UMNO: Antara idealisme dan uslub

UMNO: Antara idealisme dan uslub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI politik ialah antara entiti penting dalam proses demokrasi bernegara. Ia dikatakan mempunyai jangka hayat yang panjang, melebihi jangka hayat ahli politik itu sendiri. Antara contoh parti politik tertua dan masih wujud sehingga hari ini ialah Parti Demokrat di Amerika Syarikat yang ditubuhkan oleh dua negarawan tersohor, Thomas Jefferson dan James Madison sekitar 1790-an.

Di Britain, ada parti Konservatif yang ditubuhkan oleh Sir Robert Peel pada 1832. Di Malaysia pula ada UMNO yang ditubuhkan pada 1946 oleh Datuk Onn Jaafar. Kebanyakan parti ini masih lagi berkuasa, setidak-tidaknya masih wujud dalam kerangka politik di negara masing-masing.

Biasanya kelangsungan jangka hayat parti politik ini ditentukan oleh objektif penubuhannya dan juga strategi atau cara berpolitiknya dalam usaha untuk mendapat, mengembang dan mengekalkan kuasa politik yang diperolehinya menerusi proses pilihan raya, sekiranya ia wujud dalam kerangka politik demokrasi.

Hari ini, perbincangan mengenai kelangsungan (survival) sesebuah parti politik tidak lagi dikendalikan dengan cara perbincangan secara ‘gaya kampungan’, sebaliknya menggunakan gaya perbincangan ilmiah yang moden, lengkap dengan kata-kata serta ayat-ayat tinggi maknanya serta disulami dengan pelbagai gaya retorika politik.

Justeru, kejayaan kelangsungan sesebuah parti politik pada hari ini dikaitkan oleh sesetengah orang dengan aspek idealisme dan uslub. Dua konsep ini digunakan bagi menggambarkan keadaan politik kepartian yang masih wujud dalam kerangka sistem demokrasi moden.

Secara ringkasnya, istilah ‘idealisme’ berasal daripada perkataan ‘idea’ bermaksud ‘dunia dalam jiwa’ yang mana menurut Plato, menekankan perkara-perkara bersifat ‘idea’ dan seringkali memperlekehkan perkara-perkara bersifat ‘kebendaan’ dan ‘fizika.l’ ‘Uslub’ pula ialah perkataan dari bahasa Arab bermaksud ‘jalan’, ‘cara’ atau ‘metode.’

Baru-baru ini, satu tulisan dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri merangkap bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai keadaan parti tersebut khususnya pasca Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang tamat, baru-baru ini.

Keputusan PRN15 menyaksikan UMNO kalah teruk, hanya mampu menang 19 kerusi daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tulisannya dalam akhbar Utusan Malaysia, Sabtu lalu bertajuk Apa makna PRN ini kepada UMNO? menjadi topik perbincangan hangat.

Keras tulisan Ismail Sabri. Antaranya mengenai kemarahan orang Melayu kepada UMNO yang bertambah marak seperti api membakar jerami sebagai manifestasi kemarahan serta kebencian pengundi Melayu malah terdapat dalam kalangan pendukung serta ahli parti.

Kesimpulan Ismail Sabri ringkas, punca sebenar penolakan pengundi Melayu bila mereka menafsirkan UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal sehingga kini terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan.

DEFENSIF
Justeru, mengikut beliau, UMNO memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

Malangnya, ada pemimpin UMNO bersikap defensif dengan perkara ini. Ada mengatakan Ismail Sabri silap dan gagal membezakan antara idealisme dan uslub politik UMNO. Menurut beliau, UMNO tidak pernah sesekali mengubah idealisme perjuangannya. Ia masih kekal dengan dasar perjuangan Melayu dan Islam.

Apa berubah ialah cara atau kaedah perjuangan (uslub) yang dikatakan boleh berubah mengikut keperluan semasa. Menyertai kerajaan perpaduan yang turut disertai DAP tidak ada kena mengena dengan idealisme tetapi adalah uslub perjuangan.

Memang betul jika dilihat dalam Perlembagaan UMNO, ia masih kekal dengan dasar perjuangan Melayu dan Islam. Bagaimanapun, orang Melayu tidak melihat kepada apa yang tertulis dalam perlembagaan parti tetapi memerhati tindak-tanduk UMNO.

Mereka berpendapat, tindak-tanduk UMNO kebelakangan ini semacam tidak selari dengan dasar ini. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi sebenarnya perkara ini dipersoalkan bila ada ura-ura kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

Jika dilihat kepada kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 pun komitmen UMNO kepada dasar perjuangan Melayu dan Islam sudah menjadi persoalan. Ada 13 Tawaran Utama di dalam manifesto BN dan tidak ada satupun daripadanya yang menjaga kepentingan umat Melayu.

Tawaran 9 di dalam manifesto ini paling jelas bercanggah dengan perjuangan UMNO bertajuk Mengamalkan Dasar Berasaskan Keperluan, berbunyi ‘BN akan memastikan keseimbangan dan keadilan sosial melalui peralihan daripada dasar berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan (needs-based policy).’

Tambah hangat lagi bila Datuk Khaidhirah Abu Zahar membuat hantaran di Instagram miliknya berbunyi, “Masih terngiang-ngiang di telinga, jelas di mata, suara-suara pemimpin UMNO yang memperlekehkan kepentingan orang Melayu Islam di Malaysia ini dalam meeting MKT (23 November 2022)” disertai petikan ayat difahamkan daripada pemimpin UMNO berbunyi, “Tak perlu dah jaga orang Melayu ini.”

Kerjasama dengan DAP mengesahkan idealisme perjuangan UMNO telah digantung dan dipesongkan. Ini kerana agenda DAP, Malaysian Malaysia jelas memperjuangkan kesamarataan dan sehingga hari ini DAP tidak pernah menarik balik agenda tersebut.

Orang Melayu melihat kepada tindakan, bukan pengucapan. Di sini jentera penerangan UMNO lemah. Tidak ada penerangan tersusun bagaimana penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan akan memartabatkan kedudukan Melayu Islam di negara ini.

Selagi orang Melayu tidak dapat diyakinkan mengenai perkara ini, sukar untuk mereka menerima uslub yang diguna pakai oleh UMNO sekarang akan membolehkan ia kekal dengan idealisme asalnya. Sebaliknya mereka lebih cenderung dengan pandangan Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang lantang berhujah bahawa UMNO kini lebih kepada menjaga kepentingan kelompok tertentu, bukan idealismenya.-UTUSAN

Penulis ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN