SIRI AKHIR
UMNO perlu mengkaji kembali kedudukannya di dalam kerajaan perpaduan. Di mana untungnya, di sebalik kerugian yang pasti? Perlukah kekal untuk menanggung kerugian lebih besar pada masa hadapan?
Sekiranya UMNO terus kekal di dalam pakatan yang ada, mampukah UMNO bertahan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang?
UMNO sudah tiada pilihan. Parti ini mesti membuat keputusan berani. Pendukung serta ahli mesti mengambil langkah segera sebelum parti menjadi musnah dan hilang dari arus politik negara.
Parti yang dianggap keramat oleh sebahagian orang Melayu masih punya peluang kembali berpengaruh. Masih ada kaedah untuk mendapatkan pancang kuasa yang hilang. UMNO berpeluang mengembalikan produk ampuhnya yang sudah berpindah tangan. Begitulah, UMNO memiliki harapan menguasai kembali negeri kubunya yang hilang.
Kepimpinan, pendukung serta ahli UMNO perlu sedar. Mereka berada di persimpangan. Parti sudah dibawa sesat begitu jauh. Bila sudah sesat dan berada di persimpangan, maka perlu dicari jalan selamat. Perlu dicari jalan pulang untuk kembali ke rumah asal yang kukuh lagi perkasa.
Sebelum UMNO terjun jatuh ke dalam gaung berduri, semasa peluang masih ada, UMNO perlu diselamatkan dengan apa cara sekalipun. Sekiranya kepimpinan masih berdegil mahu mengheret parti berterusan ke dalam gaung merosakkan, maka menjadi tanggungjawab ahli menyelamatkan parti. UMNO perlu diselamatkan daripada pemimpin yang tidak menyedari kesilapannya. Pemimpin boleh pergi dan datang tapi parti perlu kekal serta dimartabatkan.
UMNO tiada pilihan melainkan mengembalikan kekuatan semasa dalam Muafakat Nasional (MN). Ya, UMNO perlu kembali bersama Pas, juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Inilah jawapan kepada permasalahan dihadapi UMNO sekarang. MN adalah pelampung penyelamat serta pemberi oksigen semasa UMNO kelemasan sekarang.
Seperti seorang sedang tenat, UMNO masih beradu di unit rawatan rapi (ICU) sebelum ditidurkan. Bila sudah ditidurkan, ada kemungkinan UMNO terus tidur dan tidak bangkit lagi. Tidur buat selamanya.
UMNO tidak perlu berasa segan lagi bersalah atas kesilapan diambil kepimpinannya. Semuanya itu telah menjadi sejarah dan tersimpan dalam arkib parti. Itu sejarah pahit perlu dilangir dengan air atma jiwa bagi mengubati luka sengsara. Apa yang penting, UMNO perlu mendakap kembali Pas, Bersatu bagi kepentingan ummah dan negara, bagi menyatukan kekuatan Melayu yang mulai terbarai lemah, bagi memastikan kekuatan Melayu kembali kukuh. Dan teras kuasa negara ini mesti di tangan Melayu.
Bolehkah UMNO kembali utuh serta memimpin negara? Jawabnya, boleh.
DEPOSIT TETAP
Bila menjadi anggota MN, serta-merta UMNO mendapat semula kekuatannya yang hilang. Secara automatik UMNO mendapat kembali senjata ampuhnya, iaitu Melayu-raja yang telah berpindah kepada Perikatan Nasional (PN). Senjata ampuh ini menjadi milik bersama dengan rakan-rakan di dalam MN. Tiga perkara dijunjung oleh umat Melayu, iaitu Islam, Melayu serta raja menjadi milik bersama UMNO-Pas-Bersatu.
Dengan itu, UMNO lebih mudah mengekalkan kerusi yang ada atau menawan kerusi dimiliki PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) di kawasan majoriti Melayu atau campuran.
Sebenarnya UMNO mempunyai ruang lebih baik berbanding Pas untuk memimpin negara. Ini berdasarkan sejarah hubungan serta persahabatan panjang antara UMNO dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak.
Parti-parti dan rakyat di kedua-dua wilayah tersebut lebih mengenali UMNO berbanding Pas. Begitu juga mereka lebih mengenali UMNO berbanding Bersatu terutama masyarakat Sarawak.
Bersandarkan alasan di atas, maka sudah pasti kepimpinan parti-parti di Sabah serta Sarawak lebih bersedia menerima kepimpinan bersih UMNO untuk memimpin negara. Di samping itu dari segi budaya terutama penganut Kristian, tentulah sukar untuk menerima pemimpin Pas sebagai Perdana Menteri.
Mungkinkah UMNO kembali pulih kekuatannya serta boleh menjadi parti yang memimpin kiranya kekal bersama Pakatan Harapan (PH)? Bolehkah kembali memegang bungkusan kuasa negara jika tetap bersama PH?
Jawapannya, UMNO tidak mempunyai peluang langsung dalam apa pun keadaan. Bersama PH, iaitu DAP-PKR-Amanah yang lebih dominan, sudah pasti UMNO terpaksa patuh tunduk menerima apa diputuskan.
Dalam kes mendapatkan kerusi untuk bertanding dalam PRN Selangor, sebagai bukti yang jelas lagi nyata.
Dalam apa keadaan pun, DAP boleh memenangi antara 40 hingga 42 kerusi Parlimen. Bandar raya serta bandar adalah kubu DAP secara semula jadi. Itu adalah ‘deposit tetap’ DAP. Sedangkan UMNO terpaksa bertarung separuh mati untuk menang 26 kerusi pada PRU15. Selepas UMNO menerima kekalahan lebih teruk pada PRN 12 Ogos lalu, maka sudah pasti nilai UMNO kepada PH tersangat rendah. Malah boleh dianggap, UMNO tiada harga buat PH. Kehadiran UMNO tidak menambah kekuatan PH, jadi kehilangan UMNO tidak merugikan mereka.
Kepimpinan, pendukung dan ahli perlu menyedari hakikat ini. Bila terus kekal bersama PH, peluang untuk mendapatkan kembali produk mujarab langsung tiada. Harapan untuk mengambil serta membina negeri kubu juga tiada peluang. Apatah lagi untuk menjadi parti yang memimpin dan bukan dipimpin. Jauh sekali cuba berangan untuk memegang bungkusan kuasa seperti mana di era kegemilangan UMNO terdahulu.
Sekiranya kepimpinan masih berdegil serta khayal dengan kedudukan di dalam Kabinet kerajaan perpaduan, tinggalkan mereka. Yang penting, memandu serta berusaha meletakkan UMNO di tempat yang betul lagi jitu. Semakin lama dibiarkan dalam kesesatan serta khayalan kepimpinan, semakin parah nasib UMNO. Jangan dibiarkan kepimpinan membawa UMNO mengejar bebayang fata morgana.
UMNO kini berada di persimpangan. Antara menjadi pemimpin atau dipimpin. Antara kekuatan dan kelemahan. Antara kehidupan dan kematian. Menyedari sudah tersesat jalan, maka perlu mencari jalan pulang. Gunakan akal fikir dan jalar fikir yang di anugerah Ilahi.
Semoga parti keramat suatu masa dahulu kepada bangsa Melayu serta bumiputera tidak tercampak ke tong sejarah. Sebaliknya kembali memilih jalan pulang yang tepat lagi jitu. Kembali membina UMNO sebagai parti keramat yang akan menempa sejarah lebih besar lagi perkasa. Politik adalah permainan mendapat dan mengekalkan kuasa. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan penganalisis politik.










