SELAMAT datang ke dunia pengajian tinggi buat para mahasiswa baharu yang akan memulakan pengajian rata-ratanya pada awal Oktober ini. Selamat kembali buat senior-senior di semua universiti tempatan yang bakal meneruskan perjuangan mereka dalam bidang pengajian masing-masing.
Bagi semua mahasiswa tidak kira junior atau senior, perlulah sedar dan tahu apakah matlamat dan perjuangan yang perlu diangkat sepanjang berada di universiti. Apakah strategi dan kaedah pembelajaran yang perlu dibudayakan agar di penghujung destinasi pengajian kelak akan membuahkan sesuatu yang bermakna sebagai bekal memasuki fasa seterusnya, iaitu semasa bekerja?
Telah menjadi satu kebiasaan untuk kita bertemu dengan dua kutub personaliti dalam kalangan mahasiswa di universiti. Pertamanya, golongan ulat buku yang kelihatannya sangat cenderung kepada pembacaan meluas dan setia menelaah serta mensintesis setiap inci ilmu yang diperturunkan oleh pensyarah dalam kuliah. Golongan ini lazimnya juga dipanggil mat atau minah skema lantaran dedikasi tinggi mereka dalam akademik. Aktiviti selain akademik tidak dipandang serius, bahkan dianggap mengganggu fokus mereka untuk meraih keputusan cemerlang setiap semester.
Golongan keduanya adalah mereka yang terfokus kepada aktiviti selain di bilik kuliah, tidak kiralah sibuk berpersatuan, menyertai pelbagai aktiviti kesukanan, mahupun aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Pada hemat golongan berkenaan, minat dan kecenderungan mereka perlu dirai, lantaran medan dan peluang sangat terbuka luas disediakan, digabung pula dengan sifat keremajaan yang suka bereksperimentasi dengan sesuatu yang baharu.
Namun persoalannya di sini, benarkah ulat buku akan selalunya mendominasi pentas kejayaan apabila bergelar pekerja kelak? Begitu jua halnya dengan mereka yang terlalu aktif berpersatuan dan menjalani aktiviti luar, bolehkah mereka survive atau mempunyai kelebihan untuk memenangi hati bakal majikan bila tamat pengajian tanpa keputusan peperiksaan secemerlang seperti ulat buku?
EKSTREM
Memetik pandangan cendekiawan Islam, Yusuf Al-Qardhawi, satu-satu generasi yang mengikuti sesebuah sistem pendidikan perlu bersandarkan kepada realiti dan keilmuan. Generasi ini adalah generasi yang berlepas daripada segala sangkaan dan berhukum dengan keilmuan dan kebenaran yang nyata. Mahasiswa di universiti merupakan generasi yang dimaksudkan oleh Yusuf Al-Qardhawi ini dengan syarat mereka tidak terlalu ekstrem kepada salah satu daripada dua kutub personaliti yang disebutkan di atas tadi.
Sebagai seorang mahasiswa di universiti awam atau swasta, setiap daripada mereka perlulah memiliki keseimbangan dalam hal ehwal pembelajaran mahu pun aktiviti lain di luar bilik kuliah, bukan terlalu fokus kepada salah satu daripadanya. Tuntasnya, keseimbangan yang harus ada pada seseorang mahasiswa itu terbahagi kepada dua dimensi utama, iaitu keseimbangan dalaman dan keseimbangan luaran.
Keseimbangan dalaman diperihalkan melalui kemampuan memenuhi hak peribadi secara adil dalam aspek fizikal (kesihatan tubuh badan), emosional (perasaan yang bersih), mental (fikiran yang jernih) dan spiritual (hubungan dengan Allah SWT yang terbaik). Keseimbangan luaran pula adalah daripada kemampuan memenuhi hak-hak manusia lain yang berada di sekeliling mahasiswa tersebut.
Berteraskan nilai keseimbangan dalam kehidupan sebagai mahasiswa di universiti, peluang yang luas telah sekian lama diberikan oleh universiti-universiti kepada mahasiswa-mahasiswanya untuk menonjolkan diri dalam bidang berteraskan akademik, keusahawanan, inovasi, kebudayaan, kepimpinan, pengurusan, sukan dan lain-lain lagi. Peluang-peluang ini bertujuan membentuk graduan yang holistik dan seimbang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Graduan berkenaan memiliki disiplin ilmu yang relevan, akhlak dan penetapan minda yang sesuai, tingkah laku dan beradab untuk memajukan diri bagi membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemajuan keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Khairunneezam Mohd. Noor ialah Pensyarah Kanan di Program Dakwah & Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










