“Pegawai pertanian memang tidak boleh diharap. Kalau kita minta tolong nak dapatkan khidmat nasihat, pokok-pokok sayur kita sudah mati, baru mereka sampai.” Demikian keluhan seorang petani di Kedah ketika membincangkan isu mengenai pengeluaran makanan dan keberkesanan agensi-agensi pertanian di negara ini dalam membantu memastikan bekalan makanan mencukupi.
Petani yang mengusahakan kebun sayur dan penternakan di sebuah daerah di Kedah itu berkata, dia bukannya mahu memburuk-burukkan mana-mana pegawai pertanian. Tetapi, itu adalah pengalamannya apabila berurusan dengan pegawai-pegawai agensi kerajaan yang berkaitan pertanian itu.
“Lain yang diumumkan kerajaan, lain pula yang sampai kepada kami,” katanya.
Katanya, mereka seolah-olah tidak ada simpati kepada para petani yang bertungkus lumus mengusahakan tanah untuk kesinambungan hidup selain menyumbang kepada makanan negara.
Katanya, ketika itu dia mengusahakan tanaman timun dan berhadapan dengan masalah penyakit. Selepas dua tiga kali ulang-alik ke pejabat pertanian daerah, barulah ada pegawai datang untuk melihat tanamannya.
Sebaik sahaja tiba pegawai tersebut terus berkata: “Pokok ini sudah mahu mati.” Memanglah sudah mahu mati sebab selepas petani mengadu ia mengambil masa hampir dua minggu untuk pegawai pertanian tersebut sampai.
Sudahlah lambat, apabila sampai merungut pula lecak hendak ke kebun kerana kebetulan musim hujan. Maka terpaksa petani terbabit bawa pegawai itu guna kenderaan pacuan empat rodanya yang daif. Tetapi, semuanya sudah terlewat.
Menurut petani berkenaan, sikap pegawai pertanian di negara ini jauh berbeza dengan di Thailand dan Indonesia.
Katanya, berdasarkan kepada pengalaman dengan negara jiran, Thailand, pegawai pertanian mereka mempunyai warna kulit sama hitam dengan para petani kerana sama-sama berjemur terik matahari dan bergelumang di kebun untuk memastikan hasil yang maksimum.
Walaupun dalam sesebuah kampung itu hanya ada tiga petani, para pegawai pertanian di negara itu tetap turun memberi tunjuk ajar kepada petani dari awal hingga dapat dituai hasil.
Hal yang sama juga berlaku di Indonesia. Pegawai pertanian mereka sama-sama bergelumang, berkeringat dan berhempas pulas dengan petani.
“Tetapi di Malaysia pegawai pertanian kita kategori VIP. Sebab itu kalau kita lihat, bidang pertanian sangat ke depan di Thailand. Sektor pertanian mereka maju. Pegawai pertanian mereka sangat komited membantu petani. Di Malaysia, mereka hanya akan membantu apabila ada VIP atau apabila kita sudah berjaya. Bukan ketika kita susah.
“Apabila sudah berjaya baru mereka akan muncul. Itu pun sebab mahu pacak papan tanda kononnya projek pertanian itu berjaya kerana mereka.” Demikian luah petani yang berusia setengah abad itu.
Kata petani tersebut, selepas meninggalkan dunia kerja kilang di hujung usia 20-an, dia mengabdikan keseluruhan dirinya dalam bidang pertanian. Fokusnya adalah menanam sayur seperti timun, peria, kangkung, maman dan pelbagai lagi untuk menyara hidup termasuk menghantar empat anaknya ke universiti tanpa bergantung bantuan atau pinjaman kerajaan.
Katanya, para petani mempunyai semangat yang tinggi untuk maju, bagi menghasilkan makanan untuk negara. Namun, semangat mereka itu dibunuh oleh kerenah kakitangan di agensi-agensi pertanian kerajaan.
Katanya, kerajaan umum pelbagai pakej bantuan, kewangan, pemasaran dan sebagainya. Tetapi yang benar-benar sampai kepada petani tidak sampai suku pun.
Seorang penternak puyuh turut berkongsi pengalaman yang sama apabila berhadapan dengan agensi kerajaan yang sepatutnya membantu petani.
Katanya, agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu petani dan penternak sepertinya memasarkan hasil secara total, bukan memilih-milih.
Dalam kes burung puyuhnya katanya, FAMA hanya mahukan puyuh yang bersaiz besar. Itu pun harga yang ditawar oleh FAMA masih rendah berbanding kos kenaikan bahan makanan yang ditanggung. Untuk yang bersaiz kecil para penternak terpaksa mencari pasaran sendiri jika mahu untung.
Hal yang sama dikongsikan oleh seorang penanam timun, bahawa FAMA hanya mahu membeli timunnya yang besar-besar dan lurusnya. Yang kecil sikit dan bengkok mereka tidak mahu, akhirnya petani terpaksa mencari pasaran sendiri atau dibiar tua di pokok.
Sedangkan katanya, kalau pergi ke pasar dan pasar raya majoriti yang dijual semuanya kecil-kecil dan banyak juga yang bengkok.
Petani tertanya-tanya kenapa agensi seperi FAMA memilih-milih dalam mengambil hasil pertanian. Sepatutnya sebagai agensi untuk memasarkan hasil pertanian FAMA beli apa sahaja yang dihasilkan oleh petani. Sama ada yang kecil, besar, bengkok, gred A atau gred C, borong semua. Kenapa perlu pilih-pilih? Sedangkan dana datang dari kerajaan?
Sepatutnya FAMA wujudkan industri hiliran juga supaya semua hasil petani dapat dibeli tanpa ada yang tertinggal sebiji pun. Barulah sesuai dengan mana lembaga pemasaran.
Agensi-agensi pertanian kerajaan ini sepatutnya berfikir untuk kepentingan rakyat. Produk-produk pertanian hasil orang kampung dan luar bandar sangat banyak. Tetapi tidak mendatangkan hasil kerana tidak ada pihak membantu mereka.
Ketika musim rambutan dan manggis sekarang ini, ia terbiar dan tidak dituai hingga luruh dipagut ayam kerana para petani ini tidak upaya untuk memasarkannya. Sepatutnya agensi-agensi kerajaan ini tampil dengan inovasi termasuk mewujudkan industri hiliran supaya semua buah-buah tempatan ini tidak terbuang begitu sahaja.
Sedangkan kalau menurut Journal of Advanced Research, manggis kaya dengan pelbagai khasiat kesihatan. Jika berdasarkan harga dari Indexbox, purata harga import oleh Jepun adalah AS$5,054 (atau sekitar RM24,000) satu tan pada April lalu. Kenapa kita tidak boleh manfaatkan ini? Kenapa tidak ada pihak bantu petani kita manfaat ini?
Satu lagi tanaman yang mempunyai nilai tinggi tetapi hanya terbiar di negara kita adalah moringa atau di sebelah utara dipanggil munggai. Nilai sekilo daun ini yang tersenarai di platform Alibaba adalah antara AS$9 hingga AS$20 (RM50 hingga RM100) sekilogram. Tetapi kenapa para petani kita tidak boleh manfaatkannya?
Jadi, tidak salah kalau petani kita mengatakan pegawai-pegawai jabatan pertanian dan FAMA tidak boleh diharap. Kalau semua agensi ini boleh diharap dan berperanan secara yang sepatutnya Malaysia sudah tentu tidak akan berhadapan dengan defisit import makanan. Para petani kita juga ramai yang akan jadi jutawan.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










