Sektor pendidikan dapat apa kali ini? - Utusan Malaysia

Sektor pendidikan dapat apa kali ini?

Pelajar Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Nibong Tebal menikmati makanan yang dijual di kantin ketika sesi rehat. – MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA tiada aral melintang pada minggu depan, rakyat berpeluang mendengar Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan. Minggu lalu, rakyat sudah pun dibayangkan melalui kenyataan beliau bahawa dua sektor utama yang akan mendapat peruntukan terbesar nanti adalah pendidikan dan kesihatan.
Menoleh kembali pembentangan belanjawan edisi pertama Kerajaan Perpaduan yang lalu, sektor pendidikan diberikan peruntukan terbesar iaitu RM55.2 bilion untuk Kementerian Pelajaran (KPM) dan RM15.3 bilion untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Sebahagian besar peruntukan adalah belanja mengurus manakala bakinya pembangunan pendidikan.
Antara segmen pendidikan yang diberikan perhatian utama dalam Belanjawan 2023 itu adalah peruntukan RM2.3 bilion menaiktaraf sekolah daif dan memastikan persekitaran, infrastruktur dan kemudahan pembelajaran untuk murid di semua sekolah berada dalam keadaan kondusif.
Kerajaan juga bersetuju menyediakan RM920 juta bagi menaik taraf bangunan dan infrastruktur di 380 sekolah usang, khususnya di Sabah dan Sarawak. Belanjawan pendidikan untuk tahun lalu juga secara khusus memperuntukkan RM900 juta untuk kerja penyelenggaraan di semua jenis sekolah kebangsaan, sekolah agama dan sekolah vernakular.
Selain itu, peruntukan pendidikan 2023 juga menumpukan kepada meningkatkan kemudahan murid berkeperluan khas dan OKU.
Malah semua sekolah juga disediakan peruntukan pembinaan dewan terbuka bagi murid-murid berhimpun dan menjalankan aktiviti di luar bilik darjah. Kerajaan juga bersetuju membina tujuh sekolah baru dengan kos RM560 juta daripada peruntukan 2023.
Kerajaan juga mengambil inisiatif menyediakan 50,000 komputer riba untuk semua sekolah bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan pengajaran guru yang menggunakan teknologi digital di dalam kelas masing-masing.
Antara perkara menarik di dalam belanjawan pendidikan lalu, kerajaan bersetuju menampung kos penyediaan makanan RM777 juta kepada murid di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid yang layak.
Selain itu, peruntukan program makanan prasekolah KPM juga disediakan berjumlah RM108 juta untuk faedah lebih 240,000 kanak-kanak. Malahan kerajaan juga mula melihat pentingnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila bersetuju memperuntukkan RM6.7 bilion di bawah tujuh kementerian utama untuk memperkasa inisiatif TVET.
Bagaimana pula harapan rakyat untuk belanjawan pendidikan bagi edisi 2024? Seharusnya Belanjawan 2024 mempunyai serampang dua mata untuk sistem pendidikan negara iaitu agenda pemulihan pendidikan pasca pandemik dan agenda pemerkasaan pendidikan berkualiti.
Tentu sahaja rakyat mengharapkan apa yang disediakan Kerajaan Madani sejak tahun lalu untuk memulihkan sistem pendidikan negara dikekalkan malah diperluaskan.
Misalnya, memperluas lagi program RMT, menambah bilangan murid untuk program sarapan di prasekolah agensi kerajaan selain prasekolah KPM dan penyediaan lebih banyak komputer untuk kegunaan guru.
Di pihak ibu bapa pula, mereka tentunya mengharapkan supaya kadar Skim Bantuan Awal Persekolahan pada semua murid dapat dipertingkatkan.
Belanjawan 2024 ini juga diharap terus memulihkan prasarana pendidikan seperti menyelesaikan isu infra sekolah daif dan sekolah sesak murid. Pembinaan lebih banyak sekolah diperlukan khususnya di kawasan bandar baru.
Bagi membantu murid dari keluarga miskin, kerajaan dicadangkan membina lebih banyak bangunan asrama di sekolah harian. Usaha ini pasti dapat membantu murid-murid miskin di bandar dan pedalaman.
Membangunkan semula sistem pendidikan negara pasca pandemik yang berkualiti memerlukan perhatian yang lebih daripada kerajaan. Peruntukan perlu disalurkan untuk memastikan kita dapat menoktahkan isu keciciran pendidikan, kelemahan murid di dalam kemahiran 3M dan sekolah daif.
Bagi agenda memperkasakan pendidikan yang berkualiti, dicadangkan melalui Belanjawan 2024 ini, tumpuan yang lebih besar diberikan kepada membangunkan lebih banyak sekolah dan institusi latihan TVET, sekolah Teknikal dan Vokasional untuk murid-murid sekolah menengah dan lepasan SPM di luar bandar. Satu hal yang juga perlu diberikan perhatian serius adalah memastikan murid-murid kembali meminati dan mahu masuk ke aliran sains.
Oleh itu, disarankan agar Belanjawan 2024 menyediakan peruntukan khas untuk menaiktaraf dan menyediakan lebih banyak makmal sains di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.
Begitu juga perancangan memperkasakan agenda pendigitalan pendidikan supaya dapat dinikmati semua murid secara adil dan menyeluruh. Pemerkasaan pendidikan digital juga perlu dimulakan segera, sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa dalam permintaan guna tenaga modal insan negara yang berkemahiran tinggi.
Pastinya, membangunkan sistem pendidikan berkualiti adalah impian bagi mana-mana jua negara di dunia.
UNICEF pada Jun 2000 menerbitkan buku bertajuk Defining Quality in Education yang menyasarkan pendidikan berkualiti perlukan persekitaran pembelajaran yang mesra, selamat, bersih iaitu murid-murid yang sentiasa dilindungi secara fizikal, sosial, emosi dan psikologi.
Sekolah yang berkualiti pula mempunyai sistem perkhidmatan cekap dan kemudahan pembelajaran yang baik, guru-guru terlatih yang mementingkan amalan pengajaran berpusatkan murid dengan sokongan pembelajaran yang berterusan dari keluarga dan komuniti.
Pendidikan berkualiti pada akhirnya akan melahirkan murid-murid yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, sikap yang positif terhadap diri sendiri, keluarga, komuniti, nilai kenegaraan dan kewarganegaraan.
Semoga Belanjawan 2024 akan menyokong kepada usaha membangunkan sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti demi untuk anak-anak bangsa Malaysia keseluruhannya.

Dr . Anuar Ahmad ialah Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara dan Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya