ISU rasuah dan penyalahgunaan kuasa kembali menjadi titik tumpuan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi. Menurut laporan dan dakwaan yang tersebar, terdapat beberapa wakil parti disyaki melakukan rasuah secara implisit sebagai taktik untuk memenangi suara pengundi.
Rasuah secara implisit ini tidak melibatkan pertukaran wang secara terang-terangan. Sebaliknya, ia melibatkan penyalahgunaan kuasa, penyaluran bantuan dan projek secara tidak adil serta tindakan lain yang bertujuan mempengaruhi keputusan pengundi.
Contohnya, pembangunan infrastruktur dan penyaluran bantuan ke kawasan dikuasai oleh parti tertentu atau pengundi yang dijangka menyokong mereka.
Rasuah secara implisit ini juga dikhuatiri boleh menyebabkan calon terlibat terdedah kepada kesalahan pilihan raya yang berpotensi memaksa pengundian diadakan semula seperti berlaku di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, sebelum ini.
Langkah-langkah ini, walaupun kelihatan sebagai tindakan biasa atau ‘baik hati’, sebenarnya adalah bentuk rasuah yang lebih halus dan agak kompleks. Ia berpotensi merosakkan integriti proses pilihan raya dan mempengaruhi keputusan pengundi.
Dalam menghadapi isu ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bertindak tegas. Mereka perlu menyiasat laporan dan dakwaan yang diterima dengan teliti dan cekap.
Langkah ini bukan sahaja penting untuk menegakkan keadilan dalam PRN, tetapi juga untuk memastikan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dapat dipelihara.
Sebagai tambahan, SPRM juga perlu meningkatkan pemantauan mereka terhadap aktiviti parti-parti politik, terutama semasa tempoh kempen. Pendidikan dan kesedaran tentang apa yang membentuk rasuah dan bagaimana ia boleh mempengaruhi proses pilihan raya juga harus diperkasa.
PRU16
Dalam konteks lebih besar, semua parti dan bakal calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) perlu berhati-hati dan memahami kesalahan serta hukuman berkaitan dengan pilihan raya, terutama aktiviti kempen berunsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Ini termasuk kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998, Kanun Keseksaan dan Akta SPRM 2009.
Akta AKPR 1954 mempunyai undang-undang yang ketat, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakannya, termasuk tidak boleh menjalankan siasatan, memberikan denda terhadap calon atau siapa sahaja yang melanggar undang-undang pilihan raya.
Bagaimanapun, undang-undang sedia ada masih membolehkan SPRM, polis dan SKMM untuk mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa dan kesalahan berkaitan menjelang PRU apabila ada laporan.
Setiap calon dan bakal calon harus memahami dengan jelas peruntukan AKPR 1954 yang mengandungi kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Ini termasuk Seksyen 8 (menjamu), Seksyen 9 (pengaruh tidak wajar), dan Seksyen 10 (rasuah) yang berlaku semasa atau selepas tempoh pilihan raya.
Hukumannya boleh merangkumi penjara, pembatalan kelayakan sebagai wakil rakyat dan kehilangan hak mengundi. Di samping itu, semua parti politik perlu memahami batas perbelanjaan ketika pilihan raya.
Mengikut Seksyen 19, batas maksimum perbelanjaan semasa pilihan raya adalah RM150,000 untuk setiap kerusi negeri dan RM200,000 untuk setiap kerusi Parlimen.
Keadaan ini membuka peluang untuk pembaharuan dalam AKPR 1954, termasuk memberikan kuasa penguatkuasaan kepada SPR, mengkaji semula batas perbelanjaan pilihan raya dan memperkuatkan audit dan pemeriksaan perbelanjaan pilihan raya.
Calon dan penyokong harus menjalankan kempen dalam batas undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sementara agensi penguatkuasaan harus melaksanakan tugas mereka untuk melindungi proses demokrasi.
Mengikut teori demokrasi, pilihan raya adalah salah satu cara terbaik untuk memerangi rasuah dan memastikan pemilihan yang adil dan bebas.
Seterusnya, kerajaan yang terbentuk harus berusaha untuk menjadi kerajaan berintegriti, stabil dan bebas rasuah serta bekerjasama dengan rakyat untuk melawan rasuah demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Rakyat Malaysia berhak untuk sebuah pilihan raya yang adil dan bebas daripada sebarang bentuk rasuah. – UTUSAN
DR. Mohamed Rashid Ab. Razak ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Undang-Undang Islam, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











