MALAYSIA menghadapi cabaran berterusan dalam merangka identiti negara dalam konteks multikultural. Salah satu isu yang terus menonjol dalam landskap politik negara adalah konsep ketuanan Melayu.
Konsep ini menjadi asas kepada pembentukan negara dan terus menjadi topik perdebatan. Dalam konteks politik semasa, konsep ketuanan Melayu tetap relevan dan mempunyai kesan besar dalam pembentukan dasar-dasar negara.
Sejak beberapa ketika dahulu terdapat kritikan terhadap konsep ketuanan Melayu yang disifatkan sebagai penghalang kepada keadilan sosial dan hak asasi manusia.
Golongan ini berpendapat konsep ini menghambat perkembangan negara dan mencipta ketidakseimbangan dalam peluang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan. Mereka menegaskan masa depan negara harus lebih inklusif dan adil untuk semua rakyat tanpa mengira keturunan.
Bagaimanapun, tentangan yang timbul kepada konsep ketuanan Melayu adalah berpunca daripada salah faham terhadap istilah itu sendiri. Konsep ketuanan Melayu memang berpunca daripada ‘tuan’, namun tidak seperti yang difahami oleh kebanyakan orang, kata ini tidak bererti kaum Melayu menjadi tuan dan bukan Melayu menjadi hamba.
Sebenarnya ia lebih merujuk kepada keutamaan, kedaulatan dan dominasi kaum Melayu atau yang biasa disebut sebagai Malay supremacy, Malay sovereignty atau Malay dominance seperti tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun istilah ketuanan Melayu itu sendiri tidak wujud di dalamnya.
Konsep ketuanan Melayu terhasil daripada kontrak sosial antara kaum Melayu dengan kaum Cina dan India menjelang kemerdekaan negara pada 1957 di mana kaum Melayu memberi kelonggaran syarat kerakyatan untuk bukan Melayu sebagai tukaran kepada pengiktirafan ke atas beberapa peruntukan Perlembagaan negara yang menjamin konsep ketuanan Melayu.
Kontrak sosial ini diterima ramai malah diakui oleh raja-raja Melayu seperti Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang pernah beberapa kali bertitah mengenainya. Antara lainnya, pada 6 Ogos 2018 baginda bertitah, “Jangan ada individu atau badan yang mahu menjadi jaguh, mengungkit dan menuntut perkara-perkara asas yang telah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan negara.
“Perbuatan mahu merombak persetujuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama semasa menggubal perlembagaan merdeka akan hanya mengundang suasana tidak harmoni yang boleh menggugat kestabilan politik dan ketenteraman awam.”
WASIAT
Inilah juga yang dikenali sebagai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, iaitu:
1) “Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu.” Ini terangkum dalam Perkara 1(1) Perlembagaan Persekutuan yang kini berbunyi Persekutuan dinamai Malaysia.
2) “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.” Ini terangkum dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan mengenai tanah simpanan Melayu.
3) “Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami telah tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.” Ini terangkum dalam Seksyen 16(1) Akta Angkatan Bersenjata 1972.
4) “Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.” Ini terangkum dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan mengenai Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan.
5) “Kami isytiharkan Islam ialah Agama Persekutuan.” Ini terangkum dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
6) “Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.” Ini terangkum dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
7) “Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan keistimewaan orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.” Ini terangkum dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.
Sejak kebelakangan ini ada pihak mempersoalkan komitmen kerajaan perpaduan ke atas konsep ketuanan Melayu dengan umpamanya mempersoalkan prinsip Malaysian Malaysia dijuarai DAP, salah satu parti komponen utama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan.
Walaupun begitu, perjanjian persefahaman pembentukan kerajaan perpaduan ditandatangani pemimpin tertinggi PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan pada 16 Disember 2022 mengakui semua elemen utama kontrak sosial ini.
Antara inti pati utamanya ialah mempertahankan sistem raja berperlembagaan – Fasal b(ii), memelihara Islam sebagai agama Persekutuan – Fasal b(iii) dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan – Fasal b(iv).
Perjanjian persefahaman ini tidak mengandungi komitmen ke atas Perkara 153 tetapi ada dalam Fasal b(xi) perjanjian ini komitmen untuk memastikan pembelaan ekonomi yang adil berasaskan keperluan kepada setiap rakyat miskin dan terbiar tanpa mengira latar belakang, kaum dan wilayah, tetapi dinyatakan dalam Fasal a bahawa ia akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia, yang dikira turut merangkumi Perkara 153.
Dalam usaha untuk memastikan masa depan lebih baik bagi semua, adalah penting untuk memastikan konsep ketuanan Melayu dapat diperlakukan dengan bijak dan adil, sambil memberikan peluang setara kepada semua warganegara. Dengan cara ini, Malaysia akan dapat terus maju sebagai sebuah negara yang bersatu padu, sejahtera dan berdaya maju.
Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi contoh bagi negara-negara lain dalam menguruskan kepelbagaian etnik dan menjaga perpaduan. Ini memerlukan usaha semua pihak untuk memahami dan menghormati hak-hak setiap rakyat sambil memelihara warisan dan konsep ketuanan Melayu yang telah membentuk negara ini. Ini perlu sentiasa diawasi oleh pemimpin kerajaan perpaduan. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis politik.








