YB wajib laksana ‘kurikulum KBSM’

YB wajib laksana ‘kurikulum KBSM’

ADUN yang terpilih kini memegang tanggungjawab untuk satu penggal di mana keputusan mereka mempunyai kesan jauh ke hadapan, bukan sahaja terhadap pengundi malah hala tuju negeri. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELESAI sudah pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang. Proses demokrasi kita sekali lagi menjadi tumpuan utama. Di sebalik gegak gempita kempen politik dan pengiraan undi, terdapat aspek mendasar perlu diberikan perhatian. Ia merujuk kepada konsep tadbir urus efektif.

Apa juga jawatan dalam perkhidmatan awam atau swasta, ia datang dengan deskripsi tugas. Maka sekarang adalah masa terbaik untuk semua pihak terutama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan rakyat yang telah memilih faham apa deskripsi tugas sebenar wakil rakyat.

Dalam konteks sektor awam, deskripsi tugas lebih daripada sekadar dokumen yang menghuraikan tugas dan tanggungjawab. Ia memuatkan inti pati sesuatu jawatan, membimbing individu memegang jawatan itu ke arah peranan mereka dalam mencapai matlamat organisasi yang lebih luas. Konsep ini ditakrif dalam Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA) Bilangan 4 Tahun 2018, menekankan kepentingan akauntabiliti, kompetensi dan dimensi yang diperlukan bagi suatu jawatan tertentu.

Buat wakil rakyat baharu yang baru memulakan tugas, wajar membaca PKPA tersebut dan lampirannya berjumlah 95 halaman kerana inilah petunjuk untuk memahami sistem tadbir urus perkhidmatan awam dan mendalami tugas seorang penjawat awam yang akan bekerja dengan Yang Berhomat (YB) mereka sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sama ada menjadi wakil rakyat di pihak kerajaan atau pembangkang, tetap berurusan dengan pegawai sektor awam terutama di peringkat kerajaan tempatan.

Sama seperti deskripsi tugas yang menentukan parameter kerja, tugas-tugas ADUN tertumpu pada representasi mereka terhadap pengundi. Mereka bukan sekadar tokoh politik yang mencari populariti tetapi adalah suara rakyat.

Tambahan pula deskripsi tugas ADUN melebar melebihi ruang tugas individu mereka. Sama seperti dokumen ini memberi sumbangan kepada organisasi yang berfungsi dengan baik, usaha-usaha kolektif ADUN adalah penting untuk negeri diperintah dengan baik. Keupayaan mereka merumuskan dasar-dasar, membuat keputusan berinformasi dan mengekalkan akauntabiliti mencerminkan dimensi yang diterangkan dalam suatu deskripsi tugas.

TAKLIF, TASYRIF

Setelah PRN selesai, ADUN yang terpilih kini memegang tanggungjawab untuk satu penggal. Keputusan mereka akan mempunyai kesan jauh ke hadapan, mempengaruhi bukan sahaja pengundi tetapi juga arah tuju negeri itu sendiri. Dalam konteks ini, kesebandingan antara deskripsi tugas yang telah ditakrifkan dengan baik dan peranan ADUN menegaskan kepentingan matlamat jelas, pelaksanaan berkesan dan komitmen teguh terhadap kemajuan komuniti.

Calon Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi setiap negeri telah dikenal pasti berdasarkan keputusan parti dan dengan perkenan Sultan atau Yang Dipertua Negeri. ADUN yang dilantik perlu realistik dan tidak perlu berebut jawatan Exco atau Pengerusi Jawatankuasa Negeri.

Sebagai ADUN, fokus utama ialah kemenjadian untuk memainkan peranan berkesan sebagai ahli legislatif negeri yang menjadi fokus dalam deskripsi tugas. Maka tidak perlu menambah tugas untuk menjadi ahli eksekutif negeri kerana itu akan menambah satu lagi deskripsi tugas. Kecuali bagi mereka yang berpengalaman dan mampu, tugas tersebut harus dilihat sebagai taklif atau tanggungjawab yang boleh dipersoalkan dan bukannya sebagai tasyrif atau kemuliaan dalam masyarakat.

Wakil rakyat efisien berpegang kepada piawaian etika yang tinggi serta dapat bertindak demi kepentingan konstituen dan rakyat. Jauhi tingkah laku dan tabiat buruk seperti mewujudkan konflik jawatan, terlibat dalam rasuah, menyalahgunakan dana awam, salah guna kuasa dan serangan peribadi. Secara amnya, wakil rakyat perlu berpegang kepada piawaian integriti dan ketelusan tinggi,

Besar tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebesar kawasan yang diwakili dan seramai rakyat dalam kawasan tersebut. Mereka menanti wakil rakyat turun padang melihat sendiri keadaan secara berjadual dan bukannya turun lima tahun sekali ketika berkempen. Carilah idea daripada rakyat di pelbagai lapisan peringkat sebagai input terbaik untuk dibahaskan dalam sidang dewan. Tetapkan masa secara berjadual untuk turun ke kawasan melaksanakan ‘kurikulum KBSM (kenduri, bersalin, sakit, meninggal)’ dengan mendekati dan menyantuni tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Rakyat juga harus disedarkan, bukan semua wakil rakyat bersifat ‘dermawan’ dan ‘hartawan’ yang sentiasa boleh turun padang membawa peruntukan kewangan dan sumbangan dalam bentuk barangan. Mentaliti sebegini harus diubah agar fungsi sebenar wakil rakyat dapat dimainkan dengan berkesan berpandukan deskripsi tugas.

Kesimpulannya, suasana pasca PRN di enam negeri baru-baru ini menuntut kita merenung proses demokrasi negara dan implikasinya. Dengan memahami prinsip deskripsi tugas dan hubungannya dengan tanggungjawab ADUN, wakil rakyat dapat berfungsi dengan lebih berkesan sesuai dengan peranan dan bukan sekadar menabur janji retorik atau mengumumkan manifesto semata-mata. Prinsip sama digunapakai untuk semua wakil rakyat di negeri-negeri lain dan juga 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Sebagai rakyat yang mempunyai literasi politik dan faham konsep ini, kita berdiri teguh dan yakin untuk terlibat dengan lebih bermakna dalam sistem politik negara dan bukan lagi menjadi pemerhati pasif. Marilah bersama membela akauntabiliti, ketelusan dan keputusan berinformasi yang membentuk negeri, negara dan masa depan kita. – UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Naib Presiden 1, Institut Pengurusan Sumber Manusia (MIHRM) dan PROFESOR DR. ZURAIDAH MOHD. SANUSI ialah Pengarah Pusat Pemprofilan & Penilaian, ILD, UiTM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×