EKSPO China-ASEAN (CAEXPO) 2023 yang dinanti-nantikan bermula hari ini sehingga 19 September di Nanning, Guangxi, China. Ia disifatkan sebagai peristiwa penting apabila berlangsung secara fizikal berskala penuh selepas dunia sebelum ini dilanda pandemik Covid-19 sejak 2020.
Dengan tema Jalan Masuk Pilihan Anda ke Pasaran China, CAEXPO 2023 menjanjikan platform terbaik untuk menghimpunkan pelbagai bidang perniagaan dan perdagangan.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE), Sharimahton Mat Saleh, Malaysia menyertai CAEXPO 2023 bersama kira-kira 150 syarikat dengan menetapkan sasaran untuk menjana jualan sebanyak RM500 juta.
Sejak 2004, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO berjaya membantu lebih 2,000 syarikat dengan urusan perniagaan terkumpul berjumlah lebih AS$1 bilion,
Pavilion Malaysia di CAEXPO 2023 akan menjadi ruang pameran yang mengetengahkan kepelbagaian rangkaian produk dan perkhidmatan bernilai tinggi negara termasuk farmaseutikal, kosmetik dan peralatan mandian, minyak sawit sebagai biojisim, makanan dan minuman serta sektor perkhidmatan termasuk perakaunan, reka bentuk dalaman dan pendidikan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin menyifatkan ekspo ini sebagai pintu masuk ke pasaran luas China. Melalui penyertaan ini juga, CAEXPO bersedia untuk membuka peluang baharu yang menarik untuk kepelbagaian perniagaan di Malaysia. Salah satunya ialah nangka bakal memasuki pasaran China buat kali pertama.
Penghantaran pertama buah nangka dijadualkan tiba di Nanning dan akan dipamerkan di CAEXPO 2023.
Kebetulan ekspo ini berlangsung ketika ekonomi global semakin pulih dan kebangkitan semula dalam perdagangan, sudah pasti CAEXPO 2023 mencerminkan kemunculan dunia daripada kelembapan ekonomi disebabkan oleh pandemik. Bukti kepada trend ini ialah hubungan perdagangan dua hala semakin berkembang antara Malaysia dan China yang pada 2022 mencapai jumlah hampir RM500 bilion. Ini mewakili peningkatan luar biasa sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus menandakan hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.
KOMITMEN MALAYSIA
Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan esok jelas menyatakan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk mengekalkan dan mengukuhkan hubungan ekonomi yang teguh dengan China.
Terdahulu pada April lalu semasa lawatan beliau ke Beijing, negara berjaya merekod sejarah apabila memperoleh pelaburan bernilai RM170 bilion melalui 19 memorandum persefahaman (MoU). Jelas sekali ‘perjalanan’ ke Nanning kali ini akan tertumpu pada menterjemahkan beberapa perjanjian ini kepada tindakan dan keputusan konkrit.
China meletakkan CAEXPO sebagai versi pemodenan yang menjanjikan permulaan era baharu pembangunan berkualiti tinggi bagi negara-negara ASEAN. Dengan tumpuan kukuh pada bidang utama seperti ekonomi digital, pembangunan hijau mampan, rantaian perindustrian dan bekalan stabil serta kemudahan perdagangan dan pelaburan, CAEXPO mewakili pendekatan yang pelbagai untuk memangkin pertumbuhan dan inovasi di seluruh rantau ini.
Pada acara padanan perniagaan ke perniagaan (B2B) Malaysia-China kelima baru-baru ini yang diadakan bersempena CAEXPO 2023, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong menyatakan kepentingan Malaysia merebut peluang ditawarkan oleh kepakaran China. Beliau menegaskan, Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang dilancarkan baru-baru ini oleh Perdana Menteri boleh mendapat manfaat besar daripada pengetahuan serta kepakaran teknologi China. Ini merupakan satu hubungan yang boleh membantu mempercepatkan perjalanan negara ke arah ekonomi lebih produktif dan pertumbuhan tinggi.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 CAEXPO. Tahun ini juga akan memperingati ulang tahun ke-10 pelancaran Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif antara China dan Malaysia.
Pada CAEXPO ini, Anwar dijangka bertemu rakan sejawatmya dari China, Li Qiang sekali gus menandakan pengiktirafan kedua-dua negara terhadap pencapaian penting ini. Malah semasa lawatan awalnya ke Beijing, selain menjalin persahabatan erat, Anwar juga berjanji untuk bekerjasama dengan Presiden Xi Jinping bagi membina kepercayaan antara budaya di seluruh dunia melalui Inisiatif Tamadun Global. Perkembangan ini menandakan era baharu persahabatan antara kedua-dua negara dan menetapkan satu lagi platform penting bagi meraikan sambutan pada tahun akan datang, iaitu ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Hubungan Malaysia-China disokong oleh asas kukuh kepentingan geopolitik bersama dan ikatan tamadun yang berakar umbi. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan asas hubungan kedua-dua negara ini terletak pada kepentingan ekonomi bersama mereka yang tidak lain adalah daripada CAEXPO. Memandangkan CAEXPO menjadi tumpuan utama pada tahun ini, acara ini bukan sahaja mengukuhkan perkongsian ekonomi tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk memperingati pencapaian bersejarah dan detik-detik penting yang telah membentuk ikatan kekal antara Malaysia dan China. – UTUSAN
DR. Peter Chang Thiam Chai ialah Pensyarah Kanan di Institut Pengajian China, Universiti Malaya.











