Malaysia perlu teliti tuntutan supaya Hamas letak senjata

Malaysia perlu teliti tuntutan supaya Hamas letak senjata

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan me­neliti dokumen deklarasi me­nuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Palestin yang dikemukakan oleh Perancis dan Arab Saudi.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Malaysia memerlukan masa untuk meneliti dokumen ber­kenaan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah diberikan taklimat mengenai perkara itu oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Menteri Luar telah memberi taklimat dan sedikit memberi maklum balas berdasarkan mesyuarat khas yang telah diadakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beberapa hari lalu.

“Mesyuarat khas itu di­selaras oleh Arab Saudi dan Perancis dan wakil tetap Malaysia ke PBB telah diminta untuk melihat dan menandatangani satu kenyataan bersama itu.

“Keputusan kita adalah kita perlu masa untuk meneliti (dokumen deklarasi itu),” katanya dalam sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, semalam.

Katanya, pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak pernah berubah kerana negara itu mempunyai hak untuk wujud.

Fahmi berkata, kerajaan akan memberikan masa kepada Wisma Putra untuk meneliti sepenuhnya dokumen yang dimaksudkan dalam deklarasi itu.

“Ia akan mengambil sedikit masa tapi Jemaah Menteri te­lah minta supaya Menteri Luar memberi Kenyataan Menteri kepada Dewan Rakyat awal minggu depan,” katanya.

Kelmarin, Qatar, Arab Saudi dan Mesir antara 17 negara, bersama Britain, Perancis serta Kanada, menandatangani deklarasi menuntut Hamas meletakkan senjata dan tidak lagi mentadbir Palestin.

Gesaan itu terkandung dalam deklarasi tujuh muka surat yang dipersetujui oleh 17 negara, Kesatuan Eropah (EU) serta Liga Arab pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai usaha menghidupkan semula penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas persidangan peringkat tinggi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel dan menuntut pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.

Sementara itu, Fahmi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) bagi menyelesaikan konflik antara Kemboja dan Thailand akan berlangsung di Kuala Lumpur, Selasa ini.

“Pihak Thailand telah meminta supaya mesyuarat itu atau GBC seterusnya tidak dilakukan di Phnom Penh tapi dibawa ke Kuala Lumpur.

“Mesyuarat pra GBC akan berlangsung pada Isnin dan me­syuarat GBC akan diadakan pada Selasa.

“Atase pertahanan bagi negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan China akan dijemput bagi menghadiri mesyuarat itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN