BEBERAPA hari lagi ulang tahun ke-66 Hari Kebangsaan akan menjelang tiba. Ini adalah satu-satunya ketika yang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk menunjukkan taat setia mereka kepada raja dan negara. Selama ini kalau tidak diambil endah atas alasan tertentu, kini masanya untuk bersungguh-sungguh meyakinkan dunia bahawa Malaysia sejati, aman sentosa.
Sebuah negara yang boleh dicontohi dalam membawa perpaduan rakyat berbilang kaum, bangsa, budaya dan agama ke tahap membanggakan. Pengalamannya sebagai sebuah negara demokratik disanjung terutama dalam kalangan negara membangun apa lagi dunia Islam.
Sewajarnyalah dalam tahun ke-66 merdeka, kedudukannya lebih terkenal berkaitan soal perpaduan di semua peringkat bersama-sama memupuk kesejahteraan dan kedamaian. Apabila dunia dan pelbagai negara lain dikucar-kacirkan oleh pelbagai cabaran, Malaysia terus aman dan tenteram. Tiada tolok bandingannya.
Maka laungan merdeka bergema dengan penuh rasa kebanggaan pada setiap 31 Ogos. Menjadi simbol keterangkuman sebuah negara bangsa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Lantas rakyat turut serta berduyun-duyun ke tempat keraian di mana sahaja. Terutama dari pedalaman dan luar bandar kerana bukan sahaja ia merupakan peluang menimba pengalaman terbaharu, tetapi turut rasa bersyukur memandangkan masa hadapan mereka juga terus terbuka dan terpelihara.
Merdeka! Merdeka! Merdeka jiwa raga, mungkin buat selama-lamanya.
Namun demikian, ini tidak semestinya kerana adat hidup ada naik turunnya. Dan sekarang ini ternyata ia lebih menjunam dalam banyak hal. Mutakhir, lihat sahajalah keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang belum hilang igauannya. Ia memukau rasa malang sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lagi yang juga pembawa berita dan isyarat kurang mesra. Ketaktentuan umumnya memuncak, percanggahan politik meruncing di hampir semua peringkat, rasuah dan kebiadaban menjadi lebih ketara khususnya dalam meraih sokongan merebut kuasa.
Kerakusan dan kecelakaan ditempa – kesemuanya merunsingkan lagi khalayak terutama yang perlu pembelaan. Keadaan kini tunggang terbalik. Betapa tidak, payung besar selama enam dekad lalu sudah mula robek dan dirobekkan. Tiris di sana sini. Dan mula membasahi kehidupan yang semakin sukar mencari rezeki pagi dan malam. Datang PRN15, payung tersebut hampir tidak berguna lagi.
Lalu dihumban rumpun bangsa sendiri kerana hapus keyakinan para pemayung yang sudah hilang pedoman.
Tidak lagi bermaruah seperti tuntutan budaya dan adat bangsa dahulu kala. Apatah lagi berkomplot menegak benang yang basah tanpa segan silu. Sementera itu ketirisan dibiarkan merebak, payung hanya tinggal kerangka besi berkarat. Seolah sudah muflis dalam memberi perlindungan yang bermakna dan berkesan.
Oleh itu, tidaklah memeranjatkan yang ramai berasa kesal, bertempiaran mencari payung baharu sebagai pilihan mereka. Mungkin berlainan corak dan warna, tetapi masih dapat berteduh dan bernafas lega buat sementara. Tidak perlu bimbang menumpang dengan sesiapa yang ingin menangguk di air keruh. Mereka itu lincah mengatur langkah mencari kesempatan dan memperalatkan kesempitan orang lain.
Berpura-pura simpati sedangkan kelingking berkait. Lagi sekali semua ini terpapar jelas pada PRN15 bagi sesiapa yang peka dalam mengisi kemerdekaan anak bangsa hari muka. Bukan kepada yang leka dengan hal-hal terdekat kepada diri serta kelompoknya sahaja.
DILEMA 31 OGOS
Jadi, apabila tiba 31 Ogos kali ini, ke mana kita? Selepas selesai perarakan gergasi merdeka untuk kepuasan mata dan telinga, bagaimana pula akal dan hati? Mungkinkah kita pula berarak mengusung keranda anak bangsa tatkala akal dan hati juga sudah kaku? Angkara derhaka kepada perjuangan sehingga pusara para pejuang kemerdekaan tidak lagi membawa teladan kepada negara? Bahkan rela menjadi penconteng arang di wajah pertiwi disaksikan dunia. Hilang pedoman akal budinya.
Malah setakat ini persetujuan tentang tema dan logo Hari Kebangsaan belum lagi dicapai bersama. Walaupun sudah 66 kali berlangsung dalam sejarah kemerdekaan. Mengapa begitu? Sedangkan ada ratusan ribu seniman dan karyawan dalam kalangan masyarakat majmuk ini. Ternyata mereka tidak dipelawa turut serta.
Terbatas kepada kelompok tidak sudah-sudah meraih keegoan sendiri dan menyisihkan yang teramai. Oleh itu, terdapat kritikan yang merasakan tema lebih berbaur politik kepartian sempit dan tidak mewakili semua jalur politik negara. Merdeka untuk bukan segelintir. Apatah lagi rakyat yang sudah mual dengan politik dangkal. Malah ada yang ingin mengambil langkah asing dari kepartian pemerintahan mengikut kecenderungan masing-masing seperti pernah diamalkan beberapa kali sebelum ini.
Tanpa apa-apa kerenah bukan seperti kali ini. Diejek dan ditomah itu dan ini oleh pihak berkepentingan dalam puak perintah sendiri. Kalau dahulu boleh, mengapa pusingan U lagi sekali buat kali ini? Pokoknya, jika perkara remeh ini tidak mampu diselesaikan dengan baik dan pantas, ia sudah cukup membuktikan perpaduan yang dikatakan wujud adalah jauh dari jangkauan dalam hasrat memenuhi harapan yang boleh memayungi semua demi keadilan bersama.
Apatah lagi bagi pihak yang sedang terkapai-kapai mencari perlindungan seperti suatu ketika dahulu – yang ikhlas, berani dan adil, sebelum dirobak-robekkan di bawah tangan durjana bangsa!
Sepertimana titah Sultan Selangor baru-baru ini, baginda dan rakyat jelata sudah letih dengan gelagat politik tidak membina. Harus diingat, tuanku juga memperoleh lukisan ahli-ahli Parlimen monyet dalam simpanan baginda. Natijahnya, jangan sampai ‘memonyetkan’ politik negara pula! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










