HAK untuk mendapatkan maklumat merupakan suatu hak yang penting. Cuma dahulunya caranya hanya terhad melalui platform media tradisional. Kini kita beralih kepada media alternatif termasuklah media sosial.
Media tradisional sering dilihat dipengaruhi oleh propaganda pihak tertentu yang akan menentukan apa yang ingin disampaikan kepada pembaca. Dengan media sosial, penyebaran maklumat sudah meluas dan lebih mudah.
Namun, ia tidak menjadi sebagaimana yang disangka apabila wujud fenomena shadow ban (sekatan) di media sosial. Shadow ban menyebabkan kandungan atau akaun pengguna tidak kelihatan di garis masa pengikutnya.
Ia bukanlah suatu perkara yang baharu di Malaysia. Isu ini menjadi bualan hangat apabila tercetusnya pembantaian rakyat Palestin oleh penduduk haram Israel. Banyak kandungan yang cenderung menyokong perjuangan rakyat Palestin didiamkan dan tidak kelihatan di platform media sosial. Sedangkan, pengendali media sosial sudah semestinya menafikan wujudnya kawalan terhadap kandungan di platform mereka.
Al-Jazeera misalnya pernah melaporkan pada 24 Oktober lalu berkenaan aduan Thomas Maddens, seorang aktivis di Belgium, yang menyatakan bahawa kandungan yang dimuat naiknya di sebuah platform media sosial dengan perkataan genosid secara tiba-tiba tidak dapat dicapai.
Dalam laporan itu juga memetik media BBC yang melaporkan bahawa Meta (sebelum ini dinamakan Facebook) telah memohon maaf ekoran menambah perkataan pengganas kepada akaun pro-Palestin dengan mengatakan kononnya kesilapan tersebut berpunca daripada terjemahan bahasa Arab yang kurang tepat.
Menerusi laporan Al-Jazeera tersebut juga, beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CS) termasuk 7amleh, Arab Centre for Social Media Advancement telah mengeluarkan kenyataan menggesa syarikat-syarikat teknologi untuk menghormati kebebasan digital ketika perang berlangsung.
Pertubuhan 7amleh juga merokedkan 238 kes larangan terutama di laman Facebook dan Instagram yang meliputi kandungan yang diturunkan dan larangan akaun. Sedangkan naratif yang dimainkan oleh Israel bebas dikekalkan dalam platform digital ini.
Perkataan-perkataan seperti Palestin, Gaza, Hamas, al-Quds dan Jerusalem (Baitulmuqaddis) adalah perkataan sensitif yang boleh dikenakan sekatan di media sosial.
Sekatan ini turut dialami artis luar negara seperti Bella Hadid yang menyatakan bahawa hanya kurang sejuta pengikutnya dapat melihat kandungan hantaran berkenaan Palestin sedangkan akaunya diikuti oleh lebih 61 juta orang. Ini adalah luahan-luahan yang dialami oleh pempengaruh antarabangsa pro-Palestin.
Hakikatnya, selain runggutan pengguna yang mendakwa telah di sekat, terdapat juga kandungan di media sosial yang disekat atau dilarang siaran. Malah terdapat juga kandungan yang diturunkan atau akaun pengguna digantung.
HAK BERSUARA
Budaya mendiamkan masyarakat dunia ini bukan hanya menyekat hak untuk mendapatkan maklumat berkenaan Palestin tetapi menyekat hak untuk bersuara. Padahal hak untuk bersuara tidak boleh disekat sama sekali.
Hak bersuara bukan sahaja hak yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi ia juga hak manusia yang diiktiraf di seluruh dunia.
Larangan atau sekatan kandungan yang bersifat kemanusiaan adalah salah dan mencacatkan asas kepada platform media sosial yang bertujuan untuk meningkatkan capaian maklumat dengan pantas.
Sekatan demi sekatan kepada berita mengenai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel sudah pasti akan menghadkan capaian kepada maklumat.
Sekiranya maklumat dengan penjajahan ini disekat, masyarakat dunia amnya dan Malaysia khususnya tidak akan upaya mendapat maklumat yang sebenar berkenaan dengan konflik kemanusiaan yang terjadi.
Tidak hairanlah apabila masih terdapat masyarakat di Malaysia menyamakan Hamas dengan pertubuhan pengganas yang lain. Ada juga yang menyatakan bahawa konflik Palestin-Israel ini adalah pertembungan antara agama Islam dan Yahudi sedangkan hakikatnya ia adalah konflik kemanusiaan yang serius.
UNDANG-UNDANG
Cabaran yang wujud adalah apabila pemberi platform media sosial ini bukanlah berpangkalan di Malaysia. Namun sebenarnya kerajaan boleh mengenalkan undang-undang atau polisi untuk memastikan syarikat pengendali media sosial mengikut garis panduan yang bersesuaian dengan pengguna Malaysia kerana masyarakat di negara ini semakin lelah dengan hakikat bahawa terdapat larangan atau sekatan kepada kandungan pro-Palestin yang berlaku setiap kali konflik kemanusiaan berlaku.
Malah dalam Laporan Semakan Berkala Sejagat, MYAQSA ahli gabungan Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) telah melaporkan wujud aduan berkenaan sekatan kepada kandungan di media sosial berkenaan dengan konflik Palestin-Israel. Ramai pengguna mengadu kononnya mereka telah memuat naik kandungan yang bercanggah dengan garis panduan komuniti sedangkan kandungan yang disiarkan mereka berkaitan kekejaman Israel.
Laporan MYAQSA dikumpul sekitar 2021 dan semakin relevan kini.
Tuntasnya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu undang-undang atau polisi bagi menyekat tindakan mendiamkan kritikan terhadap Israel mahupun sokongan terhadap Palestin khususnya bagi pembekal perkhidmatan yang ingin beroperasi di Malaysia.
Iltizam kerajaan akan mewujudkan satu ekosistem yang adil kepada perjuangan rakyat Palestin supaya dunia dan rakyat mengetahui krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin. Sekurang-kurangnya kebebasan media sosial boleh dinikmati di Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










