Takdir tak salah, kitalah pengundi melakar politik aras tinggi - Utusan Malaysia

Takdir tak salah, kitalah pengundi melakar politik aras tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Muak, retorik. Si A sama. Pergi ke B juga serupa. Ke C lebih kurang sahaja.
Alih-alih wal hasil balik asal. Tidak berubah.
Apa yang berlaku lima tahun yang berlalu di bumi bertuah Malaysia ini bak pusingan roda. Gegak gempita politik Melayunya diulang-ulang.
Kerajaan yang dibentuk baru setahun jagung ini 10 bulan terus diganggu-gugat. Macam tidak ada keinsafan dalam kalangan politik Melayu ini. Hal-hal remeh-temeh diperbesar-besarkan. Pantang tersalah cakap, tercuit sedikit, tempelak terkejutnya macam orang sawan ‘naik syeikh’. Padahal, tidak ada benda pun. Cuma motifnya hendak meraih perhatian warga media sosial – disebut-sebut warganet, netizen.
Masuk TikTok, viral, popular, persepsi, kontroversi, provokatif menular menang di situ. Kemudian menang undi, menang pilihan raya, jadi wakil rakyat, diangkat Exco. Sayangnya rakyat tidak dapat apa – termakan kata-kata manis.
Bermain-main di permukaan (surface) belaka. Tidak pergi lebih mendalam (in depth) – sekadar Yang Berhormat, bukan Yang Berkhidmat.
Benar apa yang dikata, pilihlah The Road Ahead or the Road Behind. Takdir tidak pernah salah. Kitalah pengundi yang melakar apa yang di hadapan.
Tetapi apabila mandat sudah diberi, sebahagian wakil rakyat mewakili parti politik tertentu ini tidak buka jalan mudah untuk rakyat. Mereka tutup pula gerbang perjalanan ke depan.
Akibatnya kita pengundi yang mewakili majoriti rakyat pula sengsara. YB tidak bawa kesejahteraan untuk ramai. Gelagatnya asyik fikirkan tembolok sendiri sahaja.
ZON SELESA
Patut pengundi sebelum pilihan raya lebih peka dan serius soal bab memilih calon. Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya. Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah, tetapi ketika tengkujuh dia menghilang?
Suatu ketika yang membawa sebuah parti itu ke puncak kerana ramai ahli dan pemimpinnya punyai karektor dan reputasi winning mentality. Kombinasi merangkumi humble, approachable dan likeable.
Malangnya karektor itu tidak bertapak lama. Taring yang pada satu ketika diakui gagah, sudah makin menghilang. Ramai sudah masuk zon selesa. Mula lupa rakyat yang menyokong walaupun kelihatan di khalayak ramai sekali sekala tetapi tidak dengan mentaliti yang sama lagi. Ketika itulah pihak lawan mula mengambil peluang mendekati pengundi. Ramai mula dihasut membenci dan mahukan parti itu jatuh.
Kalah bukan kerana parti lawan kuat. Tetapi kerana parti berkenaan masih dalam zon selesa. Berdikit-dikit pengundi mula terima politik merentas kaum yang diperjuangkan parti lawan. Juga kerana ada yang menang sebelumnya lebih fokus membina kekayaan mereka. Tidak bersungguh-sungguh membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu yang mengundi mereka. Sakau sana sini.
Bukan mudah untuk kembali kuasai kawasan yang pengundi sudah berpaling kepada parti lain. Sebilangan mereka, terus ‘lekat’ dengan parti lawan. Sebilangan lagi hilang arah dan duduk atas pagar memerhati dari jauh. Ada yang sudah tidak hairan dengan apa yang kerajaan buat untuk menambat hati rakyat kembali.
Sekarang kita sudah tidak dapat pisahkan apa-apa dari media sosial. Ia termasuklah juga politik.
Kita berkata ‘dunia sudah berubah’. Namun sebenarnya kita sebahagian besar wakil rakyat YB-YB inilah yang belum berubah. Jika ada faktor-faktor yang membuat kita berubah, ia kerana lingkungan kita dan gajet gajet yang dijadikan alat mengubah diri dan karakter.
Yang kita orang Melayu cukup bimbang sekiranya sebilangan orang politik kita tidak mahu berubah. Hentam keromo lawan membuta tuli demi meraih publisiti murahan. Kelas mengkritik peringkat rendah.
PANGKAT, KEDUDUKAN
Kita percaya sebahagian orang politik terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan habuan, pangkat dan kedudukan. Mereka tidak berani seperti dulu-dulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka. Menjadi seorang intelek bererti seseorang itu berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam.
Sengketa sesama seislam, apa lagi dalam komponen sepenting politik hanya mengikis kuasa kita berdikit-dikit. Lama kelamaan kita tidak punyai apa.
Politik moden biarpun hakikatnya memang kurang bersih namun jangan terlalu awal kita mengotorkannya dengan politik sogok untuk dapatkan sokongan.
Lantaran kekuatannya bersandar kepada duit dan bukan sifat-sifat asas kepimpinan, jadilah seperti perumpamaan burung terbang dari genggaman, tahinya tinggal di tangan. Mesti dicari pemimpin yang bukan sahaja pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah, tetapi harus cari dan dapatkan pemimpin yang bersifat elok dan bijak.
Seperti mana diulang-ulang ingatan ini:
Jangan lupa bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi biawak pun ikut.
Selagi tidak sedar hakikat ini, selama itulah kita akan meringkuk dalam keadaan daif kuasa.
Kembalikan minat rakyat kepada orang politik – berpolitik aras tinggi untuk kebaikan bangsa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN