LAPANGAN Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) terletak di Batu Berendam. Ia diwujudkan untuk memberi kemudahan penerbangan kepada para pelancong dan penduduk tempatan termasuk dari utara Johor. Lapangan terbang ini mempunyai terminal penumpang tunggal yang boleh mengendalikan 1.5 juta orang setiap tahun.
Kedudukan LTAM hanya 15 kilometer (km) dari pusat bandar raya Melaka berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada lebih kurang 91 km. Ini memberi LTAM kelebihan dan kemudahan kepada pelancong serta ahli perniagaan yang ingin ke Melaka. Kedudukan strategik LTAM berpotensi menjadikannya alternatif kepada KLIA dan boleh dinobatkan sebagai pintu masuk pelancong ke negara ini.
Kewujudan dan kedudukan LTAM di sebuah bandar yang diiktiraf sebagai Bandar Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberi kelebihan tidak ternilai kepadanya. Selain pelancong biasa, LTAM juga memainkan peranan penting sebagai pintu masuk kepada industri pelancongan perubatan di Melaka.
Namun baru-baru ini, di ambang persiapan kerajaan negeri sedang melancarkan kempen Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024, kita dikejutkan dengan berita terhentinya penerbangan komersial di LTAM. Kerajaan negeri telah berkali-kali menjemput syarikat penerbangan untuk menawarkan perkhidmatan di LTAM, namun tiada sambutan diberikan kepada usaha ini.
Dilaporkan antara alasan diberi oleh syarikat penerbangan yang menghentikan sementara operasi di LTAM adalah jumlah penumpang rendah dan kos operasi tinggi. Penggantungan perkhidmatan ini amat memeranjatkan kerana terdapat banyak faedah dan potensi yang ada pada LTAM dan Melaka yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.
Lapangan terbang yang pernah menghubungkan Melaka ke Pulau Pinang, Kota Bharu, Langkawi dan Pekanbaru di Indonesia telah hilang daya tarikan kepada syarikat penerbangan dan mereka kurang berkeyakinan serta tidak mahu mengambil risiko untuk menawarkan perkhidmatan ke sini. Hal ini tentu memberi impak negatif kepada industri pelancongan tempatan.
Namun, diyakini kerajaan negeri tidak berdiam diri dan akan berusaha memulihkan keadaan di LTAM ini. Di sini ada beberapa strategi boleh diguna pakai untuk memikat syarikat penerbangan memberi perkhidmatan di LTAM:
Menyediakan insentif: Oleh kerana syarikat penerbangan beranggapan menyediakan perkhidmatan di LTAM tidak menguntungkan, kerajaan negeri wajar menawarkan insentif seperti kos pendaratan bersubsidi dan kerjasama pemasaran. Difahamkan kerajaan negeri sedang merangka insentif untuk ditawarkan kepada syarikat penerbangan terbabit untuk mengadakan perkhidmatan semula di LTAM.
Menambah destinasi: Rangkaian laluan perlu diperluaskan dengan menambah destinasi baharu. Menghubungkan LTAM dengan destinasi menarik di dalam negara dan antarbangsa akan menambah daya tarikan kepada pengguna untuk menggunakan LTAM.
Laluan menghubungkan LTAM ke destinasi dalam negeri yang mempunyai ramai pelancong seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu serta Singapura, Thailand dan Indonesia dapat menarik pelancong untuk datang ke Melaka.
Ini adalah satu kelebihan yang harus dimanfaatkan oleh kerajaan negeri. Usaha in berpotensi meningkatkan trafik penumpang masuk dan keluar di LTAM.
Meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan: Strategi ini secara tidak langsung akan memudahkan pengguna untuk mengguna LTAM kerana kedudukannya amat dekat berbanding KLIA di Sepang. Hasilnya akan dapat melihat peningkatan trafik pengguna perkhidmatan penerbangan di LTAM.
Meningkatkan promosi: Sempena TMM 2024, ketibaan pelancong di negeri ini dijangka meningkat. Peningkatan promosi LTAM melalui pelbagai platform termasuk media sosial, perhubungan awam dan pengiklanan boleh menarik lebih ramai pelancong menggunakan LTAM. Promosi menggunakan papan iklan di destinasi baharu yang menawarkan perkhidmatan penerbangan ke LTAM perlu dipergiatkan.
Kekerapan berita mengenai produk pelancongan di Melaka perlu dikaitkan dengan perkhidmatan penerbangan ke LTAM dan ini perlu dilaksanakan oleh unit perhubungan awam kerajaan negeri. Selain itu penggunaan media sosial terutama TikTok, Facebook dan Instagram dengan bantuan pempengaruh juga dapat menarik perhatian orang ramai.
Kerjasama dengan syarikat pelancongan tempatan: Ini boleh membantu mempromosi lapangan terbang dan destinasi pelancong di Melaka. Tanggungjawab mempromosi produk pelancongan dan LTAM juga perlu dipikul bersama dengan pihak swasta berkepentingan dalam industri pelancongan negeri. Kempen pemasaran bersama seperti menawarkan diskaun dan pakej menarik kepada pelancong yang menggunakan LTAM juga dapat meningkatkan daya tarikan pengguna.
Membangunkan kemudahan kargo: Ini boleh menarik perniagaan baharu dan mewujudkan pekerjaan. Operasi kargo boleh menjana pendapatan besar dan membantu mengimbangi kos perkhidmatan penumpang.
Untuk menjayakan strategi-strategi di atas, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan hendaklah bersedia untuk melabur dalam pemasaran dan promosi.
Syarikat penerbangan perlu diyakinkan terdapat permintaan daripada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan di LTAM. Kerjasama dengan masyarakat setempat seperti sokongan daripada organisasi perniagaan dan tempatan juga boleh membantu mempromosikan lapangan terbang ini dan menarik penumpang.
Penerbangan komersial adalah penting untuk pengembangan industri pelancongan tempatan kerana dapat memberi hasil tambahan yang konsisten kepada kerajaan negeri dan ekonomi tempatan. Oleh itu kerjasama semua untuk memulihkan perkhidmatan penerbangan di LTAM haruslah dipikul bersama. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










