UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lepas. Dalam ucapannya, Perdana Menteri dengan jelas dan tuntas mengiktiraf peranan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk UiTM bagi menumpukan kepada latihan dan peningkatan kemahiran bakat-bakat baharu tempatan bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi seperti ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.
Semua pihak harus sedar, antara peranan asal UiTM mewujudkan graduan profesional dan separa profesional adalah untuk melahirkan masyarakat perdagangan dalam kalangan bumiputera supaya wujudnya keseimbangan pemilikan ekonomi negara. Atas dasar tersebut, perjuangan dalam memartabatkan bangsa dalam bidang pendidikan diteruskan yang mana kemudiannya pusat latihan Dewan Latihan RIDA dijenama semula sebagai Maktab Mara pada 1965.
Sekali lagi bagi mengiktiraf peranan sebagai pusat pendidikan tinggi bumiputera, pada tanggal 26 Ogos 1999 nama ITM (Institut Teknologi Mara ditukar kepada UiTM selaras kejayaan institusi tersebut memajukan pendidikan bumiputera lebih empat dekad.
UiTM seterusnya mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004 dan menjadi universiti pertama di dunia menerima pensijilan keseluruhan meliputi pengurusan korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran.
UiTM ibarat helang yang terbang tinggi, kini menduduki tangga ke-101 hingga 200 daripada 1,591 institusi di seluruh dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023. UiTM memperoleh skor keseluruhan 85.9 berbanding 82.8 pada tahun lalu sekali gus mengekalkan kedudukannya untuk empat tahun berturut-turut.
Sementara itu, UiTM mencapai kedudukan ke-555 dalam QS World University Rankings 2024, melonjak 102 anak tangga dari kedudukan 657 pada tahun lalu. Selain berjaya mencatatkan rekod baharu, lonjakan kedudukan tersebut menjadikan UiTM antara 37 peratus teratas daripada 1,503 institusi seluruh dunia menerima kedudukan tahun ini.
Sesungguhnya pengumuman Perdana Menteri agar UiTM memainkan peranan dalam mewujudkan graduan dalam bidang ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif tepat pada masanya selaras pencapaian tersebut dan usaha sedemikian sewajarnya dilakukan bersungguh-sungguh dan penuh iltizam.
Dalam era Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, UiTM seperti pusat pendidikan tinggi dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) lain perlu bergerak seiring perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang bakal menyaingi teknologi insani khususnya dalam melaksanakan kegiatan ekonomi.
Untuk memperhebatkan lagi penglibatan pelajar dalam bidang keusahawanan, UiTM melalui inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) menjalankan usaha di peringkat awal pelaksanaan dengan mewujudkan koridor keusahawanan mahasiswa UiTM. Tumpuan diberikan untuk menjadikan semua kolej kediaman sebagai pusat kegiatan keusahawanan mahasiswa secara sistematik.
Selain melahirkan atlet negara bertaraf antarabangsa, program sportpreneur untuk melahirkan usahawan bidang sukan dilaksanakan.
UiTM merintis kerjasama awal melalui perjanjian persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat minuman kesihatan antarabangsa yang mana semua aktiviti sukan mampu menjana pendapatan melalui pendekatan kreatif dan inovatif.
EKONOMI GIG
Program createprenuer yang dilaksana Januari lalu oleh UiTM mendapat kerjasama Akademi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Pembangunan Keusahawanan Malaysia (MASMED). Program tersebut berbentuk projek bulanan yang berlangsung setahun dari Januari hingga Disember 2023. Program ini merupakan satu perkongsian dan pemindahan ilmu daripada pihak industri luar serta tenaga akademik (pensyarah) dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti makanan, pakaian, kecantikan, kafe, ekonomi gig dan banyak lagi.
Ia menyasarkan penyertaan mahasiswa dan staf UiTM bagi memupuk minda keusahawanan dalam kalangan mereka. Usaha ini bertepatan dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2023 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan berjaya.
Program seperti ini bukan sahaja mampu menjana minda keusahawanan malahan UiTM turut menggalakkan kerjasama akademik dengan agensi-agensi agama Islam di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memperkasa industri halal yang kini bernilai bilion ringgit di peringkat global. Usaha memantapkan ekonomi Islam sebagai penjana ekonomi ummah yang menepati maqasid syariah.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini mengumumkan kementeriannya membelanjakan hampir RM43 juta sejak 2016 untuk menjayakan agenda keusahawanan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025, kementeriannya merekodkan lebih 40,000 pelajar IPT awam (IPTA) yang menjadikan usahawan sebagai kerjaya pilihan selepas bergraduasi.
UiTM bukan sahaja melahirkan graduan untuk pasaran kerja tetapi turut melahirkan alumni-alumni yang menjadi tokoh wartawan, tokoh perfileman dan lain-lain lagi. Selaras kepercayaan Anwar untuk UiTM melahirkan bakat industri kreatif, pada masa ini UiTM dalam perancangan mewujudkan hab industri kreatif bagi merancakkan lagi usaha menghasilkan lebih ramai graduan dalam industri tersebut.
UiTM melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media; Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) telah menghasilkan ramai graduan yang terlibat dalam industri seni kreatif di negara ini sejak kesemua fakulti tersebut ditubuhkan. Usaha untuk mewujudkan lebih ramai graduan dalam bidang kreatif sudah pasti mampu membawa kemajuan ekonomi pada bumiputera sebagaimana dasar kerajaan untuk UiTM mewujudkan golongan profesional dan separa profesional dalam pelbagai bidang.
Bagi aeroangkasa, bidang tersebut memerlukan semua pihak untuk menggembleng idea bagi mewujudkan batu asas yang kukuh sebelum ia menjadi kenyataan. Namun, dilihat daripada latar sejarah dan rekod-rekod pencapaian UiTM sejak 1956 hingga kini mampu melahirkan lebih sejuta graduan pelbagai peringkat, usaha meneroka bidang aeroangkasa bukan sesuatu yang mustahil di bawah kerajaan madani hari ini.
UiTM yang dahulu dikatakan sebagai ‘institut tolong Melayu’ kini mampu mentadbir hospitalnya sendiri, melahirkan graduan-graduan kelas dunia dalam bidang perakaunan dan lain-lain.
Kepercayaan Perdana Menteri untuk UiTM memberi tumpuan melahirkan bakat-bakat baharu tempatan bumiputera dalam bidang ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif akan dilaksana dengan penuh tanggungjawab dengan sokongan kerajaan madani secara berterusan, insya-Allah. – UTUSAN
Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).










