KALAU dahulu kita sibuk bergaduh tentang bekalan dan harga telur, sekarang kita berdebat pula tentang masalah bekalan dan harga beras. Bila sudah kecoh, ramai berebut memberi pendapat termasuk mencipta bermacam teori dan spekulasi.
Namun, di tengah-tengah keriuhan itu, hanya sekelumit yang benar-benar ikhlas berusaha mencari jalan bagi menyelesaikan masalah berbangkit. Kalau para pemimpin tidak boleh berfikir secara konstruktif dan hanya mengheret semua masalah ke kancah politik, kelak tunggang-langganglah negara kita.
Baik wakil rakyat kerajaan atau pembangkang, kesemua mereka telah diundi rakyat untuk memimpin, bukannya hanya sekadar bercakaran baik di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Berikan perhatian kepada dasar pendidikan negara. Negara akan punah-ranah jika para pembuat dasar kerjanya hanya berpolitik siang dan malam.
Generasi-generasi Z, alfa dan seterusnya yang bakal mewarisi kepimpinan negara harus dididik dengan sempurna agar benar-benar berkebolehan dan mampu bersaing di peringkat global.
Kita tidak boleh terus menerus mendidik anak bangsa dalam kerangka yang sama sebagaimana generasi baby boomers dan generasi X, kerana banyak perkara yang sudah pun berubah termasuk teknologi yang diguna pakai.
Banyak perkara yang dahulunya penting, kini sudah tidak lagi relevan. Kita akan ketinggalan jika masih berada di takuk lama sedangkan orang lain sudah berada jauh di hadapan.
Generasi Z tidak boleh terlalu selesa dan mengambil mudah soal masa depan kita. Kita hidup dalam dunia tanpa sempadan yang memerlukan kita menjadi warga global.
Maka, pendidikan adalah sangat penting bagi memastikan kita menjadi generasi yang berjaya dan dapat mengharungi cabaran getir pada masa depan.
Saya amat bertuah kerana berpeluang menghadiri syarahan, The Fourth Distinguished Lecture Series on Youth Well-being oleh Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail bertempat di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM), baru-baru ini.
Banyak perkara yang membuka mata saya dan harus diambil perhatian oleh pihak pengurusan universiti serta kerajaan agar kita tidak menjadi generasi yang gagal.
Berbicara tentang pendidikan masa depan dan kesejahteraan belia, beliau memperincikan perubahan-perubahan yang harus dilakukan oleh universiti dalam mendidik generasi muda bagi menghadapi tuntutan yang sangat mencabar pada masa hadapan.
Asma juga mengupas tentang masalah akibat jurang di antara generasi yang jika tidak diatasi, bakal mengundang masalah serius.
DUNIA DIGITAL
Semua pihak harus sedar dan bersedia untuk berubah kerana kita memerlukan kerjasama dan dedikasi semua pihak terlibat untuk berjaya. Namun, hal ini tidak mudah.
Ramai merasakan tiada salahnya kita mengekalkan kaedah dan kerangka pendidikan sedia ada. Bukankah kaedah yang ada itu telah membentuk mereka sehingga berjaya sebagai pakar akademik?
Jika ia baik, kenapa mahu diubah? Generasi berubah kerana persekitaran berubah. Generasi terdahulu membesar tanpa akses kepada teknologi tinggi, namun generasi baharu hidup dalam dunia digital.
Maka, masalah yang timbul juga berbeza daripada dahulu. Ini bermakna cara penyelesaiannya juga harus berbeza. Namun, sanggupkah pihak universiti berubah bagi menangani masalah alaf baharu?
Hal ini tidak mudah kerana untuk mencapai matlamatnya, para pensyarah perlu dilatih dan penyelarasan semula kaedah pengajaran dan silibus universiti perlu dilakukan.
Sebagai contoh, akibat suasana mereka dibesarkan, generasi Z kekurangan kemahiran insani (kemanusiaan). Justeru, hal ini harus ditangani dengan tuntas agar generasi seterusnya tidak menghadapi masalah serupa yang lebih serius.
Walaupun masalah ini sering diperkatakan, apakah tindakan kita? Tiada gunanya kajian demi kajian tentang hal sebegini dilakukan jika usaha tidak diambil untuk mengatasinya.
Dalam usaha melahirkan bakat-bakat masa hadapan, para pelajar harus dilatih menguasai bidang kemahiran abad ke-21. Cara pemikiran linear harus diubah kepada cara pemikiran bersistem bagi merungkai masalah secara holistik dan menyeluruh. Mereka tidak sahaja harus berpengetahuan tetapi juga mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang.
Menginsankan pendidikan adalah penting agar pelajar menjadi insan yang baik dan bersifat manusiawi. Mahasiswa harus dilatih untuk menyejahterakan masyarakat sekeliling dan pada masa sama belajar daripada pengalaman masyarakat setempat. Mereka harus mampu mengaplikasikan ilmu sejak di universiti dan bukannya sekadar menghafal teori ilmu untuk menurunkannya kembali pada kertas peperiksaan semata-mata.
Penerapan nilai yang baik harus diberi keutamaan dalam semua disiplin ilmu untuk membentuk sifat manusiawi dalam diri setiap daripada kita. Pendidikan bukan lagi sekadar proses mengalih maklumat daripada guru kepada murid tetapi pelajar mesti mampu mengaplikasikan maklumat yang ada bagi menyelesaikan masalah.
Maka, pelajar universiti harus diajar berfikir secara kritis dalam skop lebih luas dan terbuka, bukannya hanya dipaksa menurut tanpa dibenarkan berfikir dan bersuara. Masalah juga timbul apabila pelajar dipaksa belajar subjek yang tidak sesuai dengan minat dan kebolehan mereka serta dihalang daripada belajar subjek yang diminati walaupun mampu dari segi akademik.
Ini mengakibatkan tekanan kepada para pelajar dan mengakibatkan mereka hilang minat belajar. Bagi saya, waktu di universiti ialah peluang untuk belajar pelbagai perkara yang diminati selain subjek utama yang mesti diselesaikan.
Maka harus ada perbincangan dan keterlibatan pelajar dalam merangka kaedah pendidikan masa depan dan dalam pelaksanaan sistem pendidikan di universiti. Pada masa sama, generasi Z mesti menghormati mereka yang lebih dewasa agar menjadi lebih bijaksana dan tidak terleka dalam kepompong sendiri. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











