UMNO menemui kekalahan yang teruk sekali dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, baru-baru ini. Terdapat pendapat bahawa kekuatan UMNO berbeza-beza mengikut kawasan. Kekuatan kuasa UMNO dilihat lebih kukuh di bahagian selatan Semenanjung. Malah di Pahang dan Negeri Sembilan, UMNO masih mempunyai ruang untuk memperkembangkan pengaruh mereka.
Sesungguhnya dengan jumlah kerusi dimenangi dalam PRN di Melaka dan Johor, UMNO berjaya mentadbir sendiri negeri-negeri tersebut.
Untuk membuktikan UMNO masih relevan dalam arena politika, parti itu perlu menang dan membantu Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya kecil (PRK) di Johor dan Pahang pada September dan Oktober nanti.
Kali ini, Suhaizan Kayat dari Parti Amanah Negara (Amanah) diletakkan sebagai calon PH-BN di kerusi Parlimen Pulai. Nazri Abdul Rahman dari Amanah pula bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di bawah tiket PH-BN.
Semasa PRN yang baru berlalu, ramai penyokong UMNO di Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan kelihatan telah berubah haluan dengan mengundi Perikatan Nasional (PN). Ini menyebabkan calon-calon UMNO banyak kecundang di negeri-negeri tersebut. Bagaimanapun, UMNO masih berjaya mempertahankan kebanyakan kerusi di Negeri Sembilan.
Kali ini, walaupun UMNO tidak bertanding sendiri di kerusi Parlimen Pulai dan kerusi DUN Simpang Jeram, masyarakat umum tertanya-tanya sama ada UMNO sanggup membantu parti sekutunya dalam kerajaan perpaduan, iaitu Amanah untuk mempertahankan kedua-dua kerusi dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kemenangan di kerusi Simpang Jeram dan Pulai sangat mustahak bagi UMNO kerana Johor merupakan kubu tradisi UMNO. UMNO tidak harus dan tidak boleh kalah dalam PRK di Johor. Sekiranya Amanah gagal menyekat kemaraan PN dalam PRK Johor, maka itu bermaksud benteng pertahanan UMNO telah runtuh.
Di Pahang pula, selama ini kawasan DUN Pelangai memang merupakan kubu tradisi UMNO. Oleh demikian, kerusi itu dijangka dipertandingkan oleh UMNO. Kemenangan calon UMNO di kawasan itu amat diperlukan untuk memantapkan tampuk pemerintahan PH-BN di Pahang.
GELOMBANG HIJAU
Struktur pengundi di kerusi Parlimen Pulai adalah seperti berikut, iaitu kaum Melayu 46 peratus, Cina 40 peratus dan India 12 peratus. Semasa PRU15, Amanah di bawah PH memperoleh 55.32 peratus undi dalam pertembungan tiga penjuru. Kali ini dengan sokongan tambahan 27 peratus diperoleh UMNO, maka kemenangan dijangka dicapai Amanah pada PRK dengan agak mudahnya.
Di kerusi DUN Pelangai, majoriti pengundinya kaum Melayu, iaitu sebanyak 73.39 peratus. Pada PRU15, UMNO mengalahkan Pas dengan kemenangan 4,048 undi. Amanah yang menduduki tempat ketiga pula memenangi 2,031 undi. Jikalau sokongan pengundi UMNO kekal tidak berubah dan Amanah tetap mendapat sokongan padu daripada penyokong setia khususnya pengundi Cina, maka PH-BN dijangka terus menang pada kali ini.
Bagaimanapun, situasi di kerusi DUN Simpang Jeram adalah kurang jelas. Hal ini kerana kemenangan Amanah sungguh mendebarkan semasa PRN di Johor pada Mac 2022. Dalam kawasan campuran yang tipikal ini, pengundi Melayu menduduki 53 peratus, Cina 43 peratus dan India hanya dua peratus. 43 peratus pengundi Cina itu merupakan dasar kekuatan Amanah. Pada PRN baru-baru ini, Amanah menang 40.94 peratus mengalahkan Pas yang hanya mengutip 29.72 peratus undi, manakala UMNO cuma mendapat 28.37 peratus sokongan.
Sekiranya undi UMNO tidak berpindah kepada PH-BN tetapi diberikan kepada PN seperti dalam PRN baru-baru ini, maka kedudukan Amanah akan berada dalam bahaya. Kerusi DUN Simpang Jeram merupakan kerusi tunggal yang dimenangi Amanah di Johor. Kadar peratusan keluar mengundi pengundi di kawasan tersebut pada masa itu hanya 54.72 peratus. Kemenangan Amanah dalam PRN lepas sebenarnya sesuatu kejayaan yang boleh dibanggakan.
Sesungguhnya, Johor merupakan pangkalan asas kepada UMNO, namun parti itu menerima kekalahan teruk semasa PRU14 sehingga kehilangan sembilan kerusi Parlimen termasuk di Johor Bahru, Pasir Gudang, Pulai, Batu Pahat, Sekijang, Muar, Pagoh, Sri Gading dan Ledang. Pada PRU15 pula, walaupun UMNO menawan semula kerusi Simpang Renggam tetapi mereka kehilangan kerusi Mersing. Selain itu, kutipan undi di kerusi Tenggara dan Parit Sulong turut mencatatkan rekod paling rendah. Kerusi-kerusi Pengerang, Kota Tinggi dan Sembrong pula dimenangi UMNO dengan majoriti sangat kecil.
Di kerusi-kerusi Parlimen Batu Pahat, Muar dan Pagoh, pungutan jumlah undi UMNO berada di kedudukan ketiga. Pada hakikatnya, UMNO telah hilang dominasinya kepada PN.
PH-BN memiliki 18 kerusi Parlimen di Johor. Namun, perolehan undi mereka tidak melebihi separuh daripada jumlah undi di setiap kawasan Parlimen. Maka, kempen yang lebih agresif dan efektif diperlukan agar calon-calon pelantikan mereka dapat menumpaskan PN. Kemenangan PH-BN sangat penting agar mereka dapat menyekat kemaraan gelombang hijau ke Johor.
Memandangkan hujah-hujah sesetengah pemimpin PN khususnya dalam kalangan wakil rakyat Pas telah banyak menggores hati masyarakat Cina, maka dijangka pengundi Cina di Johor akan terus menyokong PH-BN.
Kesimpulannya, kemenangan tiga kerusi PRK di Johor dan Pahang sangat penting bagi PH-BN. Kejayaan itu boleh menstabilkan pemerintahan kerajaan perpaduan agar dapat memikirkan strategi politik yang lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat selepas PRK. – UTUSAN
Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










