Tubuh pasukan kaji hadis elak khilaf peguam

Tubuh pasukan kaji hadis elak khilaf peguam

SEBARANG kekhilafan para pengamal undang-undang dalam memahami hadis secara tekstual dan kontekstual akan memberi implikasi buruk kepada masyarakat. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERKARA pertama yang aku hafal adalah hadis Malik. Selepas aku hafal dan kuasai, aku beralih kepada hadis al-Thawri, Syu’bah dan lain-lain. Selepas aku mencapai kemuncak dalam hafalan hadis, aku beralih kepada Ra’y (fiqh) Malik, al-Thawri, dan al-Awza’i. Aku turut menulis buku-buku al-Syafii.” – Petikan daripada al-Intiqa karya Ibn ‘Abd al-Bar.

Begitulah kata Abu Zur’ah al-Razi yang meninggal dunia pada 264 Hijrah dan merupakan salah seorang hafiz serta pakar hadis terhebat dalam sejarah. Beliau menukilkan prosedur bagaimana memulakan pengajian dalam hadis dan fiqah.

Hadis merupakan sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran. Ia juga merupakan khazanah ilmu yang luas merentasi zaman, lahir daripada lidah Rasulullah SAW sendiri. Atas keutamaan ini, harus ditekankan dan difahami sebarang kekhilafan para pengamal undang-undang dalam memahami hadis secara tekstual dan kontekstual akan memberi implikasi buruk kepada masyarakat.

Ulama silam mahupun kontemporari sedaya upaya memelihara ilmu hadis sehingga muncul disiplin al Jarh wa Ta‘dil, yakni subjek bagi membahaskan peripenting batang tubuh perawi yang meriwayatkan hadis juga diambil kira dalam menentukan klasifikasi satu-satu hadis. Ini kerana susuk yang meriwayatkan hadis turut sama menentusahkan kejituan hadis didaftarkannya.

Kemudian muncul pula disiplin Takhrij al Hadith, iaitu satu metodologi mengeluarkan hukum berdasarkan hadis, sama ada hadis tersebut berstatus sahih, hasan, dhaif ataupun maudhu’. Inilah yang sering dibahaskan saat agamawan mendebatkan sesuatu hukum agama berlandaskan kesahihan hadis disandarkan.

Tidak cukup itu, keaslian dan ketulenan hadis juga dipelihara melalui pemahaman kontekstual hadis yang menyeluruh. Bukan setakat mengambil zahir nas dan mengaplikasikannya secara langsung terhadap praktis hukum, keseluruhan hadis perlulah dibahaskan sehingga pemahaman mendasari hadis yang diriwayatkan itu dapat diserlahkan kebijaksanaannya.

HOLISTIK

Namun begitu, asas hadis sahaja tidak memadai tanpa melengkapi dengan Qawa‘id Usuliyyah dan Qawa‘id Fiqhiyyah. Al Qaradhawi juga pernah menyebut, pembentukan masyarakat hendaklah dimulai dengan meluruskan kerangka fikir terhadap sumber agama khusus dalam keseimbangan antara fiqah dan hadis.

Rangkuman beberapa disiplin ilmu hadis ini akan membentuk Fiqh al Hadith atau faham hadis secara holistik dan secara sempurna, dan kemudian boleh diguna pakai dalam proses istidlal. Salah tafsir atau khilaf dalam proses istidlal misalnya boleh dilihat dalam menentukan tempoh idah seorang isteri yang diceraikan, hanya berpandukan kepada hadis.

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Abbas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Talak dikira daripada pengakuan lelaki (suami), manakala idah dikira daripada pengakuan perempuan (isteri).”

Isu utama yang boleh dibangkitkan, iaitu adakah hadis tersebut sesuai dijadikan sumber rujukan utama dalam menentukan bilangan idah dan adakah memadai dengan pengakuan perempuan (isteri) semata, boleh diambil kira dalam membuat keputusan tanpa menawarkan sumpah?

Jika dilihat pada hadis tersebut, ia adalah athar daripada Zayd b. Thabit dan Ibnu ‘Abbas. Athar tersebut bukanlah berkaitan khilaf bilangan talak dan idah antara suami dan isteri, namun khilaf pada status hamba dan orang merdeka. Maksudnya, bilangan talak adalah melihat kepada status lelaki (hamba sekian, merdeka sekian) dan bilangan idah pula melihat kepada status perempuan (hamba sekian, merdeka sekian).

Sebagai contoh di sisi Mazhab Syafie, lelaki merdeka mempunyai tiga talak dan hamba memiliki dua talak, manakala idah perempuan merdeka seperti sedia maklum dan idah hamba yang dinikahi ialah dua kali suci.

Jelas di sini, hadis atau athar yang para fuqaha bawakan adalah ketika membahaskan tentang talak lelaki bertaraf hamba, bukan dalam bab khilaf antara suami isteri tentang talak dan iddah. Begitupun, dalam Ahwal Shakhsiyyah Mesir, had maksimum nafkah idah adalah satu tahun sahaja.

Zahir nas pasti tidak akan menemukan perbahasan di sebalik hadis ini.

Pastinya perlukan kepada seseorang yang ahliyyah (pakar) dalam hadis.

Demikianlah Imam Syafie melalui Ikhtilaf al Hadis menetapkan beberapa dhowabid (parameter) dalam faham hadis secara kontekstual melalui pendekatan bahasa dan sebab wujudnya hadis (asbab al wurud) tersebut.

Barang perlu ingat, setiap keputusan dan perintah yang dimeterai atas nama penghakiman akan memberi kesan langsung kepada kehidupan seseorang. Bahagia mahupun derita, justeru tidak keberatan jika dicadangkan wujud pasukan kaji hadis yang benar-benar pakar dalam proses istidlal yang dapat memanfaatkan sumber thurath ini secara maksimum. – UTUSAN

PENULIS ialah peguam syarie yang beramal di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang; juga aktivis Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN