JAMBORI Di Udara dan Jambori Di Internet (JOTA-JOTI) merupakan antara program paling penting dalam kalendar pergerakan pengakap seluruh dunia. Setiap tahun, program ini menghubungkan jutaan golongan muda dari pelbagai negara untuk mempromosikan persahabatan dan kewarganegaraan global.
Menerusi JOTA-JOTI, ahli-ahli pengakap mempelajari pelbagai kemahiran komunikasi dan teknologi di samping berkenalan dengan rakan-rakan baharu dari serata dunia. Dalam program ini, ahli-ahli pengakap seluruh dunia akan berkomunikasi di udara (menggunakan radio amatur) serta di internet.
JOTA menghubungkan ahli-ahli pengakap seluruh dunia melalui platform radio amatur. Gelombang radio membawa suara mereka ke hampir mana-mana sudut di dunia. Menjadi satu keseronokan luar biasa bagi mereka dapat berbual secara langsung dengan rakan-rakan pengakap dari lain-lain tempat di dunia. Ia menjadi tarikan penting kepada ramai anak muda untuk menyertai program ini.
Penggunaan radio amatur menawarkan dimensi pendidikan tambahan kepada ahli-ahli pengakap. Ramai tidak melepaskan peluang untuk meneroka dunia teknikal radio tanpa wayar tersebut. Pengendali radio amatur membantu ahli-ahli pengakap berkongsi pengetahuan, peralatan dan keterujaan masing-masing pada minggu JOTA-JOTI ini.
JOTI pula membolehkan ahli-ahli pengakap dari segenap sudut di dunia ini untuk berhubung antara satu sama lain menerusi internet. Isyarat digital tersebut membawa suara, gambar dan mesej mereka kepada seluruh dunia. Langkah berhubung secara virtual dengan peserta dari negara lain ini sekali gus mencerminkan keahlian meluas pergerakan pengakap di seluruh dunia.
Terdapat pelbagai kaedah komunikasi boleh dilaksanakan termasuk perbualan berdasarkan teks, perbualan suara, perbualan video, e-mel, blog dan rangkaian media sosial.
JOTA-JOTI memberi peluang kepada orang muda dan sukarelawan untuk terlibat dalam aktiviti berkumpulan yang menarik dan menyeronokkan menerusi radio amatur dan internet, memfokuskan kepada usaha membangunkan kemahiran kepengakapan abad ke-21.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara (yang menjalankan tugas-tugas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara), Nasaruddin Shamsuddin, JOTA-JOTI memperlengkapkan orang muda dengan ilmu-ilmu teknikal yang bermanfaat dalam usaha mempertajamkan kemahiran berkomunikasi mereka termasuk menggunakan radio amatur.
Pada tahun ini, JOTA-JOTI diadakan dari 20 hingga 22 Oktober ini.
Jelas Nasaruddin yang juga Pengerusi Acara Khas Negara bagi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), program JOTA-JOTI merangkumi aktiviti-aktiviti seperti kod Morse, semafor dan komunikasi radio yang akan membantu para pelajar memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu baharu. Selain itu, ahli-ahli pengakap juga didedahkan dengan pelbagai kemahiran tambahan termasuk teknik-teknik radio amatur selaras dengan skim lencana sedia ada mereka.
STEM
“Bagi sesi 2023, kita adakan stesen kebangsaan JOTA-JOTI di Melaka. Pada tahun ini, saya menjangkakan penglibatan lebih 50,000 peserta berbanding 48,000 peserta pada tahun lalu. Terdapat banyak permintaan untuk JOTA-JOTI setiap tahun. Orang suka masuk.
“Dalam JOTA-JOTI ini yang seronoknya adalah mempelajari teknologi secara teknikal dan perhubungan elektronik. JOTA-JOTI ini dianjurkan selama tiga hari dua malam dan ada yang buat satu hari sahaja,” katanya.
Beliau berkata, fokus utama program JOTA-JOTI adalah mewujudkan perhubungan antara ahli-ahli pengakap seluruh dunia sama ada menggunakan peralatan radio amatur berlesen atau internet. Dari segi sejarah, program ini dimulakan dengan JOTA dan kemudian selepas 30 tahun, program JOTI pula dianjurkan.
JOTA terdiri daripada pelbagai aktiviti termasuk berkomunikasi dengan pihak lain termasuk dari luar negara menggunakan radio amatur, kata beliau. Selain itu, ia juga membabitkan penghantaran kad QSL yang kemudiannya akan dibalas sebagai tanda mengesahkan wujudnya perhubungan.
Turut dijalankan adalah pendedahan berhubung aspek teknikal radio amatur meliputi pendawaian, bateri, lampu dan sebagainya, iaitu kemahiran selaras pembelajaran bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Pelbagai jenis aktiviti boleh buat dalam JOTA, termasuk radio fox hunting untuk mengesan isyarat. Perkara ini penting kerana sekiranya terdapat isyarat, kemahiran ini boleh digunakan dalam misi mencari dan menyelamat,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, JOTI bermula pada zaman permulaan internet, iaitu sekitar 1994 terutama dengan pengenalan saling bual internet (IRC). Hari ini, terdapat pelbagai kaedah komunikasi boleh digunakan termasuk aplikasi Skype yang capaiannya boleh ke peringkat antarabangsa. Pada minggu JOTA-JOTI, saluran-saluran ini akan dibuka secara meluas untuk memberi peluang ahli-ahli pengakap pelbagai negara berhubung.
Dalam pada itu, Nasaruddin berkata, JOTA-JOTI juga dapat menjadi platform bagi ahli-ahli pengakap untuk membentuk sahsiah dan jati diri mereka. Ini selaras dengan visi PPM untuk menjadi pertubuhan pendidikan golongan muda terunggul, moden, berdikari yang akan melatih golongan muda negara menjadi warganegara aktif seterusnya ejen perubahan positif kepada masyarakat melalui nilai-nilai kepengakapan. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).










