KALAU setakat untuk tambah cedukan ilmu, bahasa Inggeris tiada salah digunakan. Tetapi usahlah sampai seperti kata pepatah Melayu “jangan dedalu (parasit) membunuh pokok”.
Minggu lalu, bahasa Melayu diangkat tinggi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar mengarahkan semua pihak yang mahu mengutus surat rasmi kepada kerajaan diwajibkan menggunakan Bahasa Kebangsaan – yakni bahasa Melayu.
“Sesiapa sahaja menulis selain Bahasa Kebangsaan, surat itu akan dipulangkan semula,” kata beliau, ditujukan antaranya kepada kalangan syarikat dan universiti tempatan.
Kepelbagaian bahasa amat dituntut sehingga ke tahap kepakaran dalam dunia diplomasi. Namun, jangan sampai menganggap sepi terhadap keupayaan bahasa sendiri.
Kepakaran dualiti bahasa Inggeris dan Bahasa Kebangsaan (Melayu) harus melalui bimbingan dan asakan kuat dari pemerintah serta sistem pembelajarannya.
Jika tidak, seperti mana keadaannya di internet – bahasa nasional menjadi bahasa pinggiran. Ini lantaran bahasa Inggeris telah mengisi peranan utama sebagai bahasa komunikasi internet selain sains dan teknologi.
Dalam soal bahasa Melayu, semestinya harus dimartabatkan kembali. Kalau tidak kita, siapa lagi.
Dalam hal saranan supaya terjemahan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu dijadikan naskhah sahih wajar diberi perhatian serius. Sudah hampir 66 tahun kita merdeka, teks Perlembagaan Persekutuan kita masih dalam bahasa Inggeris?
Juga, kita pula masih bertutur sekerat Melayu, sekerat Inggeris. Beratus-ratus singkatan kata atau abriviasi yang diguna pada masa ini yang orang kampung kita tidak faham. Kelulusan kita berjela-jela, malangnya perihal asas bangsa sendiri tidak difahami lagi.
Keindahan bahasa beradat, kekuatan muafakat, keilmuan dalaman dan spiritual tinggi sudah jadi bahan lapuk. Kini, kita hanya mahu hawa dingin yang dihembuskan oleh pendingin udara.
Tiap kali barat mencipta sesuatu, tiap kali pula budaya kita berubah: komputer, internet, Facebook, SMS, WhatsApp – semua ini sudah pun mengubah budaya kita berkomunikasi.
Dan bukan semuanya baik buat budaya kita. Mereka yang menentukan corak hidup kita. Media sosial telah masuk ke darah kita. Semua ini didatangkan dari dunia sebelah sana.
WALAUPUN cita-cita besar Presiden Sukarno (kiri) pada 1950-an untuk menggabungkan kawasan geografis Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan selatan Thai sebagai kawasan Melayu Raya dianggap berbau politik – hanya igauan wilayah – justeru tidak mendapat sokongan, namun ia mengandungi suatu impian sosiobudaya yang amat kental, lagi besar.
BUKTI
Bahasa sebagaimana terbukti dalam sesuatu perjuangan nasionalisme, memainkan peranan penting supaya nilai-nilai tamadun Asia bertahan dalam persekitaran yang betul.
Pengalaman China, Russia, Perancis, Jepun dan Korea dalam mengekalkan bahasa ibundanya untuk sains dan teknologi sudah cukup kuat pembuktiannya.
Dalam menjadikan bahasa sendiri sebagai Bahasa Kebangsaan, ia tidak cukup jika hanya bersandar kepada istilah dan terma asing.
Penggunaan perbendaharaan tempatan harus diutamakan agar bahasa nasional masing-masing tidak keciciran nilai dan amalan ungkapan.
Tanpa perlu dipertikaikan lagi, bahasa Melayulah yang menjadi lingua franca di gugusan kepulauan Melayu semenjak China dalam zaman Dinasti Ming antara 1406 hingga 1433 menghantar saudagar dan para wakilnya ke Melaka.
Sepanjang-panjang kerajaan Srivijaya berkuasa selama lebih 750 tahun, China juga mengenal dunia Melayu melalui komunikasi bahasa Melayu.
Hari ini bahasa Melayu-bahasa Indonesia dituturkan oleh lebih 330 juta warga di Kepulauan Melayu Nusantara ini.
Penduduk wilayah Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, selatan Thai serta selatan Filipina semuanya menggunakan bahasa Melayu asas sebagai bahasa komunikasi, 90 peratus beragama Islam dan mempraktikkan saki-baki budaya Melayu.
Perbezaan loghat memang wujud, tetapi hal ini tidak menghalang untuk pencapaiannya sebagai bahasa wilayah dan bahasa dunia.
Lebih jauh dari itu yang perlu difikirkan kerajaan hari ini adalah bagaimana untuk mengambil peluang dari populasi ratusan juta manusia penutur bahasa Melayu di rantau ini.
Padahal ia mewakili hampir 53 peratus daripada Gagasan ASEAN sendiri. Ia ditaksirkan sekitar 620 juta dengan GDP perkapita nominal AS$4,250.
Kita perlu segera keluar dari kepompong yang masih melandaskan Bahasa Kebangsaan (bahasa Melayu) sekadar ‘retorik’ dan ‘mainan politik’.
Dan lebih tepat untuk difikirkan mahalnya manfaat besar jangka panjang bahasa Melayu – merupakan bahasa penyatu, budaya, pentadbiran, nilai perdagangan dan budaya diplomatik. – UTUSAN