Ambil tahu serba sedikit sejarah kampung kita - Utusan Malaysia

Ambil tahu serba sedikit sejarah kampung kita

MASJID Nurul Islam di Aulong, Taiping, Perak suatu ketika dahulu hanyalah bertaraf surau. – FB KAMPUNG AULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PEMANDU teksi membawa saya melalui Jalan Raja Salim, Jalan Raja Sulong dan Jalan Kampung Boyan masuk ke Taman Pertama; dan kemudian melalui Jalan Surau merentas sempadan Aulong hingga sampai ke Siru Kambam.”

Petikan di atas adalah daripada cerpen bertajuk Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah yang menang tempat kedua Hadiah Cerpen Esso-Gapena 1996 dan termuat dalam antologi Sayembara X (1999).

Saya teringat semula cerpen ini sewaktu berada di tempat kelahiran, Taiping, Perak, baru-baru ini. Saya cuba memandu mengikut laluan yang dinyatakan tetapi mendapati tidak boleh tembus ke Jalan Raja Sulong dari Jalan Raja Salim kerana laluan sudah diubah.

Tujuan saya menyebut pengalaman itu di sini adalah kerana karya sastera seperti novel dan cerpen menjadi dokumentasi sejarah, budaya dan merakam situasi semasa untuk rujukan masa depan.

Semasa berada di Taiping, saya turut bertemu Jegavani Lengkan dan dua anaknya yang terlibat dalam Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama dari 2016 hingga 2019 tetapi terhenti sejak pandemik Covid-19. Dalam perbualan kami, saya menyebut tentang Jalan Masjid yang merupakan garis sempadan antara Aulong dan Aulong Lama.

Mata Jegavani dan anak-anaknya terkebil-kebil penuh kehairanan kerana mereka tidak tahu jalan yang saya maksudkan. Tidak mustahil kerana ramai penduduk setempat juga tidak tahu kisah sebenar.

Aulong (‘lorong belakang’ dalam bahasa Cina) adalah bekas lombong bijih timah dan dijadikan kampung baharu yang dibuka bagi orang Cina dan Melayu di bawah Rancangan Briggs (1950).

Sejarah pembinaan sebuah masjid bagi memenuhi keperluan sekitar 100 keluarga Melayu di Aulong bermula pada 1965. Satu jawatankuasa pembinaan masjid dibentuk dan berjaya mengumpul sejumlah dana.

Bagaimanapun pada Februari 1970, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meminta rancangan itu dibatalkan. Alasan yang diberi adalah sudah ada sebuah masjid yang baharu dibina pada 1968 di bandar Taiping, iaitu sekitar tiga kilometer dari Aulong.

Masjid Melayu Baru Bandar Taiping (kini Masjid Daerah Taiping) dibina bagi menggantikan Masjid Melayu Lama di Jalan Kota yang dibina pada 1893 oleh keluarga bekas pembesar Melayu Perak, Ngah Ibrahim Long Jaafar.

Pada November 1969, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Daerah Larut, Matang dan Selama membenarkan pembinaan sebuah surau di Aulong. Apabila ia siap dan mula menjadi mercu tanda penting di sekitar kawasan itu, jalan di hadapannya dinamakan Jalan Surau.

Jalan sepanjang 1.2 kilometer itu bermula dari Jalan Permaisuri berdekatan Taman Pertama dan bersambung ke jalan baharu yang diberi nama Jalan Simpang Halt. Nama Jalan Surau kekal sehingga keluarga saya berpindah meninggalkan Aulong Lama pada hujung 1991.

Hampir sedekad kemudian, sewaktu melawat rakan-rakan dan jiran tetangga di sana, saya menyedari nama pada papan tanda sudah berubah kepada Jalan Masjid. Lalu saya meronda kawasan sekitar surau yang pernah menjadi tempat bermain dengan rakan-rakan dahulu kerana ada padang kecil dan kedai runcit menjual jajan.

GOSIP TERKINI

Bangunan surau sudah berubah menjadi Masjid Nurul Islam yang gah. Maka, wajarlah nama Jalan Surau turut dinaik taraf menjadi Jalan Masjid.

Cuma, hairan juga apabila Jegavani dan anak-anaknya langsung tidak menyedari perubahan yang berlaku. Malah, ramai rakan di Taiping masih beranggapan serta menggunakan nama lama iaitu Jalan Surau.

Dalam pada mengambil tahu hal-hal besar yang berlaku dalam sejarah negara, elok juga kita tahu serba sedikit kisah-kisah setempat.

Dahulu ada mata pelajaran Kajian Tempatan di mana murid-murid mengumpul maklumat tentang kawasan tempat tinggal sendiri. Malangnya, subjek itu sudah dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.

Maka, sebagai alternatif, demi mengekalkan budaya mencintai ilmu, sejarah setempat dan tokoh-tokoh yang pernah hidup di kawasan kediaman, maka ibu bapa, datuk atau nenek wajar sentiasa bercerita tentang perkara itu kepada anak cucu.

Selain kita tahu sejarah dan perkembangan dunia serta gosip terkini artis tempatan dan luar negara, eloklah kita turut mengambil tahu kisah-kisah kecil yang berciri tempatan tetapi tetap ada keunikan tersendiri.

Kisah-kisah kecil tentang penduduk kampung serta amalan dan budaya mereka yang kemudian akan menjadi kenangan kita hingga akhir hayat.

Berbalik kepada cerpen yang saya petik pada permulaan rencana ini, di dalamnya disebut tentang sebuah buku bahasa Inggeris yang kecil dan nipis berjudul Unknown Facts About Little Known Siru Kambam.

Setelah terbaca buku itulah maka watak utama dalam cerpen itu membuat keputusan untuk melawat kampung berkenaan.

Cerpen itu sebenarnya saya hasilkan sebagai tugasan sewaktu belajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan dihantar ke pertandingan atas saranan pensyarah.

Dalam cerpen itu, watak utama berpeluang mendengar pelbagai cerita tentang sejarah, penduduk, budaya dan keunikan Siru Kambam daripada pemandu teksi bernama Kumer Singh.

Penulis buku Unknown Facts About Little Known Siru Kambam disebut sebagai mencatatkan, “Seseorang tidak memerlukan pemandu pelancong apabila melawat Siru Kambam kerana para penduduk sendiri boleh membawa mereka keliling kampung dan memberikan segala maklumat sejarah serta maklumat semasa yang mungkin seseorang pelancong mahukan.”

Memanglah bagus jika ada buku atau blog atau akaun khas di media sosial yang mendokumentasi sejarah, budaya, tokoh dan pelbagai kisah masyarakat setempat.

Kita mungkin menganggap tidak ada apa-apa kisah menarik tentang kampung sendiri tetapi cerpen Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah membuktikan bahawa kisah-kisah kecil itulah yang sebenarnya amat bermakna, bernilai dan wajar didokumentasi. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN