SEPERTI juga masyarakat Islam yang menetap di Selangor tetapi bertugas di Putrajaya, saya tidak pun risau kerana kadar zakat fitrah adalah sama dengan Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, saya kekal membayar tuntutan itu di negeri ini kerana berpegang nasihat kebanyakan ulama yang berpendapat, ia afdal dibayar di tempat kita bermastautin.
Usahlah bergaduh mengenai isu ini kerana bukan itu yang ingin disentuh, namun saya tertarik perihal kekecohan kekurangan beras standard super tempatan (SST) di pasaran kini.
Natijahnya, sebahagian besar umat Islam terpaksa beralih kepada beras import yang agak mahal kerana ia tidak disekat oleh kerajaan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
Perkara ini mungkin tampak kecil tetapi jenis beras dimakan ruji secara teknikal ada kaitan dengan kadar zakat fitrah setiap kali Ramadan yang dikira berdasarkan gred komoditi itu. Isu tersebut disuarakan aktivis pengguna Islam tempatan, Harik Fauzi yang memberikan amaran bahawa nisab zakat ini dijangka meningkat ekoran tempias situasi kemelut beras.
Ketika saya bertemunya baru-baru ini, beliau mahu umat Islam di negara ini bersiap sedia kebarangkalian kadar zakat itu naik dek lonjakan harga beras import tanpa kawalan. Ramai menyalahkan gejala pembelian panik pengguna dalam jumlah besar produk beras SST yang dikawal harganya malar RM26 bagi sekampit 10 kilogram.
“Saya kesal tindakan kelompok ini menyusahkan rakyat marhaen yang tiada pilihan terpaksa beli beras luar dan akhirnya secara syarak kena bayar zakat fitrah lebih tinggi,” katanya.
Zakat ini merupakan kewajipan ibadah sepanjang Ramadan dengan tahun depannya pula dijangka bermula 11 Mac bergantung pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Pada Ramadan lalu, 10 negeri menetapkan kadar minimum zakat sebanyak RM7 seorang manakala Kedah buat julung kali mewartakan nisab terendah, iaitu RM6.50.
Sementara Terengganu muncul pertama kali mewartakan nisab paling rendah zakat fitrah yang tertinggi di Malaysia, iaitu RM8 berbanding cuma RM7 ditetapkannya sejak 2016. Malah, negeri itu mencipta sejarah pada Ramadan lepas apabila buat julung kali selepas tujuh tahun yang hanya ada satu kadar tetapi kali ini telah menetapkan tiga nisab berbeza.
Lebih mengejutkan pelbagai pihak apabila Terengganu tahun ini turut mewartakan kadar maksimum zakat fitrah paling tinggi di Malaysia, iaitu RM24 untuk setiap individu T20.
BASMATI
Mengulas lebih lanjut, Harik bagaimanapun berpandangan, nisab minimum zakat berkenaan mungkin tiada masalah boleh dikekalkan lagi tetapi tidak untuk kadar tertinggi.
“Beras putih SST yang lazim dimakan golongan B40 memang ditetapkan kerajaan kerana ada akta khusus sejak 30 tahun lepas, namun tidak untuk beras diimport,” tambah beliau.
Justeru ujarnya, secara congak mudah, umat Islam bergaji M40 dan T20 dijangka wajar bersiap sedia kebarangkalian kadar zakat fitrah medium dan maksimum yang melonjak.
Berdasarkan rekod Ramadan lepas, hanya Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan telah mewartakan nisab sederhana sebanyak RM14. Johor dan Pulau Pinang mewartakan kadar medium setakat RM13 manakala bagi mereka yang berada di Terengganu dan Negeri Sembilan pula cuma dikenakan membayar RM10.
Umat Islam di Perlis, Sabah dan Sarawak pada Ramadan lepas, jelas Harik, bernasib baik hanya ada satu nisab, iaitu RM7 tetapi apakah akan kekal lagi atau berubah tahun depan? Kali terakhir Perlis menaikkan nisab itu ialah pada 2016, iaitu sebanyak 50 sen selepas Sarawak menokok nilai sama pada 2014 dan Sabah pada 2011 yang menambahnya 20 sen.
Kelazimannya, kadar sederhana dikira merujuk kepada gred beras super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, beras wangi, beras calrose, beras poney ataupun setaraf. Kadar mahal pula kebiasaannya dihitung ke atas individu Muslim yang sering kali makan beras jenis basmati, beras Jepun, beras merah atau gred setaraf dengan beras tersebut.
Nisab zakat fitrah setiap negeri adalah berbeza berdasarkan kepada harga beras mengikut gred pada ukur berat timbang satu gantang Baghdad atau kira-kira 2.6 kilogram. Kewajipan tersebut hendaklah dibayar bermula dari 1 Ramadan sehinggalah sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada pagi 1 Syawal kelak menerusi pelbagai kaedah pembayaran.
Persoalannya, apakah umat Islam sudah bersedia menerima kejutan isu kenaikan kadar zakat fitrah disebabkan masalah bekalan beras terutama bagi yang berkeluarga besar? – UTUSAN










