INTEGRITI dan tatakelola baik menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan memupuk medan sama rata untuk perniagaan, membantu mengurangkan ketidaksamaan sosioekonomi dan menyokong matlamat kelestarian alam sekitar.
Pengukuhan integriti dan tatakelola baik juga membantu menjadikan dasar awam lebih berkesan dan meningkatkan kecekapan pelaksanaannya.
Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diterima pakai oleh semua anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 berfungsi sebagai rangka tindakan penting negara untuk merangka polisi bagi memastikan masa depan lebih baik dan lebih mampan. Dengan komitmen terhadap pertumbuhan ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar, perjalanan Malaysia ke arah SDG menunjukkan integriti dan tatakelola yang baik berperanan sebagai asas utama untuk mencapai pembangunan mampan dan kesejahteraan penduduknya.
Ia selari dengan Kerangka Malaysia Madani diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memartabatkan semula Malaysia sebagai negara makmur dan dihormati. Anwar dalam prakata Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menyatakan, “Kerajaan juga perlu mendapatkan semula kepercayaan rakyat dengan memastikan tatakelola yang baik dalam pentadbiran negara, institusi awam dan penegakan prinsip-prinsip demokratik.
“Nilai insaniah akan dimantapkan dengan menjulang tinggi prinsip kebertanggungjawaban dan aspek integriti. Nilai-nilai ini seharusnya mengetuk pintu sanubari setiap rakyat untuk mendukung iltizam murni kita dalam membina sebuah perencanaan baharu buat Malaysia.”
Pada pembentangan KSP RMK12 di Dewan Rakyat pada 11 September lalu, Anwar menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta. Ini menunjukkan kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat darjat menjadi sebuah negara bermaruah dan antirasuah.
Secara asasnya, integriti dan tatakelola baik mempunyai kesan positif yang kuat terhadap ukuran kepercayaan sosial, kepuasan hidup, keamanan dan legitimasi politik. Sesungguhnya apabila kerajaan dan institusi awam bertanggungjawab kepada rakyat dan negara, mereka lebih cenderung untuk membuat keputusan yang mengutamakan kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi. Dalam konteks ini, penekanan terhadap ketelusan membolehkan rakyat melihat bagaimana kerajaan dan institusi awam membelanjakan wang diperuntukkan dengan cekap dan berhemah, dan bagaimana sesuatu keputusan dibuat tanpa melibatkan konflik berkepentingan salah guna kuasa.
Seperti semua sedia maklum, rasuah dan fraud adalah penghalang utama kepada pembangunan mampan bagi sesebuah negara. Rasuah dan fraud menjejaskan pelaburan asing ke Malaysia serta menjejaskan kualiti pendidikan dan penjagaan kesihatan rakyat, akhirnya menyumbang kepada defisit kepercayaan kepada kerajaan. Hanya dengan penekanan kepada amalan integriti dan tatakelola baik mampu membantu negara menghalang rasuah dan fraud daripada menjadi semakin parah.
SDG 16
Integriti dan tatakelola yang baik juga akan membantu negara melindungi alam sekitar. Apabila kerajaan dan institusi perniagaan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, mereka lebih berkemungkinan membuat keputusan yang melindungi alam sekitar. Ini penting untuk pembangunan mampan kerana perubahan iklim dan perubahan alam sekitar merupakan ancaman utama kepada planet kita pada hari ini.
Jika dilihat, integriti dan tatakelola yang baik merupakan komponen penting dalam rangka kerja SDG, bukan sahaja untuk mencegah rasuah dan melindungi institusi demokrasi (seperti dinyatakan dalam SDG 16), tetapi juga untuk menjadikan ekonomi lebih produktif, sektor awam lebih cekap dan masyarakat lebih inklusif. Ia bermaksud pembudayaan integriti dalam semua sektor masyarakat adalah penting dalam pelaksanaan keseluruhan agenda SDG.
Membina strategi integriti koheren yang disepadukan ke dalam amalan tatakelola lebih luas di semua peringkat adalah penting untuk mencapai kemajuan pada setiap SDG. Sehubungan itu, kewujudan semula sebuah pelan integriti yang baharu adalah perlu dan ia bukan hanya lebih kepada pelan tindakan semata-mata. Namun, ia juga adalah pemangkin kepada transformasi pembudayaan integriti di negara ini.
Pelan sebegini boleh menyemai prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti di semua peringkat masyarakat. Apabila individu, institusi dan pegawai awam menerima nilai-nilai ini, budaya tatakelola yang baik akan meningkat, seterusnya membantu negara dalam mencapai SDG menjelang 2030. Pelan integriti juga boleh mewujudkan mekanisme untuk memastikan semua pihak berkepentingan bertanggungjawab terhadap komitmen dan tindakan mereka yang berkaitan dengan SDG. Ia juga boleh memastikan semua pihak dalam masyarakat berkongsi komitmen terhadap tingkah laku beretika dan pematuhan kepada prinsip SDG.
Berkaitan itu, Institut Integriti Malaysia (IIM) komited dan bersedia untuk membangunkan sebuah pelan integriti di peringkat nasional dengan menjadikan SDG dan Kerangka Malaysia Madani sebagai asas utama supaya negara mencapai matlamat dikenali kerana integritinya dan bukannya kerana rasuahnya. Komitmen ini berdasarkan pengalaman IIM dalam menggerakkan dan memantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) dari 2004 hinggalah 2018.
Pembangunan PIN juga selari dengan Ekonomi Madani yang meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan negara di tangga 25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dikeluarkan oleh Transparency International.
Sebarang cadangan atau input berkaitan pelan integriti yang baharu daripada semua sektor masyarakat amatlah digalakkan dan boleh disalurkan ke www.iim.gov.my. – UTUSAN
Datuk Nor Yahati Awang ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM).










