ISU keselamatan makanan menjadi bualan dalam kalangan rakyat kebelakangan ini. Selain harga meningkat, kekurangan bekalan juga turut mencetuskan rasa resah kerana khuatir kebergantungan kepada import yang keterlaluan akan menyebabkan kita terperangkap dalam krisis.
Sebelum ini isu yang berkaitan kekurangan bekalan ini hanya melibatkan bahan makanan seperti ayam, ikan, telur dan sayur-sayuran.
Namun sejak kebelakangan ini kekurangan beras tempatan mencetuskan tanda tanya kerana negara kita hanya menggunakan 30 peratus beras import, bakinya dihasilkan sendiri. Tetapi apa yang berlaku di pasaran beras tempatan yang kurang.
Ia menjadi sedikit kalut apabila negara pengeksport beras terutama India bertindak untuk menghentikan eksport beras putih bagi melindungi permintaan tempatan selain, beberapa negara lain seperti Vietnam mahu menaikkan harga beras mereka.
Gabungan kenaikan harga beras import, kebimbangan terhadap kekurangan bekalan, dan dakwaan manipulasi oleh penjual sudah tentu menimbulkan satu lagi cabaran bagi kerajaan untuk mengekang masalah ini supaya tidak mencetuskan panik dalam kalangan rakyat.
Pada Khamis, Putrajaya mengenakan had 100 kilogram (kg) ke atas pembelian beras putih keluaran tempatan yang lebih murah berkuat kuasa serta-merta ketika Malaysia menangani masalah bekalan yang dikaitkan dengan sekatan eksport India baru-baru ini.
Kerajaan juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas kilang komersial dan pemborong sejak Ogos ketika terdapat dakwaan bahawa beras keluaran tempatan dijual telah ditukarbel kepada import bagi mengaut keuntungan berganda.
Langkah terbaharu untuk menangani masalah bekalan makanan ruji itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood semasa Sesi Dialog Bajet 2024 bagi sektor padi dan beras negara yang dihadiri pemain industri yang diadakan pada Khamis lalu.
Sekatan pembelian tersebut antara keputusan yang dibuat sehingga bekalan beras tempatan kembali normal. Ini ekoran siasatan mendapati ada peniaga membeli sehingga 7,000kg beras keluaran tempatan bagi menjimatkan kos dan mengaut keuntungan mudah.
Kebimbangan terhadap perbuatan manipulasi bekalan timbul ketika harga import dinaikkan secara rasmi bulan ini oleh pengimport tunggal Padiberas Nasional Bhd (Bernas).
Peningkatan sebanyak 36 peratus yang diumumkan pada 1 September kepada RM3,200 satu tan, daripada RM2,350 satu tan, dilakukan atas faktor-faktor termasuk kadar pertukaran mata wang yang lemah, kos operasi yang tinggi dan kesan larangan eksport beras putih yang diumumkan oleh India bermula Julai.
Apa pun Malaysia hanya mengimport 30 peratus beras. Baki 70 peratus lagi dihasilkan dari petak-petak sawah yang diusahakan oleh petani tempatan. Sepatutnya, isu kekurangan bekalan beras putih tempatan ini tidak timbul.
Tetapi disebabkan sektor makanan kita ini dikawal oleh kumpulan tertentu maka, apabila ada kesempatan untuk mengaut keuntungan lebih, golongan ini tidak lagi memikirkan kepentingan awam. Mereka lebih mementingkan tembolok sendiri. Dan kerakusan mereka ini disokong pula oleh ketirisan di peringkat agensi kerajaan.
Sebagai sebuah negara yang memiliki tanah pertanian yang luas, Malaysia tidak sepatutnya berhadapan dengan isu kekurangan bekalan makanan apatah lagi mencapai tahap krisis.
Sumber kita mencukupi jika semua pihak memberikan komitmen dan mengusahakan setiap mandat yang diterima secara bersungguh.
Tetapi malangnya itu tidak dilakukan. Sebab itu, daripada keseluruhan tanah pertanian untuk tujuan pengeluaran makanan hanya 16 peratus sahaja yang dimanfaatkan. Hasilnya, tahun lalu nilai import makan kita adalah RM75 bilion berbanding eksport RM44.6 bilion. Maknanya defisit perdagangan produk makanan berjumlah RM31 bilion, 24.3 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Jika keadaan ini berterusan ia boleh menjejaskan sekuriti makanan kita.
Apa yang sukar untuk dihadam ialah, negara kita ada tanah mencukupi untuk pengeluaran makanan, tetapi kenapa tidak ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu?
Usaha untuk memastikan kita mempunyai bekalan makanan mencukupi telah dilakukan sejak tahun 1970-an melalui Rancangan Buku Hijau (RBH) pada 1974. Tujuannya untuk menjamin sekuriti makanan. Namun tidak membuahkan hasil seperti diharapkan.
Allahyarham Tun Abdul Razak ketika melancarkan RBH dengan jelas menyatakan kita perlu memanfaatkan tanah untuk pengeluaran makanan.
“Amatlah penting dan mustahak kita menjayakan dengan sepenuhnya rancangan ini supaya segala bahan makanan yang diperlukan oleh negara kita yang kaya dengan hasil bumi dan tanahnya yang cukup subur, dapat kita hasilkan sendiri,” ucap Tun Razak ketika itu.
RBH dilancarkan ketika dunia berhadapan dengan ancaman Perang Arab-Israel 1973 menyebabkan krisis minyak ekoran negara-negara Arab melakukan sekatan eksport terhadap Amerika Syarikat (AS), seterusnya mengakibatkan kesan berganda apabila kos pengangkutan dan eksport meningkat.
Kini dunia boleh dikatakan berhadapan dengan situasi serupa di mana perang Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan makanan dunia termasuk meningkatkan kos.
Tetapi kita Malaysia seolah-olah tidak pernah mengambil iktibar. RBH yang dilancarkan pada 1974 dilaksanakan secara acuh tidak acuh (mungkin boleh dianggap gagal).
Di era zaman moden kita lancarkan sekali lagi dasar berkaitan pengeluaran makanan iaitu Dasar Agromakanan Negara bagi tempoh 2011 hingga 2020. Pada 2021 dilancarkan sekali DAN 2.0 2021-2030. Tumpuannya khusus kepada usaha mempertingkat sekuriti makanan negara.
Namun berdasarkan kepada situasi sekarang ia tidak mencapai matlamat yang diharapkan kerana import makanan kita terus meningkat dan tanah-tanah pertanian kita tinggal terbiar ditumbuhi semak samun. Kita ada tanah yang luas dan subur, tetapi rakyat tidak cukup makanan.
Mungkin kerajaan kena lihat semula kewujudan agens-agensi berkaitan pertanian dan makanan ini. Kewujudan mereka seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan kepada industri pertanian kita hingga negara terus dibelenggu dengan defisit import makanan.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana jumlah penduduk makin bertambah dan permintaan untuk makanan sudah tentu akan meningkat berkali ganda. Sedangkan kita masih teraba-raba mencari solusinya.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










