Tiada pencabar, gandingan Hadi, Tuan Ibrahim dijangka kekal

Tiada pencabar, gandingan Hadi, Tuan Ibrahim dijangka kekal

HADI AWANG dan TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas dijangka kekal disandang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas tiada pertandingan bagi kedua-dua jawatan itu pada muktamar parti September ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Abdul Hadi terus menunjukkan semangat yang kuat dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk berundur sekali gus memberi gambaran untuk terus kekal mengetuai Pas.

Katanya, pertandingan bagi jawatan Presiden itu mungkin hanya akan berlaku jika Abdul Hadi sendiri mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.

“Meskipun kita tahu, Abdul Hadi tidak sihat, beliau terus berazam untuk berada di dalam jemaah sehingga akhir hayat. Semangat dan azam Abdul Hadi sangat kita hormati.

“Setakat ini, kita masih tidak dengar ada pemimpin akan mencabar Abdul Hadi bagi jawatan Presiden meskipun di dalam Pas sentiasa terbuka untuk semua jawatan termasuk jawatan utama parti untuk ditandingi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, awatan Presiden Pas dijangka kekal disandang Abdul Hadi tanpa sebarang pertandingan pada Muktamar Tahunan parti itu September ini.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, sehingga kini tiada sebarang pencalonan yang diterima untuk mencabar jawatan berkenaan.

Sebelum itu, timbul spekulasi yang menyebut nama Tuan Ibrahim antara individu disebut-sebut sebagai calon menggantikan Abdul Hadi jika Ahli Parlimen Marang itu berundur.

Tambah Hashim, di dalam Pas sentiasa terbuka jika berlaku sebarang pertandingan dan kali terakhir jawatan Presiden dipertandingkan pada 2015.

“Pada masa itu, kesemua mereka yang bertanding jawatan tertinggi itu tewas dan akhirnya menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah). Pas sentiasa terbuka kepada pertandingan dan pernah menutup ruang itu.

“Saya jangka Abdul Hadi akan terus memimpin Pas kerana ahli masih memerlukan khidmat beliau. Kecualilah jika Abdul isytihar tidak bertanding, itu perkara lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN