Perbetul langkah sumbang rasuah tanpa bertangguh

Perbetul langkah sumbang rasuah tanpa bertangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALA kemungkaran politik waktu ini, waima undang-undang, ekonomi serta pentadbirannya apabila terlihat, harus segera dipulihkan.

Mana-mana pemegang kuasa, baik dalam parti politik masing-masing mahukan induk dan kerajaan harus tidak lagi mendabik dada dengan kuasa yang ada. Dan sehingga ‘menindas’ mereka yang bertembung pendapat dan aliran dengan mereka.

Hak penentu bukan lagi melalui tohmahan atau penyalahgunaan kuasa atau undang-undang yang dipinda sewenang-wenangnya. Tetapi seharusnya melalui suara rakyat. Nampak klise bila istilah ‘suara rakyat’ sentiasa didendangkan. Namun kita wajar balik ke pangkal jalan. Banyak kemusnahan telah kita cipta dan lakukan terhadap orang Melayu dalam lima tahun ini.

Beringatlah! Segala yang buruk menimpa parti-parti Melayu sudah tentu memberi tempias pada orang Melayu.

Pada 1511, Sultan Melaka mungkin berpendapat bahawa kesultanannya akan kekal selama-lamanya. Hari ini kita tahu ia tidak kekal. Apakah tidak mungkin kemerdekaan kita juga tidak kekal? Bahkan hilang dalam sekelip mata kerana kecuaian kita?

Bukan bertujuan untuk menggemparkan sesiapa. Yang disebutkan tadi adalah yang nyata dan berkemungkinan. Kita mungkin tidak akan dijajah semula seperti mana British dahulu menjajah kita. Tetapi penjajahan dan penghinaan ke atas kita boleh dibuat dalam pelbagai cara dan bentuk.

Rasuah misalnya. Suatu ketika UMNO mendapat sinar baharu selepas era kelam pasca pilihan raya 1969. Begitupun kekuatan baharu UMNO, begitu juga pemulihan imej UMNO waktu itu diraih bukan semata-mata kerana Pas waktu itu sudah tidak lagi menjadi saingan politiknya.

 

GANDINGAN kebijaksanaan, keberanian dan ketegasan regu pimpinan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman berjaya mengembalikan keyakinan ummah kepada UMNO.

RENAISANS
Tetapi masa itu berlaku suatu renaisans di dalam UMNO. Muncul faktor lain yang lebih signifikan berjaya mengembalikan keyakinan ummah kepada UMNO. Kreditnya perlu diberikan kepada gandingan kebijaksanaan, keberanian dan ketegasan regu pimpinan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Tun Abdul Razak peka dan meneliti isu-isu utama yang dijadikan peluru menyerang UMNO dan menghambat kerajaan semasa kempen pilihan raya 1969. Beliau lalu bertindak segera melakukan langkah-Iangkah pembetulan.

Imej kerajaan berkaitan rasuah ditangani tanpa bertangguh. Tun Razak tidak memberi perlindungan kepada mana-mana juga anggota pentadbiran dan ahli parti yang terpalit dengan rasuah.

Atas nasihat Datuk Harun Hashim, Majlis Gerakan Negara (Mageran) melalui Ordinan Darurat No. 22, memberikan kuasa kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), untuk membekukan aset orang yang disyaki melakukan rasuah.

Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Said didedahkan memiliki wang sejumlah hampir RM1.2 juta, sebanyak RM330,000 wang tersebut telah disita kerana didapati diperoleh secara rasuah. Ahmad meletak jawatan Menteri Besar Februari 1970.

Pada Julai 1970, Menteri Besar Terengganu, Ibrahim Fikri diarah bercuti selama dua bulan dan selepas itu jawatan Menteri Besar Terengganu digantikan dengan Mahmood Sulaiman. Di peringkat Persekutuan, Khaw Kai Boh diarah berundur dari menjadi anggota jemaah menteri pada September 1970.

Sepanjang tahun 1970, BPR melakukan 3,265 inkuiri, 319 siasatan penuh, melakukan tangkapan 115 individu dan 67 penjawat awam, sementara tindakan disiplin dikenakan terhadap 87 pegawai. BPR turut diarah melakukan siasatan terhadap kontraktor dan pembekal yang memanipulasikan proses tender kerajaan.

Pendekatan preventif disuntik untuk meningkatkan integriti serta daya tahan pegawai awam dari godaan rasuah. Skala gaji baharu diperkenalkan dengan mengambil kira kos sara hidup, diperlengkap dengan kemudahan skim pinjaman perumahan agar kakitangan awam boleh membeli rumah tanpa perlu bergantung pada sumber kewangan dari pihak lain.

Pada awal 1971, Datuk Harun Hashim merumuskan bahawa kempen memerangi rasuah telah mencapai matlamat. Kesungguhan beliau memerangi rasuah dihargai. Harun diangkat ke kerusi Hakim Mahkamah Tinggi pada Mac 1971.

PENDEKATAN SALAH
Tun Razak tidak selesa dengan pendekatan salah, yang dilapor dilakukan oleh pihak tertentu di dalam angkatan tentera, lalu melakukan rombakan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia. Anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang dilantik oleh Tun Razak terdiri dari kalangan ahli-ahli parti yang kompeten, turut membawa masuk teknokrat-teknokrat dari kalangan anggota perkhidmatan awam yang memiliki prestasi cemerlang. Antaranya Ghazali Shafie, Abdul Kadir Yusof, Chong Hon Nyan dan K. Pathmanaban.

Pendekatan pimpinan Tun Razak memiliki unsur-unsur keselarian dengan kepimpinan yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: “Sesungguhnya kamu tidak dapat membeli hati manusia dengan harta. Akan tetapi kebaikan budi pekerti kamulah yang menawan hati mereka”.

Hebat dan seriusnya pembanterasan terhadap perbuatan rasuah di masa lalu. Apakah rentak dan jalan penyelesainya sama di masa ini?

Jangan ditinggalkan perjuangan membela agenda Melayu dan Islam.
Perbetulkan langkah-langkah sumbang rasuah tanpa bertangguh.
Rakyat dan dunia sedang memerhati kita.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN