Bersedia kejutan Pas di Simpang Jeram

Bersedia kejutan Pas di Simpang Jeram

BUKAN sesuatu yang mustahil jika Mohd. Mazri Yahya benar-benar membuat kejutan dengan mengalahkan calon Amanah di PRK Simpang Jeram, 9 September ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, dua penganalisis politik membuat pemerhatian bahawa Pakatan Harapan (PH) akan kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram pada 9 September ini. Profesor Madya Dr. Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan di kerusi itu. Ia didorong oleh ketidakpuasan hati mereka terhadap situasi ekonomi semasa.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar juga bersetuju bahawa kedudukan PH di Simpang Jeram agak kritikal. PH boleh hilang kerusi berdasarkan trend sokongan pengundi dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun kepada Perikatan Nasional (PN). Ujarnya, penolakan pengundi muda kepada UMNO dan kerajaan perpaduan berikutan mereka masih mengangkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara. Selain itu, kerajaan perpaduan tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu.

Selain dua sebab diberikan, terdapat lapan faktor lain boleh menjadi punca calon Pas, Dr. Mohd. Mazri Yahya mampu membuat kejutan mengalahkan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Ir. Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram.

Pertama, tidak ada apa-apa menakutkan untuk pengundi membuat perubahan di Simpang Jeram kerana keutuhan kerajaan negeri Johor masih selamat dengan majoriti lebih dua pertiga. Majoriti dua pertiga bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ialah 37 dan kerajaan negeri sekarang mempunyai 40 daripada 56 kerusi.

Kedua, hujah PH perlu dipertahankan bagi mempertahankan kerajaan perpaduan tidak terpakai kerana ia tidak wujud di Johor. Apa yang ada di Johor hanyalah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan semua penjawat utama dalam kerajaan negeri adalah dari BN.

Ketiga, kerajaan negeri terlalu kuat dan kekurangan fungsi semak imbang. BN sahaja sudah memiliki 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Bila BN dan PH bergabung di peringkat Pusat, maka 12 ADUN (sekarang tinggal 11) PH juga menjadi penyokong kerajaan. Bila sesebuah kerajaan termasuk kerajaan negeri Johor menjadi terlalu kuat, maka ia bebas melakukan apa sahaja tanpa ada sekatan yang berkesan. Oleh itu, untuk menjaga kepentingan rakyat Johor, maka lebih bijaksana jika wakil pembangkang dalam DUN Johor ditambah.

Keempat, Pas pernah menang di Simpang Jeram (dahulu Sungai Abong) dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 8 Mac 2008 dan PRU13 pada 10 April 2013 melalui calonnya, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh.

Sepanjang menjadi ADUN, Sheikh Ibrahim telah memberikan khidmat cemerlang kepada segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Ini dijadikan bukti bahawa Mohd. Mazri adalah penerus kesinambungan Pas dalam menyantuni pengundi bukan Melayu.

Kelima, Mohd. Mazri wajar ditonjolkan atas kelayakan beliau sebagai pakar perubatan berprestasi tinggi dalam bidang pembedahan am, vaskular dan endovaskular dengan pengalaman berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Sibu, Hospital Sarikei, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Pakar Regency, Hospital Pakar KPJ Johor dan Royal Perth Hospital.

SUKARELA

Pengalaman luas lebih 20 tahun dalam bidang pembedahan saluran darah dan pembentukan tapak fistula meletakkan beliau sebagai pakar rujuk terkemuka dalam bidang tersebut di negara ini.

Keenam, Mohd. Mazri tidak pernah melobi untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya. Persetujuan beliau untuk menjadi calon semata-mata kerana kecintaan dalam berkhidmat kepada masyarakat seperti ditunjukkan selama ini termasuk khidmat secara sukarela (pro bono) di hospital kerajaan.

Ia juga terbukti melalui khidmat beliau semasa negara dilanda pandemik Covid-19 serta banjir di Kelantan, Selangor dan Johor melalui Khidmat Malaysia. Begitu juga sukarelawan di Gaza dan Syria pada 2013 serta di Turkiye pada 2023 manakala sebagai Pengerusi Johor Bahru Prihatin. Beliau juga dikenali kerana memimpin usaha kebajikan menyantuni gelandangan di sekitar Johor Bahru dan anak-anak golongan asnaf.

Pemimpin bersifat begini yang hanya mempamerkan kecintaan untuk memberi khidmat bakti kepada masyarakat serta mempunyai jawatan dan kedudukan kewangan teguh, sama sekali tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri dan peribadi untuk dikejar melalui jawatan sebagai wakil rakyat sekali gus memastikan penyalahgunaan kuasa tidak akan berlaku.

Ketujuh, kemenangan Mohd. Mazri adalah sesuatu yang baik untuk rakyat Johor seluruhnya kerana ia akan memberi peringatan kepada kerajaan negeri untuk lebih cakna rakyat serta menjadikan setiap ADUN BN dan PH bekerja lebih kuat dalam memberi perkhidmatan dan menjaga kebajikan rakyat bagi mengelakkan mereka juga kalah dalam pilihan raya akan datang.

Kelapan, Mohd. Mazri juga mempunyai personaliti menarik serta bakat kepimpinan tinggi. Beliau adalah seorang bersih dalam erti kata tidak mempunyai sebarang isu dan kontroversi yang boleh menyebabkan timbul keraguan ke atas dirinya, baik dari segi amalan mahupun pertuturan. Beliau juga disenangi oleh pengundi bukan Melayu.

Berdasarkan semua ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika Mohd. Mazri benar-benar membuat kejutan dengan mengalahkan Nazri di Simpang Jeram pada 9 September ini. – UTUSAN

Dr. Mukhtaruddin Musa ialah bekas Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Pengarah Bahagian Penyelidikan Yayasan Strategik Lestari (YSL).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×