PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam siri ceramah beliau menjelang pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini beberapa kali menyatakan kewajipan Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah selain merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi membolehkan mereka membuat perubahan di peringkat kerajaan Pusat.
Perkara sama dinyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kemunculan pertama di pentas PN pada program Munajat Rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, 21 Julai lalu. Beliau menyatakan harapan dan keyakinan PN mampu memperoleh kemenangan di enam negeri. Beliau kemudiannya membuat ramalan PN menang 5-1.
Bagaimanapun, keputusan PRN jelas menunjukkan impian Abdul Hadi dan Dr. Mahathir tidak kesampaian. PN hanya menang 22 daripada 56 kerusi di Selangor, 11 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang dan lima daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan selain mengekalkan tiga negerinya.
Banyak bisik-bisik kedengaran dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas yang menyalahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khusus Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kegagalan PN memenuhi matlamat merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Di Selangor, kesilapan besar Muhyiddin dikatakan menonjolkan kembali bekas Menteri Besar (MB), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta memberikan kuasa penuh kepadanya menentukan calon-calon dari Bersatu.
Hasilnya, ramai pemimpin Bersatu Selangor kecewa dengan senarai calon dibariskan. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli pada 7 Ogos dengan menyebut pemilihan calon bersifat berat sebelah kepada kartel tertentu. Dan muka baharu dijadikan sebagai ahli semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor menyebabkan pemberontakan lebih sembilan bahagian Bersatu di Selangor.
Tepat seperti jangkaan Muhammad Faiz, akhirnya sejarah kekalahan Bersatu dalam PRN Melaka dan PRN Johor disebabkan keputusan kepimpinan parti seringkali mengabaikan suara akar umbi berulang lagi.
MORAL
Di pihak Pas, perkara yang menjadi isu besar mereka adalah penonjolan semula Mohamed Azmin yang telah ditolak oleh rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Banyak kaji selidik menunjukkan rakyat Selangor menolak beliau sebagai calon MB. Isu-isu di sebalik penonjolan semula Mohamed Azmin dan pemilihan calon-calon Bersatu yang tidak menepati jangkaan ini menyebabkan moral petugas dan penyokong Pas jatuh.
Begitu juga di Negeri Sembilan. Muhyiddin dipersalahkan kerana tiba-tiba sahaja menggugurkan bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith sebagai Ketua Badan Perhubungan PN negeri pada 1 Jun dan menggantikan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Apa yang memeranjatkan ialah bila pengguguran ini dibuat secara tiba-tiba, sangat rapat dengan tarikh PRN dan tidak dirundingkan dengan pemimpin Bersatu Negeri Sembilan terlebih dahulu. Malah surat pengguguran pun diberi melalui aplikasi WhatsApp.
Selaku Ketua PN Negeri Sembilan, Ahmad Faizal juga didakwa mencaturkan calon-calon Bersatu tanpa membuat rundingan dengan pemimpin tempatan di bahagian dan cawangan sehingga banyak nama berwibawa tidak dicalonkan termasuk Setiausaha PN Negeri Sembilan, Nazree Yunus dengan menonjolkan mereka dari klik beliau sahaja.
Di Pulau Pinang, isu besar menjadi kemarahan pemimpin dan penyokong Pas ialah tindakan Muhyiddin memberikan kerusi boleh menang Pas di kerusi majoriti Melayu Islam, Bayan Lepas yang sepatutnya ditandingi oleh Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim. Tapi diberikan kepada Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau sehingga PN kalah.
Pemberian kerusi kepada Dominic nyata sekali menjejaskan semangat dan gerak kerja petugas dan pemimpin Pas bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Selangor dan Negeri Sembilan kerana ia dijadikan isu atas kemampuan parti memartabatkan Melayu Islam.
LUKA
Ada pula di beberapa tempat lain seperti Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi dalam mana Muhyiddin dipersalahkan kerana merestui kerakusan pemimpin Bersatu menjadi calon tanpa mempertimbangkan perasaan pemimpin Pas tempatan. Calon-calon Bersatu masih menang, tetapi lukanya agak mendalam.
Tidak hairanlah selepas PRN, giliran Pas pula menunjukkan kuasanya. Di Kelantan dan Terengganu, Pas hanya memberi satu kerusi Exco kepada Bersatu walaupun enam calon Bersatu menang di Kelantan dan menang lima di Terengganu.
Di Kedah juga begitu, walaupun 11 calon Bersatu menang, Pas hanya beri tiga kerusi Exco, menurun daripada lima kerusi sebelum ini.
Agihan kerusi yang kecil ini nyata menimbulkan ketidakpuasan hati pemimpin Bersatu. Tidak mustahil jika pertelagahan ini akan membawa kepada retak dan berkecainya kerjasama antara Pas dan Bersatu.
Di saat mereka semakin hangat berbalah, PH pula lega kerana cubaan PN untuk membuat perubahan di peringkat Pusat tidak menjadi sekali gus memberi ruang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih fokus dengan agenda reformasi hingga ke akhir penggal.
Dari sudut lain, eloklah Dr. Mahathir bersara terus dari dunia politik. Mulut beliau nyata sudah tidak lagi masin. Deria beliau kini sudah tidak berfungsi dengan baik sehingga hilang sentuhan dan gagal menyelami hasrat sebenar akar umbi. – UTUSAN
Dr. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.










