MALAYSIA mengekalkan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk 10 tahun lagi. Antara faktor meyakinkan UNESCO untuk menyambung gelaran Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB) adalah kerana kesungguhan kerajaan negeri Pahang dalam mengesahkan tambahan kawasan-kawasan pemuliharaan baharu. Tambahan kawasan-kawasan ini telah dikemukakan di dalam dokumen audit UNESCO, Semakan Berkala, baru-baru ini. Semakan berkala ini diwajibkan kepada setiap tapak rizab biosfera UNESCO setiap 10 tahun.
Berikutan itu, kerajaan negeri membuat pengubahan pada Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini (RKKTC-Warta). Ini bertujuan mewartakan zon-zon baharu di bawah TCRB sebagai kawasan pemuliharaan dan pemeliharaan kepelbagaian alam semula jadi.
Pemuliharaan dan pemeliharaan juga mendapat sokongan Raja Permaisuri Agong dalam titahnya sempena pembukaan pameran Muzium Pahang bertemakan Pahang In Nature, baru-baru ini. Dalam titahnya, Seri Paduka mahukan kekayaan warisan alam semula jadi serta kepelbagaian biodiversiti Pahang berjalan seiring dengan agenda antarabangsa, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
PERANAN ZON RIZAB BIOSFERA
Zon yang ditetapkan di bawah rangka kerja rizab biosfera UNESCO memainkan peranan sebagai kawasan kelestarian berkonsepkan pembangunan mampan dan pembelajaran. Zon yang memainkan peranan terpenting merupakan zon teras. Zon ini dilindungi dengan ketat yang menyumbang kepada pemuliharaan landskap, ekosistem, spesies dan variasi genetik. Ia kerap dikelilingi zon penampan yang mengelilingi atau bersebelahan zon teras. Ia digunakan untuk aktiviti serasi dengan amalan ekologi kukuh yang boleh memantapkan penyelidikan saintifik, pemantauan, latihan dan pendidikan.
Zon yang mendapat limpahan dari kedua-dua zonasi ini adalah zon peralihan. Zon peralihan adalah tempat komuniti memupuk aktiviti ekonomi yang mampan dari segi sosiobudaya dan ekologi.
ZON TERAS TCRB
Zon teras perlu diberikan perhatian terperinci memandangkan ia mendapat perlindungan khas melalui beberapa akta negara. Daripada dokumen pengubahan RKKTC, zon teras tapak UNESCO ini merangkumi dua kawasan utama. Pertama, Lembangan Tasik Chini, terdiri daripada badan air tawar Tasik Chini serta Hutan Simpan Kekal (HSK) dengan keluasan 3,163 hektar. Dan kedua, Kampung Gumum Orang Asli Jakun berkeluasan 283.72 hektar.
Maka zon teras ini berjumlah 3,447 hektar. Zon teras ini merupakan yang terpenting di dalam mana-mana tapak rizab biosfera UNESCO. Di zon teras TCRB terdapat 12 sungai yang mengalir dari lembangannya ke Tasik Chini. Sungai-sungai ini suatu masa dahulu mengalir melalui kawasan hutan pamah dipterokap yang tebal.
Hutan dipterokap ini mempunyai kepelbagaian dan kepadatan pokok balak dan tumbuhan. Ia boleh membuat seorang pembalak menjadi gila dan hilang pedoman melihatnya. Keuntungan wang ringgit daripada pokok-pokok balak mendatangkan pendapatan yang lumayan. Siapa peduli jika air sungai tidak mengalir atau burung enggang tidak terbang lagi? Itulah hakikatnya. Tetapi jika air tidak ada di tasik dan di sungai, ikan tidak dapat dihidangkan untuk makanan. Impak kepada kehidupan manusia menjadi tinggi terutama pada mereka yang bergantung hidup pada tasik dan sungai. Zon teras di TCRB juga tempat tinggal Orang Asli Jakun.
Rupa bentuk fizikal di zon teras TCRB sekarang ini hanya tinggal tanah merah gersang bagai tanah tandus akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan. Pemulihan untuk mengembalikan kepelbagaian sepenuhnya di zon ini akan menjadi sangat mencabar. Bagaimanakah boleh dikembalikan kawasan-kawasan ini kepada hutan dipterokap pamah yang asal? Berapa lama boleh kita bersabar menunggu kembalinya kepelbagaian flora fauna. Yang penting, adakah ekosistem biotik (komponen yang hidup) dan abiotik (komponen bukan hidup) boleh dikembalikan? Hanya generasi seterusnya akan mengetahui dan melihat, jika usaha-usaha pemulihan dijalankan dengan segera.
Penanaman pokok perlu dibuat secepat mungkin khususnya di tebing sungai-sungai di zon teras. Sains menunjukan sistem akar tumbuhan akan berpaut pada tanah di sekelilingnya dan mewujudkan kestabilan. Ini akan mengurangkan jumlah tanih terhakis mengalir ke sungai semasa musim tengkujuh. Salah satu kesan pada air sungai yang tidak mempunyai ekosistemnya akan menjadikan kualiti air sungai buruk.
Tidak ada projek pemuliharaan dan pemulihan yang tidak menelan perbelanjaan besar. Laporan akhbar kerajaan negeri menyatakan sebanyak RM10.25 juta bakal dibelanjakan untuk tujuan ini. Adakah ini cukup untuk memulih zon teras berkeluasan kira-kira 3,163 hektar? Adakah bantuan daripada Kerajaan Persekutuan telah diterima untuk memulih zon teras ini?
Pewartaan RKKTC serta pengubahannya telah pun disahkan. Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang sudah pun dipersetujui oleh kerajaan negeri dan mendapat thumbs up (kelulusan) oleh UNESCO. Dan baru-baru ini, Raja Permaisuri Agong bertitah memastikan kerajaan negeri menggunakan SDG dalam pengurusan alam sekitar, mengukuhkan titah Pemangku Raja Pahang untuk mengurus TCRB berlandaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Status TCRB telah dikekalkan. Kewangan telah ditetapkan.
Pemandangan Bukit Ketaya yang menjadi kegemaran penggambaran para pelancong ke Tasik Chini sudah hilang selama-lamanya. Apalagi yang menangguh pelaksanaan pemuliharaan dan pemulihan di rizab biosfera Tasik Chini? – UTUSAN
PENULIS ialah Profesor Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pernah berkhidmat di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Paris di Bahagian Manusia & Biosfera (MAB) dan Program Hidrologi (IHP). Penerima Anugerah UNESCO Malaysia.










