INDUSTRI makanan merupakan sektor penting dalam sesebuah negara. Ketersediaan makanan mencukupi dan stabil merupakan antara indikator sebuah negara itu mampu menjamin kualiti hidup masyarakatnya.
Berdasarkan trend dan corak semasa, beberapa potensi ancaman sekuriti makanan boleh menjejaskan sistem makanan global, antaranya perubahan iklim dan konflik geopolitik antarabangsa.
Di rantau Asia Tenggara, isu keterjaminan makanan sering berlaku berpunca kurangnya bekalan dari negara anggota ASEAN dalam sektor pertanian. Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022 menunjukkan empat negara anggota ASEAN, iaitu Singapura, Malaysia, Vietnam dan Indonesia berada pada kedudukan 10 teratas mempunyai tahap keselamatan makanan tertinggi.
TEND IMPORT MAKANAN
Nilai import makanan negara menunjukkan trend peningkatan sejak 2013 hingga 2022. Mengikut laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, import makanan negara mencatatkan sebanyak RM75.54 bilion pada tahun lalu, berbanding RM38.8 bilion (2013), peningkatan sangat ketara, iaitu 94.69 peratus. Sekiranya trend ini berterusan, tidak mustahil menjelang 2025, nilai import makanan negara boleh mencecah RM100 bilion. Ini jauh daripada sasaran digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Bulanan pada April lalu oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), nilai import beras meningkat kepada RM334 juta atau 147,906 tan berbanding RM214 juta atau 89,082 tan pada Mac 2023.
Statistik ini jelas menunjukkan kebergantungan negara terhadap bekalan beras import bagi menampung permintaan rakyat semakin tinggi. Data di atas sejajar dengan dapatan kajian Institut Kajian Khazanah (KRI) bahawa negara berada pada 65 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras, manakala di Sabah dan Sarawak pula di bawah 60 peratus.
SSL merupakan komponen utama sekuriti makanan yang berfungsi sebagai indikator untuk mengukur kemampuan sesebuah negara memenuhi keperluan makanan daripada pengeluaran domestiknya. Semakin besar SSL bagi komoditi makanan tertentu, semakin kurang kebergantungan terhadap import antarabangsa dan dapat mengurangkan impak kejadian buruk daripada pasaran antarabangsa.
Agak menyedihkan apabila status Malaysia sebagai sebuah negara pertanian sebelum ini semakin dilupakan. Laporan DOSM pada 2020 mendedahkan, sektor pertanian negara hanya menyumbang 7.4 peratus secara purata terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak 2015 hingga 2022 berbanding pembuatan (22.8%) dan perkhidmatan (56.7%).
Menurut rekod Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang dilaporkan media, Kedah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada jumlah pengeluaran beras negara pada 2019. Ini bermakna hanya 25 peratus disumbangkan oleh negeri-negeri lain di seluruh negara, manakala bakinya terpaksa diimport untuk memenuhi keperluan domestik.
Adalah menjadi kegusaran jika hal ini dipandang remeh oleh pihak berwajib, tidak mustahil kedudukan negara dalam GFSI akan merosot sekiranya tiada sebarang usaha oleh kerajaan untuk meningkatkan lokasi atau kawasan penanaman beras negara. Dalam kalangan negara-negara Asia Pasifik, Malaysia berada pada kedudukan kelapan di belakang Jepun, New Zealand, Australia, China, Singapura, Kazakhstan dan Korea Selatan. Walaupun mengatasi negara-negara jiran dalam senarai GFSI pada 2022, kedudukan Malaysia jatuh dari tangga 39 ke 41 daripada 113 negara di dunia.
STRATEGIK
Menyedari pentingnya mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan, langkah-langkah segera dan strategik perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pengeluaran makanan terutama beras negara yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia. DAN 2.0 yang menyasarkan pengeluaran sehingga 5.3 metrik tan sehektar akan memenuhi sasaran mencapai tahap SSL 80 peratus menjelang 2030.
Untuk mencapai matlamat itu, lima strategi yang digariskan di bawah DAN 2.0 perlu segera dilaksanakan. Strategi pertama, melonjakkan produktiviti hasil padi dan beras sekiranya penghasilan padi di seluruh negara dapat ditingkatkan kepada enam tan sehektar. Maka negara tidak perlu lagi mengimport beras untuk kegunaan rakyat kecuali beras berharga mahal seperti basmathi.
Sejumlah RM218.1 juta diperuntukkan untuk Pembangunan Industri Padi dalam Belanjawan 2023 bertujuan menyokong matlamat DAN 2.0 terutamanya pengeluaran subsektor padi dan beras.
Strategi kedua, bagi pengurusan penggunaan tanah dan air yang lebih baik, kerajaan memperuntukkan RM6 juta dalam Belanjawan 2023 bagi Pemodenan Sistem Pengairan Padi.
Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood menggesa penerokaan kaedah penyimpanan air bawah tanah bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang mempengaruhi hasil pengeluaran padi. Air daripada banjir dan lebihan boleh disimpan dalam simpanan bawah tanah seperti dilakukan di Jepun.
Strategi ketiga, memanfaatkan potensi varieti beras istimewa tempatan. Usaha ini perlu dilaksanakan melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh agensi penyelidikan di bawah kementerian berkaitan. Sebagai contoh, terdapat kawasan di Sabah dan Sarawak yang sesuai untuk penanaman padi dengan lebih 500 padi unik terdiri daripada pelbagai ciri seperti rasa, warna dan tekstur. Jenis-jenis beras unik ini boleh merangsang daya saing industri padi dan beras Malaysia di pasaran tempatan mahupun luar negara.
Walaupun hasil padi di Sabah dan Sarawak hanya menyumbang jumlah yang kecil, namun negeri-negeri ini berpotensi mengembangkan industri padi negara melalui penanaman 500 jenis padi unik.
Strategi keempat, menstruktur semula bantuan kewangan sedia ada ke arah memperkasa pengeluar dalam membuat keputusan perniagaan. Dan strategi kelima, melibatkan penyertaan lebih ramai penggerak sektor swasta di sepanjang rantaian nilai serta memupuk penglibatan generasi muda terlibat dalam subsektor padi dan beras negara.
Kerajaan telah menggariskan satu dasar yang amat baik bagi memastikan keterjaminan makanan negara sehingga 2030. Namun, dasar ini perlu disokong melalui komitmen serta pelaksanaan strategik, sistematik dan bersepadu bagi mencapai matlamat utama, iaitu meningkatkan hasil pengeluaran padi dan beras negara. Isu-isu ketirisan dalam penyampaian subsidi bantuan misalnya, perlu diatasi segera bagi memastikan strategi digariskan DAN 2.0 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sekiranya ini dapat dilakukan, Malaysia bukan sahaja mampu meningkatkan SSL dan hasil pengeluaran padi, bahkan berupaya menjadi negara pengeksport hasil pertanian dan makanan ke luar negara. – UTUSAN
PENULIS ialah Penganalisis Penyelidikan di Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










