INTEGRASI yang diangkat sebagai dasar pembentukan negara bangsa di negara ini sesungguhnya jauh lebih ringan tuntutannya daripada asimilasi.
Sehubungan ini, kedua-duanya adalah cara untuk mencapai penyatupaduan.
Dalam hal ini, integrasi membenarkan mereka yang bukan asal untuk terus hidup secara bukan asal walaupun dalam kehidupan nasional. Dengan ini, etnik Cina dibolehkan untuk mengadakan persekolahan dalam bahasa ibunda sendiri. Untuk ini, sekolah mereka ikut digolongkan sebagai sekolah kerajaan dengan nama sekolah jenis kebangsaan, manakala asimilasi tidak membenarkan mereka yang bukan asal untuk terus hidup secara bukan asal.
Dengan ini, mereka dikehendaki kekadang melalui perundangan untuk menjadi seperti kelompok peribumi. Hal begini dapat kita lihat dengan jelas di kebanyakan negara di Asia Tenggara.
Sehubungan ini, kaum Tionghua di Indonesia tidak dibenarkan mengadakan persekolahan dalam bahasa Cina untuk kehidupan nasional mereka.
Secara kiasan kimia, integrasi adalah campuran, iaitu masih boleh diasing- asingkan ramuan yang membinanya, manakala asimilasi adalah sebatian yang tidak boleh lagi dipisah-pisahkan bahan pembentukannya. Walaupun begitu sifat dua cara penyatupaduan ini, ia mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Sehubungan ini, integrasi didapati baik untuk terus mengekalkan identiti etnik sesuatu kelompok itu. Ini kerana ia hanya campuran yang masih boleh mengenali unsur membinanya. Untuk asimilasi, identiti etnik asal dileburkan untuk menjadi yang baharu. Dengan ini, ia tidak boleh dikenali lagi.
Itulah sifat integrasi dan asimilasi secara teori. Etnik bukan Melayu, misalnya Cina yang begitu cauvinis tentang identiti Cinanya sepatutnya menerima integrasi bukan sahaja dengan seadanya tetapi dengan penuh kesyukuran. Ini kerana mereka masih boleh menjadi Cina, malah yang totok sifatnya walaupun bermastautin di negara Melayu.
Namun yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu walaupun sudah sekian lama negara ini ditubuhkan, etnik Cina kelihatan masih belum bersedia, malah enggan sekali berintegrasi ke dalam struktur sosial Melayu. Ini antaranya dapat dilihat apabila mereka secara umumnya enggan menerima bahasa Melayu walaupun dalam kehidupan nasional mereka apatah lagi dalam kehidupan domestik dan komuniti mereka.
WAJIB LULUS
Sehubungan ini, bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara hanya dipelajari atas dorongan instrumental, yakni bagi memenuhi syarat peperiksaan sebagai mata pelajaran wajib lulus.
Setelah matlamat ini diperoleh, bahasa Melayu walaupun sebagai bahasa negara akan dikesampingkan. Ini dilakukan atas pelbagai alasan.
Antaranya ia tiada nilai ekonomi apabila dibandingkan dengan bahasa Inggeris mahupun Mandarin. Bahasa Melayu juga dikatakan mereka sebagai amat terhad penyebarannya, iaitu di Indonesia sahaja selain Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa semua ini benar. Akan tetapi bahasa Melayu mempunyai nilai kenegaraan kepada kita di Malaysia.
Sehubungan ini, ia merupakan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. Begitulah nilainya yang tidak dapat didukung oleh bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin dalam konteks nasionalisme dan patriotisme Malaysia.
Sepatutnya bahasa Melayu diketahui, malah dikuasai oleh etnik Cina bersama-sama dengan bahasa Mandarin yang kini menjadi bahasa ibunda mereka. Kecekapan dalam kedua-dua bahasa ini bukan sahaja baik dalam konteks integrasi, iaitu penerimaan struktur sosial Melayu. Ia juga bagus sebagai petanda positif terhadap nasionalisme dan patriotisme untuk diri mereka.
Selain ini, etnik Cina yang telah dileburkan identiti Cina di beberapa negara Asia Tenggara mendapati etnik Cina Malaysia amat bertuah sekali. Ini kerana melalui integrasi, mereka masih boleh terus hidup sebagai etnik Cina dalam kehidupan nasional mereka di Malaysia. Ini bukan sahaja luar biasa, ia satu keajaiban. Oleh itu, etnik Cina hendaklah berhenti daripada bersikap seperti beruk mendapat bunga, iaitu seseorang yang mendapat sesuatu yang bernilai tetapi langsung tidak tahu menggunakannya.
Dengan ini, etnik Cina dipohon untuk menghargai pemberian ini daripada etnik Melayu selaku kelompok majoriti lagi dominan. Dengan ini, mereka dipohon untuk menjayakannya dengan lebih bersedia secara ikhlas untuk menerima struktur sosial Melayu. Antaranya adalah simbol dan proses sosiobudaya seperti yang dipersetujui bersama-sama pada Perjanjian Etnik menjelang kemerdekaan pada 1957.
Dengan kata lain, etnik Cina hendaklah melangsaikan bahagian mereka pada kontrak sosial itu, iaitu rujukan longgar kepada perjanjian itu. Sehubungan ini, bahagian etnik Melayu sudah pun tertunai dengan pemberian kerakyatan yang mudah. Setelah menerima kerakyatan ini, etnik bukan Melayu pula berjanji untuk menerima Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu dan kemuliaan institusi raja.
Sebenarnya, penerimaan ini belum pun dilangsaikan sepenuhnya sehingga hari ini. Sebetulnya integrasi yang diangkat sebagai dasar pembentukan negara bangsa itu hendaklah dihargai etnik bukan Melayu. Ini kerana ia tidak diangkat di kesemua negara lain di Asia Tenggara. Oleh itu, etnik Cina bukan sahaja hendaklah menghormatinya, juga harus menyanjungnya. Ini kerana ia tidak dirasai mana-mana etnik Cina di tempat lain di muka bumi ini. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).











