Di sini Sakai dihina, di Jepun disanjung

Di sini Sakai dihina, di Jepun disanjung

Hiroki Sakai (tengah) adalah bintang bola sepak profesional di Jepun dan juga bermain untuk pasukan kebangsaan negaranya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK sahaja kempen pilihan raya negeri (PRN) bermula pada akhir Julai lalu, sudah ada kenyataan yang mengguris hari Orang Asli di negara ini.

Tular foto beberapa orang menyaksikan replika helikopter Nuri dihiasi poster parti politik. Seorang individu menulis komen di media sosial dengan menggambarkan orang ramai yang berkerumun sebagai bangsa Sakai dan Jakun. Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) meluahkan rasa kecewa atas tindakan memperlekeh dan menghina suku kaum asli berkenaan.

Sesungguhnya, kesedaran tentang Orang Asli amat rendah dalam kalangan rakyat. Terdapat 18 kumpulan Orang Asli di negara ini dan dihuraikan dalam buku Suvarna Bhumi (2022). Dalam konteks negara ini, memang sudah menjadi kebiasaan menggunakan gelaran ‘Sakai’ dan ‘Jakun’ dengan konotasi negatif dan menghina.

Samalah halnya dengan gelaran ‘keling’ yang mengalami nasib sama.

Sebagaimana dilakukan menerusi rencana bertajuk Kalinga dibanggakan di India, Filipina (Utusan Malaysia, 15 April 2023), rencana ini bertujuan melihat kewujudan Sakai di luar negara, khususnya Jepun.

Terdapat Taman Sakai seluas 9.25 hektar di Pulau Bainbridge, Washington, Amerika Syarikat (AS). Kawasan ini asalnya milik keluarga Toshio Sakai yang mengusahakan ladang strawberi sejak 1940-an. Pelan pembangunan Taman Sakai yang dirangka sejak 2015 masih menjadi pertikaian penduduk tempatan sehingga hari ini.

Di Republik Afrika Tengah pula terdapat Loji Kuasa Solar Sakai yang mula beroperasi pada April lalu di Bangui. Kawasan seluas 16 hektar ini menempatkan 33,432 panel solar. Tenaga elektrik yang terhasil amat diperlukan bagi kegunaan domestik dan perindustrian.

Pada 2004, perisian komputer berciri capaian terbuka (open access) bernama Projek Sakai mula dibangunkan bagi tujuan pendidikan. Sistem itu kini sudah jarang digunakan kerana diganti sistem Canvas yang lebih canggih.

Nama Sakai dipilih sempena Hiroyuki Sakai, tukang masak profesional dalam program Iron Chef di televisyen.

Augusto Sakai dari Brazil merupakan juara seni mempertahankan diri campuran (MMA) sejak 2011 dan menang 16 daripada 22 pertarungan disertai. Datuknya seorang imigran Jepun.

Begitu juga dengan Peter Sakai yang merupakan generasi kedua imigran Jepun di AS. Beliau dilantik sebagai hakim di Bexar County, Texas dan menjadi orang pertama berdarah Asia memegang jawatan itu.

Sebenarnya Sakai adalah nama lazim di Jepun sama ada sebagai nama individu atau nama keluarga (surname). Sakai Tanaka, seorang tokoh wartawan manakala ramai ahli sukan memiliki surname Sakai.

Misalnya, remaja lelaki bernama Yuta Sakai sedang mencipta nama dalam sukan tinju di Jepun dan peringkat antarabangsa.

KUDA LUMBA

Bintang bola sepak profesional, Hiroki Sakai pula berada dalam pasukan kebangsaan. Ryusei Sakai merupakan joki muda dari Jepun yang sedang mencipta nama di AS sebagai penunggang kuda lumba. Dalam sukan sofbol, Hiroko Sakai menang pingat emas Sukan Olimpik 2008.

Peminat komik Jepun tentu kenal Stan Sakai atau nama asalnya Masahiko Sakai. Beliau yang menang pelbagai anugerah merupakan tenaga seni di sebalik komik terkenal seperti Usagi Yojimbo yang menampilkan watak arnab bernama Miyamoto Usagi berlatarkan kehidupan abad ke-17.

Sakai Hoitsu pula pelukis tersohor yang meneruskan tradisi gaya realisme seperti dipelopori Ogata Korin. Sementara itu, firma guaman Atsumi & Sakai yang beribu pejabat di Tokyo merupakan firma pertama di Jepun mengadakan usaha sama dengan peguam luar negara serta kini ada cawangan di Frankfurt, London dan New York.

Cynthia Sakai, iaitu pengasas jenama Vita Fede merupakan kacukan Amerika dan Jepun.

Kalau kita membuat carian di internet, akan muncul ribuan individu terkenal bernama Sakai berdarah Jepun.

Terdapat juga banyak tempat bernama Sakai di Jepun. Misalnya, bandar Sakai di Osaka yang terkenal kerana kofun, iaitu kubur unik dari abad kelima. Terdapat pula bandar Sakai di Fukui dan Ibaraki serta sebuah kampung di Nagano.

Laluan Kereta Api Sakai sepanjang 17.9 kilometer menghubungkan Yonago dan Sakaiminato sejak 1902. Agak menarik kerana kesemua 16 stesen diberi nama timangan berdasarkan watak raksasa yokai dalam siri manga dan anime berjudul GeGeGe no Kitaro.

Hasil carian mendapati nama ‘Sakai’ dalam budaya Jepun pertama kali muncul dalam sebuah puisi klasik tulisan Fujiwara Sadoyori pada 1045. Dia merupakan penyair dan tukang kaligrafi terkemuka serta cucu kepada Maharaja Murakami.

Dalam sejarah negara kita, ada suku Ghee Hin dan Hai San yang berasal dari China. Begitulah juga di Jepun, muncul suku atau puak Sakai pada abad ke-14 di wilayah Mikawa. Mereka bukan ahli kongsi gelap tetapi pahlawan samurai yang ada peranan besar dalam sejarah Jepun.

Kumpulan samurai itu diketuai Minamoto Arichika. Dia ada dua anak iaitu Yasuchika yang menggunakan nama Matsudaira dan Chikauji yang menggunakan nama Sakai. Dari situlah bermula nama Sakai bagi suku pahlawan samurai yang terkenal dengan ilmu perang mereka.

Pada era Edo (1603-1867) yang terkenal dengan panglima tentera syogun, suku Sakai diiktiraf sebagai fudai, iaitu bangsawan yang ada pertalian darah dengan Maharaja Seiwa selaku maharaja ke-56.

Ternyata nama Sakai sesuatu yang membanggakan di Jepun. Di Malaysia juga sepatutnya dibanggakan kerana merujuk suku Orang Asli yang menjadi antara penduduk asal di tanah pertiwi ini. Kalau kita tidak mampu membantu orang Sakai, sekurang-kurangnya janganlah menghina mereka. Biarlah orang Sakai di Malaysia berbangga dengan identiti dan jati diri mereka sebagaimana Sakai di Jepun. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×