Kerajaan pusat-negeri perlu berbaik - Utusan Malaysia

Kerajaan pusat-negeri perlu berbaik

pasca PRN dan PRU-15 memerlukan usaha untuk mengukuhkan hubungan kerajaan pusat dan negeri dalam membangunkan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) bagi enam Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diketahui. Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN) manakala, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Proses pelantikan semua Menteri Besar (MB) dan barisan exco bagi setiap negeri berlangsung dengan lancar.
Kini PN memerintah empat negeri termasuk Perlis, tetapi menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan. Pasca PRN, maka tanggungjawab kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri melakukan kerja demi kepentingan rakyat dan kemajuan negara. Ironinya, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Cukup-cukuplah berpolitik, pilihan raya pun sudah selesai. Tunggulah lima tahun lagi jika masih mahu berpolitik.
Kini masanya untuk melakukan kerja. Buktikan kemampuan dan kebijaksanaan masing-masing untuk membangunkan negara, mem­baiki pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan, menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dan sebagainya. Jangan hanya pandai bercakap dan pelbagai formula dikemukakan, tetapi tindakannya tidak seberapa. Jadi, belajarlah memahami hakikat apa yang berlaku di hadapan mata dan pilihan rakyat.
Di pihak pembangkang, jangan hanya tahu menghentam. Buktikan anda boleh menjadi pembangkang yang konstruktif dan bermanfaat dalam memberi pelbagai sumbangan. Paling tidak peranan pembangkang memberi pandangan sisi kepada kerajaan dalam pelbagai perkara. Justeru, peranan semak dan imbang pembangkang amat penting kepada Kerajaan Perpaduan yang tidak memiliki majoriti besar di Parlimen.
Walaupun wujud perbezaan antara kerajaan dan pembangkang, bukan bermakna tidak boleh membentuk persefahaman dan kerjasama demi kepentingan rakyat dan negara. Inilah tanggungjawab setiap pemimpin yang telah dipilih sama ada di luar atau di dalam kerajaan. Tindakan yang tidak berakal tidak memberi sebarang keuntungan kepada mana-mana pihak. Malah, meningkatkan kebencian rakyat.
Di pihak Kerajaan Perpaduan, cuba elak perbalahan kerana bertentangan dengan tema yang mereka cipta iaitu Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran. Justeru, dalam konteks federalisme, kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan pusat dan negeri amat penting. Dalam sistem federalisme, kerajaan pusat mempunyai tanggungjawab kepada kerajaan negeri walaupun di bawah pembangkang seperti menerusi belanjawan negara.
Jadi, Kerajaan Persekutuan dan negeri mesti bersedia bekerjasama walaupun berbeza ideologi politik. Ironinya, apabila Kerajaan Perpaduan melancarkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan telah menjadi isu kepada pembangkang hingga bersedia untuk mengemukakan tema sendiri. Siapakah yang untung di sini? Tiada sesiapa pun kecuali mendapat kecaman dan cenderung berkonflik serta menunjukkan sikap keras kepala.
Senario politik begini jika berterusan, hala tuju politik Malaysia tidak akan ke mana. Hasrat perpaduan yang diusahakan, tetapi perbalahan yang timbul. Sedar dan terimalah hakikat dalam sistem politik demokrasi berparlimen dan sistem pentadbiran berasaskan federalisme itu meraikan perbezaan. Kerajaan Persekutuan tidak boleh menganaktirikan kerajaan negeri yang di bawah PN. Kerajaan negeri di bawah PN pula harus bersedia menerima dasar yang dibawa Kerajaan Perpaduan.
Jika perkara kecil seperti tema di atas menjadi pertikaian, apatah lagi jika ada perkara besar selepas ini. Janganlah disebabkan politik sempit begini, kalah jadi abu, menang jadi arang. Akhirnya tiada siapa pun untung. Lebih teruk lagi, bagai ayam menang, kampung tergadai. Kepada semua pemimpin kerajaan dan pembangkang , sikap merendah diri, rasional, berlapang dada, meraikan perbezaan dan bersedia menerima teguran, tidak akan menjatuhkan darjat dan maruah diri. Ingatlah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Jadi, pasca PRN dan PRU-15 memerlukan usaha untuk mengukuhkan hubungan pusat (Persekutuan) dan negeri sebagai agenda utama antara pembangkang dan kerajaan. Elakkan konflik, dibinalah konsensus agar rakyat dapat banyak manfaat. Kerajaan Perpaduan melalui Dasar Malaysia Madani telah dan akan terus menyediakan pelbagai insentif kepada golongan tertentu dalam masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang telah dirangka.
Keterbukaan pembangkang menerima dan bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan melalui Dasar Malaysia Madani mampu mewujudkan kemakmuran di pihak rakyat terutama bagi kumpulan yang memerlukan. Menerusi kesediaan seperti ini, setiap pihak boleh memberi khidmat dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing tanpa sebarang prasangka. Pendekatan ini penting untuk membangunkan negara dalam konteks federalisme. Jadi, kerajaan negeri mesti bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan sebaliknya tanpa sebarang alasan dan abaikan soal politik.
Jika bercita-cita melihat Malaysia mampu mengorak langkah jauh dan berubah lebih matang, maka mentaliti politik perlu ditransform ke arah yang lebih realistik, rasional dan berfikiran ke hadapan. Tanamlah tekad bahawa politik itu hanya dalam tempoh pilihan raya agar dalam konteks federalisme itu konsensus dapat dibentuk antara pembangkang dan kerajaan bukannya mewujudkan konflik. Oleh itu, sudah tiba masanya hubungan antara negeri dan pusat diperkukuhkan.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya