MALAM telah tiba di pekarangan panggung wayang, dihiasi hadirin yang terserlah dengan busana Melayu diikat kemas dengan songket serta tanjak. Serunai yang ditiup menemani gema gendang silat, menandakan malam gala mula berlangsung. Kelihatan undangan kehormat seperti pelakon, penerbit filem serta rakan dan keluarga masing-masing turut teruja menantikan pintu panggung dibuka bagi tayangan unjung kali di Malaysia bagi filem ini.
Pada awal minggu ini, saya menerima pelawaan bagi menyantuni malam gala dan tayangan perdana filem Walid di panggung wayang GSC, Starling Mall. Filem ini dibintangi Megat Shahrizal dan Putri Qaseh serta dikemudikan oleh pengarah Areel Abu Bakar. Filem aksi silat ini berlatarkan kisah seorang guru bernama Walid yang mengajar kanak-kanak tanpa negara membaca dan menulis di sebuah kampung kecil di sempadan negara apabila tiba-tiba dia ditemukan dengan seorang kanak-kanak perempuan tanpa negara yang mendambakan ilmu bernama Aisha. Satu sindiket menyerbu kampung tersebut dan menculik kanak-kanak termasuk Aisha bagi tujuan eksploitasi. Ini memaksa Walid memohon bantuan bagi menyelamatkan mereka lantas menunjukkan di balik kelembutan kelibat guru ini, wujud kekuatan mendalam.
Filem ini membincangkan motif menarik mengenai pandangan masyarakat mengenai isu pendatang dan kanak-kanak tidak bernegara, dengan Walid mewakili mereka yang mempunyai budaya lebih inklusif. Watak seorang tua pula menyatakan pandangannya bahawa pendatang ini tidak boleh dipercayai, mencerminkan pertembungan antara dunia lama dan baharu. Ibu Aisha lebih jelas, menerima nasibnya dengan pemahaman bahawa dia dan anak perempuannya ditakdirkan ke neraka manakala penduduk tempatan semua akan ke syurga. Ia adalah pandangan suram tentang masyarakat yang berpecah belah mengenai polemik pendatang dan hak kanak-kanak tanpa kerakyatan bagi mendapat pendidikan.
Ini mengingatkan kepada pengalaman saya berkhidmat sebagai aktivis program amal #Tagupimembaca yang merupakan usaha bagi membawa pelbagai alatan bantuan pembelajaran dan bahan bacaan bagi sekolah alternatif dinamakan Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang memberikan pembelajaran kepada kanak-kanak tanpa negara di Tagupi, Sabah. Malahan bermula 5 hingga 8 September ini, aktivis #TagupiMembaca meneruskan dengan siri keempat program amal tersebut.
Kedaifan keadaan bangunan kelas di mana watak Walid mengajar kanak-kanak di dalam filem itu dengan beratapkan mengkuang berpapan kapur serta dinding-dinding yang tidak wujud adalah keadaan sebenar bagi kelas-kelas sekolah di Tagupi. Begitu juga kelibat kanak-kanak yang bermain-main pasir di tepi jalan tidak bertar.
Bagaimana keikhlasan perwatakan Aisha yang amat cintakan ilmu sehingga sanggup menyelongkar sampah bagi mendapatkan bahan bacaan itu menyentuh hati Walid, seumpama sanubari kami disentuh oleh semangat kanak-kanak di Sabah tidak pernah mengeluh nasib mereka dibelenggu isu kerakyatan yang menyempitkan peluang pembelajaran dan kelangsungan hidup mereka.
CIKGU
Kesabaran dan kelembutan cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah PPMI di Tagupi turut diwakilkan dengan perwatakan Walid yang sentiasa sabar dalam mengajar kanak-kanak di dalam kelasnya. Kekuatan mendalam dipamerkan dengan gerak tari silat membasahi keringat tubuh badan Walid itu turut wujud pada usaha guru yang tidak pernah serik berusaha dan bertungkus lumus bagi mengajar kanak-kanak ini.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan mengenai pembaharuan pendidikan tinggi termasuk membuka peluang kepada individu tanpa kerakyatan dan pelarian bagi mendapatkan pendidikan. Beliau menegaskan, hak untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tidak seharusnya dinafikan hanya kerana status kewarganegaraan atau pelarian. Malah perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dilakukan bagi mencari penyelesaian sesuai dalam isu ini.
Sentimen ini turut disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di mana beliau dalam mengulas mengenai majlis pelancaran laporan khas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan individu tanpa kerakyatan menyatakan secara peribadi, beliau paling bimbang mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan, Ada perkara diambil mudah oleh kita, namun ia adalah satu cabaran kepada mereka yang tidak mempunyai kerakyatan. Antaranya proses mendaftar sekolah, pergi ke hospital kerajaan mahupun sekadar membuat laporan polis.
Prejudis terhadap kanak-kanak dan orang tidak bernegara ini adalah satu realiti harian bagi golongan ini. Saya sendiri pernah melihat sentimen ini apabila satu insiden di sebuah klinik di Lahad Datu di mana kami telah menghantar seorang aktivis bagi mendapatkan rawatan. Doktor di klinik itu menzahirkan kerisauan akan keselamatan kami mendiami Kampung Tagupi kerana pada hematnya, di situ ada pelbagai orang yang jahat dan berbahaya.
Harapan saya bagi filem ini adalah ia bukan sahaja dapat memberikan representasi bagi kanak-kanak dan warga tanpa negara yang wujud dalam kalangan kita di media perdana, ia juga mampu mengetengahkan isu-isu yang membelenggu kanak-kanak dan masyarakat tanpa negara dan hak mereka kepada pendidikan, sekali gus merubah pandangan masyarakat agar lebih cakna dan inklusif pada nasib masyarakat seperti ini.
Saranan saya, marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan dan menyokong usaha-usaha sekolah alternatif seperti PPMI bagi memastikan kanak-kanak ini mempunyai peluang bagi membaca dan mengira kerana seperti kata Walid, huruf itu cahaya ilmu. – UTUSAN
Penulis ialah aktivis #TagupiMembaca dan peguamcara litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










