati mempersoalkan mengapa pejuang Palestin melancarkan serangan ke atas rejim Zionis ini.
Ada juga yang bersimpati dengan ‘mangsa peperangan’ di pihak Israel, seolah-olah mereka menjadi mangsa dan menanggung kerugian terbesar dalam sengketa ini.
Cara berfikir ini perlu dirawat segera. Kebergantungan kepada media sosial dan media Barat serta sikap malas untuk mempelajari sejarah agar konteks sengketa dapat difahami dengan baik, melahirkan generasi yang cepat menghukum.
Maka tidak hairan, beberapa rakyat Malaysia beragama Islam telah didakwa menculik seorang warga Palestin selain didakwa atas pertuduhan penggubahan wang haram lebih RM250,000. Sebelum itu, seorang sarjana Palestin dibunuh di Setapak oleh dua tali barut Zionis. Ini merupakan sebahagian daripada kesan apabila sejarah Palestin tidak difahami dan sikap materialistik menguasai diri.
Sejurus selepas Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mendakwa kononnya melihat gambar kanak-kanak Israel disembelih oleh pejuang Palestin. Hasil fitnah keji ini, seorang kanak-kanak Muslim berumur enam bulan yang menetap di Chicago telah dibunuh dengan zalim setelah ditikam 26 kali oleh seorang pelampau AS yang merupakan jiran kanak-kanak tersebut.
Lebih sayu lagi, kanak-kanak itu berasal dari Tebing Barat Palestin, berhijrah ke AS untuk mengelakkan keganasan Zionis. Malangnya, beliau dibunuh secara kejam hasil kebencian meluap yang dimulakan oleh sekutu rejim Zionis.
Inilah dunia sedang dilalui oleh kita sekarang, Di saat ramai mendambakan perdamaian, ada kumpulan manusia yang setiap hari memikirkan bagaimana untuk menumpahkan darah manusia lain tanpa perikemanusiaan. – UTUSAN
Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham ialah Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Pahang.










