KASSIM Ahmad, seorang tokoh kiri berfahaman sosialis memimpin Parti Sosialis Rakyat Malaysia dari 1966 sehingga 1984, selama 18 tahun. Begitu pun, akhirnya beliau meninggalkan perjuangan jalur sosialisme yang diluahkan dalam bukunya berjudul Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam.
Sejak sekian lama Kassim Ahmad berpegang kepada sosialis saintifiknya, tetapi semasa di dalam tahanan selama hampir enam tahun telah mengubah pegangannya. Mungkin penjara itu merupakan persimpangan jalan kepadanya untuk kembali berfikir dan menilai perjuangannya. Jawapan kepada beliau adalah mencari jalan pulang.
Melihat UMNO kehilangan arah pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan kekalahan teruk pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, maka saya meminjam judul buku Kassim Ahmad untuk tajuk artikel ini, iaitu UMNO di persimpangan: Mencari jalan pulang.
Kepimpinan, pendukung serta ahli parti perlu kembali menyusur sungai sejarah perjuangan, kedudukan, kekuatan lampau, penguasaan UMNO dalam politik tanah air. Melihat kekuatan serta penguasaan semasa membentuk Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia. Mengkaji bagaimana UMNO memimpin Perikatan (1952, sah 1957) dan Barisan Nasional (BN) sejak terbentuk pada 1 Jan 1973. Dari Perikatan yang terdiri tiga parti kepada BN pada mulanya sembilan parti hingga menjadi 13 buah.
Beberapa persoalan tentunya menerjah fikiran pemimpin yang menyayangi UMNO. Mengapa dahulunya UMNO berterusan menjadi pemimpin berwibawa kepada rakan komponennya di dalam Perikatan dan BN?
Bagaimana UMNO mampu memimpin Perikatan dan BN memenangi siri pilihan raya sejak 1955? Mengapa UMNO tewas pada PRU14 (2018) dan tewas teruk pada PRU15 (2022) juga PRN12 Ogos lepas? Apakah kekalahan UMNO kerana produknya sudah tidak mujarab atau atas sebab lain?
Banyak diperkatakan oleh penganalisis tentang keputusan PRN lepas. Begitupun, saya hanya ingin menyentuh secara ringkas. Satu gambaran kasar lagi mudah untuk diamati.
Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing dapat mengekalkan negeri milik mereka. PN kembali menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan keputusan begitu cemerlang. PN memenangi sepenuhnya kerusi di Terengganu iaitu 32-0. Di Kedah, PN dapat mengekalkannya dengan 33-3 manakala di Kelantan, PN memenangi dengan 45-2.
Keputusan di Malay belt atau jalur Melayu ini sangat memilukan pendukung UMNO. Parti tersebut hanya menang satu kerusi di Galas, Gua Musang, Kelantan. Sedangkan pada PRU14, UMNO menang tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, lapan DUN di Kelantan dan 10 DUN di Terengganu.
PH/UMNO menang di Pulau Pinang 29-11, 34-22 di Selangor dan 31-5 di Negeri Sembilan. PH banyak kehilangan kerusi di Pulau Pinang dan Selangor.
UNDI POPULAR
Dari segi undi popular. PH mendapat 2,477,668 mewakili 36.1 peratus. BN peroleh 921, 804, iaitu 13.4 peratus. PN mendapat 3,382, 454, iaitu 49.3 peratus. Lain-lain 74, 417, iaitu 1.2 peratus.
Menjadikan total undi PH sebanyak 49.5 peratus manakala PN 49.3 peratus. Dari segi penguasaan kerusi, PH-BN memenangi 99 kerusi. PKR menang 26, DAP 46, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan dan UMNO 19. PN pula memenangi sebanyak 146 kerusi dengan Pas menang 106 dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 40.
Berdasarkan keputusan PRN tersebut, UMNO menghadapi suatu malapetaka yang sangat dahsyat. Bertanding sebanyak 108 kerusi dan menang hanya 19, iaitu kemenangan hanya 17.5 peratus. Kekalahan di Terengganu dengan gagal mendapatkan sebarang kerusi adalah memalukan serta begitu aib.
UMNO hanya mampu menang satu kerusi dari tiga negeri Melayu iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Sudah terang lagi bersuluh bahawa UMNO ditolak oleh pengundi Melayu. Masih bolehkah kepimpinan UMNO mendabik dada mendakwa parti itu mewakili orang Melayu?
Bayangkan UMNO hanya menang satu daripada 113 kerusi di negeri jalur Melayu. Menang hanya 0.8 peratus. Masih mampukah kepimpinan tertinggi UMNO menghadapi pendukung serta ahli parti? Selama ini menyatakan kepada mereka bahawa berjuang bersama PH akan menguntungkan parti. Berjuang di dalam Muafakat Nasional akan merugikan UMNO.
PEMBOHONGAN
Adakah keputusan PRN ini mendedahkan pembohongan kepimpinan tertinggi UMNO kepada ahlinya? Masih bersediakah ahli-ahli UMNO untuk hidung mereka buat dicucuk dan ditarik oleh kepimpinan tertinggi parti? Masih bersediakah menjadi lembu dicucuk hidung?
Lebih 60 tahun UMNO memimpin Malaysia, apakah parti ini sudah hilang sepenuhnya peluang untuk kembali menjadi parti yang memimpin, bukan parti yang dipimpin? Adakah jalan yang diambil oleh kepimpinan sekarang masih punya peluang untuk UMNO kembali menjadi pemimpin atau sebaliknya?
Persoalan inilah yang perlu dijawab oleh kepimpinan UMNO sebelum memilih atau menentukan hala tujunya. Berhentilah sementara waktu di persimpangan jalan sebelum memutuskan jalan yang mahu dilalui.
Berfikir secara rasional untuk kepentingan parti dan ahli selain memikirkan kepentingan diri.
Kepimpinan perlu menyedarkan ahli-ahli bahawa produk ampuh yang mereka jaja selama ini, iaitu Melayu dan raja sudah terlepas ke tangan PN. Kehilangan produk itulah menyebabkan UMNO kalah teruk, hanya mampu menang 20 di Semenanjung dan enam di Sabah semasa PRU15. Dalam PRN baru lepas pula, UNMO hanya mampu menang 19 kerusi DUN daripada 108 kerusi yang ditandingi. Keputusan yang terburuk UMNO di dalam sebarang pilihan raya. Terimalah hakikat kekalahan UMNO di negeri-negeri majoriti Melayu kepada PN itu sebagai bukti bahawa produk milik UMNO selama lebih 60 tahun itu telah berpindah tangan. Jadi, bagaimanakah untuk UMNO mendapatkan kembali produk tersebut? – UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan penganalisis politik.










