KITA semua tahu dan mengakui betapa lagu Negaraku mampu menyatukan seluruh rakyat walau di mana mereka berada. Dari semasa ke semasa, kita menonton video yang tular di media sosial di mana rakyat secara spontan berdiri penuh hormat apabila lagu kebangsaan dipasang di mana-mana.
Pada pemerhatian saya, lagu Rasa Sayang juga mempunyai aura dan kemampuan untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum, agama, adat dan budaya di negara kita.
Hakikat ini saya perhatikan sendiri setiap kali program bahasa dan sastera anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan berlangsung di mana-mana.
Sama ada di sekolah, kolej, tempat awam atau di mana-mana, golongan kanak-kanak, remaja, belia, dewasa dan warga emas teruja untuk sama-sama menyanyikan lagu itu dengan penuh semangat.
Lirik yang amat mudah diingat membuatkan sesiapa sahaja mampu menyanyi bersama-sama sambil bertepuk dan tersenyum gembira. Tanpa disedari, mampu pula melahirkan rasa kekitaan dan kasih sayang dengan individu di sekeliling.
Perkara ini sama sahaja seperti yang berlaku apabila orang ramai sama-sama menyanyikan lagu Negaraku di tempat awam.
Di pihak Kavyan, apabila program bahasa dan sastera dikendalikan di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC), tujuannya bukan sekadar untuk membuatkan kanak-kanak terhibur menyanyi lagu Rasa Sayang.
Sebaliknya, pendekatan didik hibur (edutainment) digunakan secara terancang untuk membantu murid-murid mengenali keunikan pantun tradisional yang dinyanyikan bersama-sama lagu Rasa Sayang.
Mereka diajar cara membaca dan melagukan pantun dengan gaya dan irama yang betul. Unsur pantun dan lagu Rasa Sayang dimasukkan dalam program bahasa dan sastera anjuran Kavyan sejak 1999. Apa yang diperhatikan adalah ia tetap menarik minat peserta pelbagai kaum dan peringkat umur. Masing-masing teruja untuk menyanyi secara berkumpulan.
Mereka juga sangat gembira mempelajari ciri-ciri serta keunikan yang terdapat pada pantun tradisional Melayu.
Semasa menyampaikan ucap utama pada Persidangan Antarabangsa Malaysia dan India di Pusat Kebudayaan India, Brickfields, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lalu, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyebut, pantun Melayu mendapat pengaruh daripada ciri-ciri seloka dalam tradisi sastera Sanskrit.
Perkongsian trivia dan maklumat seperti ini turut membantu peserta program Kavyan menambah pengetahuan selain berpeluang memahami ketinggian budaya pemikiran masyarakat Melayu tradisional yang mengarang pantun. Tambahan pula, kebanyakan pantun tradisional ini masih malar, sesuai dan relevan dengan suasana masa kini.
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
PEMBAYANG
Serangkap pantun di atas sebenarnya boleh digunakan untuk menyampaikan bermacam-macam ilmu dan panduan kepada kanak-kanak dan remaja. Misalnya, dalam program Kavyan, diterangkan tentang ciri-ciri pantun empat kerat. Diterangkan tentang jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata yang tersusun kemas pada serangkap pantun ini.
Peserta memahami penggunaan ‘pembayang’ untuk kemudian menyampaikan ‘maksud’ secara penuh sopan.
Maka, aspek kesantunan dan kesopanan dalam penggunaan bahasa juga disampaikan kepada peserta. Budaya ketimuran yang mementingkan aspek kesantunan dan menghormati orang lain diterapkan secara tidak langsung kepada peserta program bahasa dan sastera.
Pada pengalaman saya, kanak-kanak amat kagum apabila menyedari rima akhir yang disusun dengan penuh bijak oleh pencipta pantun tradisional. Peluang itu digunakan untuk mendidik kanak-kanak dan remaja supaya tidak memandang rendah ilmu dan kehebatan generasi silam. Kreativiti dan ketajaman fikiran orang lama disedari dan diperakui generasi muda apabila rangkap-rangkap pantun dibedah dan dianalisis secara mendalam.
Melalui pantun juga, peserta khususnya kanak-kanak diajar aspek sejarah, budaya dan penggunaan bahasa yang betul. Sebagai contoh, ramai kanak-kanak di kawasan bandar tidak tahu apakah ‘galah.’ Hal ini mungkin lucu bagi kita tetapi itulah realiti hidup masa kini. Maka menerusi pantun tradisional, kita berpeluang memperkenalkan generasi muda kepada budaya dan cara hidup generasi terdahulu.
Apabila makna perkataan ‘jolok’ diterangkan, peserta diterangkan terdapat sekurang-kurangnya dua makna berbeza. Peserta diperkenalkan kepada frasa ‘menjolok mata’ yang biasanya dikaitkan dengan cara berpakaian kurang sopan. Selain daripada itu, peserta diperkenalkan kepada konsep ‘merodok sesuatu dengan galah supaya gugur.’
Dalam usaha menambah perbendaharaan kata peserta, diperkenalkan pula perkataan ‘juluk’ yang sering disangka sama makna dengan ‘jolok’. Begitu juga dengan ‘galah’ dan ‘galak.’ Cara penyampaian ilmu seperti ini ternyata lebih menarik dan berkesan kerana kanak-kanak dapat belajar sambil berhibur.
Tentulah bergantung kepada kemampuan pembimbing untuk memastikan sesi tidak bertukar menjadi seperti pengajaran dan pembelajaran di kelas.
Sewaktu bahagian ‘maksud’ pantun dijelaskan, peserta dididik memahami bahawa bukanlah suatu kesalahan untuk mengakui kita tidak tahu sesuatu. Bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Kanak-kanak diingatkan bahawa orang bodoh sombong selalu rugi dan tidak berpeluang menimba ilmu. Kanak-kanak dan remaja yang menjadi peserta mula sedar bukanlah sesuatu yang memalukan untuk mengakui kelemahan dan kekurangan diri. Hanya apabila kita akui bahawa ‘saya budak baru belajar’, barulah kita bersedia secara mental untuk benar-benar belajar dan menimba ilmu.
Malah, barulah orang lain akan bersedia untuk mengajar, membimbing serta membetulkan kesilapan kita.
Huraian ini hanya mengambil contoh serangkap pantun Melayu tradisional.
Dalam setiap sesi nyanyian lagu Rasa Sayang, lima rangkap pantun tradisional diperkenalkan. Selain menghuraikan ciri-ciri pantun, dipastikan juga aspek budaya, bahasa, pemikiran, kesantunan, mesej dan pelbagai perkara positif dikongsi menggunakan pendekatan didik hibur.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











