SEJAK bulan lalu, rakyat tertanya-tanya sungguhpun negara sudah merdeka 66 tahun lalu, masih gagal mengurus bekalan beras tahap sara diri (SSL)? Dalam menghadapi kemelut sekuriti makanan negara, pertanyaan sering dilontarkan, apakah peranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mempunyai 17 jabatan dan agensi di bawahnya dalam memastikan bekalan makanan tidak terganggu sehingga nilai import makanan mencecah RM60 bilion setahun?
Adakah jabatan dan agensinya bergerak ke arah tata kelola cemerlang abad ke-21 atau berpuas hati dengan melancarkan dasar-dasar pertanian sejak puluhan tahun lalu tetapi keadaan tidak juga banyak berubah?
Malaysia dilabel negara yang gagal mengurus makanan walaupun mempunyai keluasan 330,000 kilometer (km) persegi dan dikelilingi pantai 4,675 km. Penduduknya hanya 34 juta. India dengan 1.4 bilion penduduk mampu mengeksport beras ke serata dunia. Begitu juga Vietnam yang rakyatnya hampir 100 juta tidak mengalami kekurangan beras.
KPKM sebenarnya terlepas pandang meneliti luahan hati bekas menterinya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub tentang banyak kelemahan dan kekurangan urus tadbir kementeriannya semasa perhimpunan warganya pada 6 Januari 2020 di Putrajaya. Kebiasaannya para menteri akan menyampaikan ucapan tahunan melalui teks disediakan. Teks kebiasaannya dipenuhi kejayaan-kejayaan yang dicapai, pujian, penghargaan dan terima kasih atas kerjasama pegawai sepanjang tahun.
Jarang menteri berterus terang menyatakan isi hati secara jujur keadaan sebenar kementerian kerana bimbang mengguris hati warganya dan akan disiarkan oleh wartawan yang dijemput, seolah-olah membuka pekung di dada. Namun, Salahuddin tidak teragak-agak menzahirkan kekecewaannya terhadap prestasi pegawai dan jentera kementerian yang dipimpinnya selama 20 bulan sebelumnya.
Beliau yang pernah dicop ‘menteri menangis’ kerana sangat sedih semasa seorang petani, Wak Ibas, 77, membaca surat melahirkan kebimbangan pemotongan subsidi baja dan elaun sara diri oleh kerajaan dalam majlis di Serdang, Selangor pada Februari 2019 dengan tegas berkata, “Tetapi 2020 saya bukan lagi Salahuddin Ayub 2019.
“Saya tidak takut dan tidak teragak-agak lagi untuk memastikan pegawai-pegawai kita dapat melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab. Masa untuk saya belajar telah tamat. Masa untuk saya mencuba-cuba telah selesai.
“Saya berdiri pada pagi ini untuk memimpin pasukan kementerian dengan langkah-langkah yang telah kita susun melalui hala tuju yang dilancarkan dengan jelas dan menuntut kepada pelaksanaan yang lebih tuntas. Tidak perlu iring saya, beri bunga, nyanyi lagu hari jadi untuk saya.
“Saya tidak minta itu semua. Yang saya pohon ialah kebersamaan kita menerajui kementerian untuk rakyat di luar sana yang selayaknya mendapat banyak manfaat daripada kementerian yang besar ini,” kata Salahuddin dalam nada serius.
Beliau hairan bagaimana negara kecil seperti Taiwan dan Belanda mampu mengeksport barang pertanian hampir ke seluruh dunia.
Malaysia, katanya mempunyai institusi pertanian seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), 600 saintis, tokoh-tokoh dan para pemikiryang melahirkan banyak idea besar untuk mengubah landskap pertanian negara.
Sungguhpun begitu, katanya, Malaysia masih gagal menjamin pendapatan petani ditingkatkan.
“Saya mengharapkan Ketua Setiausaha (KSU) akan memastikan kerenah birokrasi yang mungkin menebal lagi dalam agensi dapat dimusnahkan. Kalau tidak dapat musnah 100 peratus, kita pendekkan rantaian birokrasi itu,” tegasnya.
BIROKRASI
Salahuddin turut melahirkan kehampaannya terhadap kerenah birokrasi apabila beliau ke Perlis pada 2 Januari 2020 meninjau keadaan sawah.
“Sawah kering kontang. Masih ada jawapan (pegawai) mengatakan. Ini bukan kuasa saya, ini mesti dirunding dengan jabatan. Petani hari-hari menangis tengok padi rosak. Peraturan apa ini?
“Tuduh menuduh antara satu sama lain. Saya mahu perkara ini selesai once for all. Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pegawai yang cuba bermain-main dengan tanggungjawab dan cuba melakukan sesuatu yang tidak menepati ikrar yang anda janjikan.”
Salahuddin juga tidak dapat melindungi perasaan kecewanya setelah mendapati lebih 50 peratus belanja mengurus kementerian terpaksa dipulangkan kepada Kementerian Kewangan.
“Apa maknanya ini? Salah ibu yang mengandung? Salah menteri yang memimpin? Salah KSU yang menjalankan urus tadbir?
“Duit kita banyak tidak habis belanja, kenapa?” soalnya dalam nada kesal.
Salahuddin seterusnya menegaskan, “Tahun ini (2020) saya mewajibkan apabila saya minit sesuatu surat, bila YB (Yang Berhormat) Timbalan Menteri minit sesuatu surat, wajib untuk laksanakan dengan cepat dan akan saya tuntut berapa masa perkara itu mesti ditunaikan.”
Beliau memberi amaran kepada staf kementerian, “Jangan main-main lagi dan saya tidak akan teragak-agak memastikan pegawai buat kerja dengan baik dan akan mengambil tindakan ke atas pegawai yang tidak mahu bekerja dengan saya.
“MOA (Kementerian Pertanian) payung rakyat, tempat berteduh dan kita mesti memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” jelas Salahuddin.
Terdapat banyak lagi aspek luahan kehampaannya terhadap perjalanan kementeriannya dalam ucapan Salahuddin. Bagaimanapun, Salahuddin tidak dapat meneruskan hasratnya membawa transformasi di kementeriannya apabila kerajaan Pakatan Harapan naungannya tumbang kira-kira enam minggu selepas ucapan kerasnya.
Sekiranya KPKM bersungguh-sungguh mahu mengatasi masalah sekuriti makanan negara, ucapan panjang 6 Januari 2020 Salahuddin perlu diteliti dan dijadikan perbincangan berbentuk ilmiah kajian kes. KPKM boleh mendapatkan khidmat kepakaran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dalam usaha itu.
Selain itu, KPKM perlu mengaudit keberkesanan setiap jabatan dan agensinya dengan penuh kejujuran dan integriti, seterusnya melaksanakan tindakan transformasi besar-besaran.
Kejayaan dasar-dasar pertanian tidak terletak pada penghasilan dalam bentuk tulisan semata-mata tetapi sejauh mana dihayati oleh warga KPKM serta dibuktikan dengan tindakan yang membawa keberhasilan tinggi.
Sikap menafikan wujud kelemahan dan kekurangan di semua peringkat di KPKM bukan sahaja merugikan kementerian itu membawa perubahan tetapi turut menggagalkan Malaysia muncul sebagai negara yang berjaya menjaga sekuriti makanan.
Mulakanlah langkah intervensi di KPKM terlebih dahulu. Bukankah menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam ucapannya pada Januari lalu berkata, kementeriannya memperoleh markah paling rendah berdasarkan pandangan awam seperti didedahkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali? – UTUSAN
Penulis ialah seorang peladang.










