Alahai Malaysia, di mana silapnya?

Alahai Malaysia, di mana silapnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA yang ditunggu-tunggu telah tiba. Bahasa Indonesia menjadi bahasa rasmi ke-10 bagi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Setakat ini, UNESCO memiliki sepuluh bahasa rasmi terdiri daripada enam bahasa rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Inggeris, Perancis, Arab, China, Russia dan Sepanyol, bersama dengan empat bahasa rasmi dari negara-negara anggota UNESCO lain seperti Hindi, Itali, Portugis dan Indonesia.

Bahasa-bahasa tersebut telah lama menjadi kekuatan pemersatu ragam budaya di Indonesia terutama semasa pramerdeka pada 1928. Sejak itu ditetapkan sebagai bahasa resmi Republik Indonesia pada 1945 dan telah menunjukkan keampuhannya sebagai lingua franca berfungsi seperti jambatan seluruh Indonesia berbilang kaum.

Jangkauan bahasa Indonesia secara global ternyata apabila bahasa itu menjadi program pendidikan di 52 negara dengan sekitar 150,000 pelajar asing di seluruh dunia sejak Indonesia aktif mempromosikannya ke peringkat global pada 2015.

Selain itu, sebagai negara ke-14 terbesar secara global dan ketujuh ekonomi terbesar menurut pariti daya beli, kekayaan keragaman budaya di Indonesia meletakkannya sebagai makmal hidup yang dinamis untuk mengamati dan mengelola pelbagai sosial budaya. Hal seperti ini tidak berlaku kepada Malaysia walaupun ada jangkaan untuk menjadikan bahasa Malaysia bahasa antarabangsa.

Cita-cita ini sudah lama berputik tetapi tidak kesampaian kerana sikap acuh tidak acuh. Hangat-hangat tahi ayam sehingga ada sahaja yang mencemuh itu dan ini. Jika digunakan pada persidangan global, ada yang mengejek kerana bahasa Inggeris tidak baik. Hendak berlindung di belakang telunjuk sendiri konon. Mungkin ada betulnya, tetapi perlukah memperkecilkan usaha meluaskan penggunaan bahasa kebangsaan kita? Atau pun masih tersangkut dengan dakyah penjajah bahawa bahasa ibunda bukan ilmu?

Maka ada yang mempersalahkan dasar menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantara sistem pendidikan. Tidak sudah-sudah merengek untuk dikesampingkan dasar tersebut walau termaktub dalam Akta Pendidikan. Sekarang keadaan masih terumbang-ambing!

Bak kata Perdana Menteri baru-baru ini, sudah 66 tahun merdeka, masih ramai gagap berbicara dalam bahasa Malaysia. Berjaya dalam perniagaan seluruh dunia, bahasa kebangsaan gagal dijadikan keseluruhannya. Alasan dunia mereka dunia swasta di mana bahasa kebangsaan tidak penting. Asalkan dapat mengorek keuntungan berjuta-juta ringgit tanpa berbahasa bahasa Malaysia, tiada segan silu bagi mereka mengakui warganegara Malaysia.

Bukan seorang dua, berkodi-kodi ramainya, apa lagi berdekatan pucuk pimpinan politik negara sejak merdeka lagi. Walaupun penguasaan bahasa amat memalukan, oleh kerana sahabat rapat tidak ditegur bahkan turut melayani dalam bahasa asing, atau pelat-pelat yang digunakan kerana ada pelincir politik dihulurkan.

Hatta, semua boleh dimaafkan. Maka lambat laun masing-masing naik muka kerana mengenali siapa yang boleh ‘dibeli’ untuk keuntungan diri dan suku-sakat yang menanti habuan masing-masing. Bahasa tidak lagi jiwa bangsa. Jadi, ada bahasa Malaysia tetapi bangsa Malaysia tiada. Cabaran pertama Wawasan 2020 terkubur bulat-bulat! Tidak seorang pun mengindahkan!

Bagi negara jiran, halnya amat berbeza sekali. Setiap warga negaranya fasih berbahasa ibunda. Tiada kecualinya, baik tua, apa lagi yang muda! Lazim mereka bercakap bahasa Indonesia sesama sendiri di mana sahaja. Tidak kira siapa, tidak pilih bulu seperti di Malaysia sehingga pendatang Bangladesh lebih mengenali bahasa Malaysia daripada ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berdaftar di Bursa Malaysia. Menjadi penasihat ataupun pemikir kerajaan untuk menyatupadukan rakyat. Ada yang tinggal di luar negara pun! Bagaimana boleh bersatu padu jika bahasa berpecah-belah!

TERGANJIL

Ada puak-puak aliran itu dan ini dalam semua hal termasuk pendidikan – jenis kebangsaan kononnya! Berapa jenis? Di hampir semua negara, kalau tidak seluruh dunia, tidak lebih daripada satu atau dua. Malaysia, antara terganjil dalam hal ini.

Mengikut mendiang sejarawan tempatan, aliran jenis kebangsaan diadakan penjajah kerana untuk memudahkan pelajar sekolah tersebut kembali ke negara asal mereka. Yakni tidak bermastautin di negara ‘sementara.’ Ini masuk akal bagaimana anak-anak kita belajar di sekolah antarabangsa tatkala di seberang laut. Supaya sekembali nanti mudah menyambung pelajaran di tanah air sendiri.

Sebaliknya jika hendak bermastautin di negara pilihan akan terpaksa mengikut sistem kebangsaan mereka. Tiada pilihan. Hanya di Malaysia ada pilihan akibat politik sempit berbaur perkauman. Sudahlah begitu, bahasa Malaysia terabai keseluruhannya walaupun kemaruk mempunyai kerakyatan Malaysia. Jelas kumpulan ini menjadi penghambat utama untuk mengikut jejak langkah bahasa Indonesia. Tidak salah dianggap petualang kerana menggagalkan hasrat negara buat tempat mereka turut bersama jika tidak bergantung hidup matinya.

Jelasnya juga kita mampu mencemburui bahasa Indonesia di persada seantero, sedangkan bahasa Malaysia terus merangkak angkara mereka yang tidak luhur kerakyatannya. Tidak pula rasa bersalah hidup lumayan menghisap segala manisan yang ada selagi berdaya.

Apa pun, setakat ini kita masih boleh berbangga bahawa serumpun terbitan Riau Johor sudah pun mendapat pengiktirafan antarabangsa yang kita turut menumpang tuah pada 20 November tatkala bahasa Indonesia ditetapkan sebagai bahasa rasmi ke-10 di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis melalui Resolusi 42C/28 dalam Sidang Pleno ke-42.

Bahasa rasmi UNESCO adalah bahasa yang digunakan dalam semua pertemuan rasmi organisasi tersebut. Bahasa Indonesia terpilih sebagai bahasa menghubung dan memudahkan komunikasi antara kaum dengan lancar antara 1,340 kelompok dan 718 bahasa daerah yang tersebar di merata Indonesia.

Pasti, Malaysia jelas tercicir di mana etnik terbesar yang ada tidak menganggap bahasa Malaysia sebagaimana di negara jiran tetangga lain bukan sahaja Indonesia. Alahai, waktu sudah senja, sesuatu wajar dilakukan segara sebelum hilang semua dalam masa terdekat. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN