Orang tak faham, ada kata kami penunggang agama – Aman Palestin - Utusan Malaysia

Orang tak faham, ada kata kami penunggang agama – Aman Palestin

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut . MINGGUAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
SATU persatu timbul pelbagai isu di sebalik gerakan untuk membela rakyat Palestin yang kini sengsara akibat kekejaman tentera Israel.
Banyak tuduhan dan kecaman berlegar dalam kalangan masyarakat kita bermula tentang perhimpunan anjuran Viva Palestina Malaysia (VPM), sehinggalah kutipan derma membabitkan Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin).
Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat aktiviti pengumpulan dana Aman Palestin berikutan tuduhan yang dilemparkan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, AWANG SUFFIAN AWANG PIUT bagi mendapatkan pandangannya. Turut membantu, jurufoto, AMIN AZMAN.

SUKAR SALUR BANTUAN
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana usaha Aman Palestin setakat ini dalam menyalurkan bantuan ke Gaza?
AWANG SUFFIAN: Dalam keadaan perang yang sangat dahsyat ini kita memang sedang mengumpulkan seberapa banyak bantuan daripada masyarakat untuk membeli barangan.
Untuk bantuan awal kita telah berikan sebanyak kira-kira hampir AS$100,000 (RM480,000) terdiri daripada makanan segera dan perubatan.
Namun, untuk bantuan seterusnya agak susah kerana pintu Gaza ditutup. Bukan setakat kita sahaja tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain juga begitu dan masih terkandas di pintu sempadan di Rafah.
Buat masa sekarang rancangan kita apabila berlaku gencatan senjata dalam tiga atau empat hari nanti barulah kita akan berikan bantuan seterusnya menerusi pejabat kita di sana.

Adakah ini serangan paling teruk sejak Aman Palestin ditubuhkan?
Ya, ini antara yang paling teruk sejak Aman Palestin ditubuhkan iaitu pada 2006. Sebelum ini sewaktu diserang pun kami berjaya juga masuk hantar bantuan iaitu kali pertama pada 2007 dan selepas itu ada beberapa siri bantuan lain.
Pada kami inilah antara yang paling dahsyat dan ia turut diakui oleh penduduk di Gaza kerana ada bom yang digunakan tentera Israel menyalahi undang-undang antarabangsa. Mereka buat bom untuk tembusi lorong bawah tanah bagi memusnahkan pejuang Hamas.
Malah jika sebelum ini tentera Israel mengebom tanpa ada campur tangan dari negara-negara besar, tapi kali ini Amerika Syarikat (AS) sendiri turut menghantar tentera mereka.

AGRESIF BANTU
Adakah kerajaan Malaysia agresif dan bersungguh-sungguh serta melakukan tindakan menyeluruh dalam memperjuangkan isu rakyat Palestin setakat ini?
Kita lihat di sebaliknya (tidak agresif ) kerana pandangan masyarakat terhadap isu rakyat Palestin perlu diubah dan bukan setakat kurang makanan, tidak cukup tempat tinggal atau isu berkaitan kemanusiaan.
Tetapi persoalan pokok sampai bila isu ini mahu dihentikan dan apakah sebenarnya isu Palestin ini. Persoalan ini yang kita perlu terapkan dalam pemikiran masyarakat dan apakah langkah terbaik bagi menyelesaikannya.
Di samping itu, kita juga perlu tahu mengapa kali ini pejuang Hamas memulakan serangan terlebih dahulu. Ini kerana mahu membuka mata dunia apabila isu Palestin semakin disisihkan. Malah ada sebahagian negara Islam berjiran dengan Palestin yang menormalisasikan hubungan dengan Israel. Jadi, kalau tiada gerakan sebegini (serangan) orang Palestin hendak duduk di mana? Mereka tahu kesannya kalau mulakan serangan tapi mereka sanggup ambil risiko agar dunia mula membuka mata.
Inilah juga perjuangan yang mesti kita sokong (pembebasan Palestin) dan bukannya penyelesaian dua negara (two states solution). Kalau inilah jalannya, ia umpama memberi ruang dan pengiktirafan kepada Israel. Penyelesaian hakiki kita mesti bebaskan negara Palestin dan diberikan semula kepada orang Palestin.
Maka, usaha perlu lebih agresif. Kalau sekadar perhimpunan selepas itu habis, maka apa penyelesaian tuntas? Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan antarabangsa perlu diberi tekanan sebagaimana pernah dibuat sewaktu konflik Bosnia Herzegovina. Desak agar pintu sempadan di Rafah dibuka. Selain itu, kerajaan patut beri bantuan kewangan sekurang-kurang RM1 bilion. Barulah nampak sokongan besar kepada rakyat Palestin.

PERHIMPUNAN VIVA PALESTINA
Pandangan ustaz berkenaan apa yang berlaku dalam perhimpunan Viva Palestina Malaysia (VPM)?
Kami ada juga terdengar-dengar isu yang menjadi tular seperti tidak dibenarkan mengangkat gambar Benjamin Netanyahu dan bendera Hamas. Namun kami tidak tahu hakikat sebenar dan sekiranya betul, ini tidak sepatutnya berlaku.
Kami pernah buat sesi perhimpunan menentang kekejaman Israel sebelum ini.Tidak dinafikan provokasi memang ada dan kita boleh mengawal, tidak bagi sampai bakar apa sahaja atau nyalakan api. Kita sendiri tidak mahu ia menjadi lebih besar dan tidak tahu siapa individu yang lakukan provokasi itu.
Seandainya ada peserta yang mahu menyatakan ekspresi, itu tiada masalah. Mahu conteng muka Netanyahu atau hendak pijak patung pun bagi saya tiada masalah.
Sebab apa? Kerana kita mahu tunjukkan siapa pelaku dan penzalim. Kita semua mahu gambarkan kekejaman Netanyahu agar lebih banyak pihak yang tahu. Orang yang menzalimi sudah tentu kita lawan.
Selepas itu siapa yang diperjuangkan? Sudah tentu orang Palestin dan yang diserang pun Gaza, tanah air Palestin. Jadi, sebab itu kita angkat mereka.

Apa sebenarnya berlaku di sebalik kontroversi yang melanda Aman Palestin dengan pelbagai dakwaan sehingga dipanggil SPRM?
Kita mula ditubuhkan lebih 20 tahun lalu. Semasa mula-mula ditubuhkan ada orang tidak tahu lagi isu berkenaan Palestin.
Jadi, objektif besar, kita mahu berikan kefahaman tentang Palestin kepada semua masyarakat. Malah kami melihat isu ini juga merupakan isu berkait rapat akidah umat Islam. Sebab apa? Kerana di Palestin ada Masjid Al-Aqsa yang sekarang dikuasai dan dijajah Israel.
Apabila Palestin sudah dijajah, ini bermaksud menjadi kewajipan kita sebagai orang Islam daripada segi ukhuwah untuk bantu apa yang perlu dan boleh dibantu.
Selepas itu, kita juga perlu melihat adakah isu ini melibatkan orang Islam sahaja? Sudah tentu tidak kerana ia juga isu kemanusiaan dan isu yang terpanjang di dunia, tiada kesudahan sampailah sekarang.
Dulu Dasar Apartheid di Afrika Selatan dan akhirnya ia berjaya diselesaikan. Begitulah juga kita patut memerdekakan Palestin. Jadi, sudah tentu ia perlukan pelbagai usaha dan program selain bantuan-bantuan kemanusiaan. Malah, apabila menyentuh tentang program kesedaran ia melibatkan banyak perkara termasuk seminar, ceramah, program dan semua ini memerlukan kos.
Dan dalam masa sama, kita juga perlu ada kekuatan termasuk pekerja dan pelbagai lagi kemudahan serta keperluan lain.
Begitu juga dengan aktiviti program dan ceramah di pelbagai medium termasuk di radio dan televisyen agar pemahaman dapat disampaikan kepada semua tentang isu Palestin ini. Semua ini memerlukan dana. Masalahnya ada segelintir pihak yang tidak faham dan menuduh bukan-bukan kepada kami sedangkan kita sudah buat macam-macam gerak kerja.
Orang yang tidak faham terus membina persepsi buruk, kata kami penunggang agamalah, isu dan scammer.
Untuk pengetahuan semua, peratus (daripada sumbangan) yang kita ambil dibenarkan kerajaan. Selain itu, kita bukan sekadar salurkan bantuan semata-mata, sebaliknya kita juga mahu timbulkan kesedaran dan terus berkempen.
Selain itu, kita ada 20 cawangan di seluruh Malaysia dengan lebih 200 pekerja sepenuh masa . Gaji yang kami bayar ikut standard di negara ini walaupun kita NGO. Lagipun, perlu diingat mana mungkin dapat mencari 200 pekerja yang mahu bekerja percuma.
Berhubung dengan dakwaan mengatakan kami ambil sehingga 30 peratus daripada sumbangan penderma, sebenarnya hanya lapan peratus sahaja diambil untuk kos pengurusan dan operasi. Selebihnya kami janakan semula untuk dapatkan hasil yang lebih.
Contohnya begini. Awak beri RM1 kepada kami. 60 sen kita beri pada mangsa dan 15 sen digunakan untuk pengurusan. Kemudian 25 sen pula kita guna untuk gandakan semula sumbangan pada masa akan datang, untuk jadikan RM1 kepada RM10. Caranya bagaimana? Kami anjur program makan malam atau acara larian sebagai contoh. Jadi, orang ramai boleh sertai dan dalam masa sama sumbangan itu tetap ada.
Malah, orang yang beri RM1 tadi pahalanya masih berjalan dan kami sebenarnya mahu gandakan daripada RM1 sehinggalah RM1 juta. Masalahnya, orang tidak faham benda ini dan mahu sumbangan terus beri 100 peratus. Tapi kita perlu ingat adakah bantuan hanya sekali atau berterusan? Kita mahu gunakan pelbagai cara dan medium bagi memberi pemahaman kepada masyarakat.

TIDAK DIAUDIT?
Masih terdapat tuduhan Aman Palestin tidak diaudit. Bagaimana ustaz melihat dakwaan tersebut?
Dulu pernah (tidak diaudit) Tetapi alhamdulilah ia telah selesai dan kita pun sudah buat audit pada 2021. Sesiapa sahaja boleh lihat hasil audit kami. Pada saya, tidak timbul lagi isu audit ini sebab sudah selesai.

Isu larangan kutipan di Perlis. Komen Ustaz?
Surat daripada Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin itu sebenarnya surat dalaman yang beliau berikan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs).
Itu bukan surat pemberhentian kutipan derma sebab Aman Palestin memang dapat kebenaran pun, cuma ia perlu diperbaharui setiap tahun. Surat kebenaran kita pun akan akhir pada Jun 2024.
Justeru apabila berlaku kejadiaan sebegini kami terus bertanya kepada JAIPs dan Mohd. Asri bagaimana ia boleh tular? Siapa yang tularkan sebab ia surat dalaman dan kita tahu ia memang diajukan mufti.
Apa yang ditulis adalah cadangan untuk berhentikan dahulu kutipan Aman Palestin dan itu belum pun keputusan. Apabila tular jadi masalah dan ia merosakkan reputasi kami sedangkan kami masih lagi boleh teruskan kutipan.

SIASATAN SPRM
Setakat ini bagaimana dengan perkembangan siasatan SPRM ?
Alhamdulilah, kita beri kerjasama kepada SPRM. Segala keterangan sudah diberi dan kebanyakan berkisar soal dokumen dan hal-hal lain.
Kita juga boleh beroperasi seperti biasa. Walaupun persepsi orang memang buruk, tetapi kita tetap teruskan usaha berjuang demi Palestin. Malah kita memang bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi. Cuma apabila jadi perkara sebegini reputasi kami terjejas.

PENUNGGANG AGAMA
Kewujudan banyak NGO sehingga ada yang dikatakan hanya menunggang isu dan agama. Pandangan ustaz?
Kalau bekerja ikut niat ikhlas, itu bagus sebab memang ada NGO yang tumpu kepada golongan tertentu seperti artis dan wartawan sendiri. Kalau ia ditubuhkan saluran dan undang-undang, tidak mengapa.
Tapi kalau ada yang hanya menunggang isu, itu tidak pasti sejauh mana kebenarannya. Kalau masyarakat hendak tahu sama ada mereka betul-betul bekerja, kita boleh lihat sama ada NGO-NGO ini ada pejabat atau tidak atau boleh lihat di laman web mereka. Malah kita boleh lihat rekod mereka.

Selepas timbul isu ini adakah sokongan dan jumlah kutipan menurun?
Alhamdulillah kutipan masih masuk. Ada sedikit penurunan. Tetapi sumbangan masih diterima dan begitu juga dengan sokongan orang ramai terhadap kita. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×