TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dan menang kerusi Parlimen Pulai, Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Pengerusi PH Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Muar ini pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berikutan kemenangan PH pada PRU14, 2018.
Apabila disebut nama Allahyarham, kita sudah pasti akan mengaitkan beliau sebagai pejuang bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Ini setelah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diterajuinya sebagai menteri dalam kerajaan perpaduan telah memperkenalkan Payung Rahmah sejak awal tahun ini dengan pelbagai inisiatif di bawahnya seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Menu Rahmah. Itulah sifat sebenar beliau, iaitu seorang yang sederhana, merendah diri dan sentiasa membantu.
Idea itu diperolehnya setelah pusat khidmat beliau di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakilinya mencatatkan peningkatan bilangan penduduk pelbagai kaum yang memohon bantuan untuk menyara hidup.
Sehingga 14 Julai lalu, lebih sejuta rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar telah menikmati manfaat inisiatif itu yang bertujuan membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Rahmah atau rahmat membawa maksud belas kasihan dan kasih sayang. Ia mempunyai hubung kait dengan konsep rahmatan lil alamin (rahmat untuk seluruh alam) yang menjadi dasar kepada perjuangan Amanah. Salahuddin dalam satu ucapan menyifatkan konsep itu adalah ‘nyawa’ kepada parti berkenaan dan ia perlu dipastikan benar-benar hidup dan tidak mati seperti gagasan Islam Hadhari.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha yang dikahwininya pada 1985 dan mereka dikurniakan empat anak lelaki dan dua perempuan. Saya ada terbaca catatan blog rakan-rakannya yang mendedahkan hidup mereka agak susah sebelum beliau menjadi Yang Berhormat (YB) sehingga isterinya terpaksa mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara hidup.
Saya mengenali beliau secara dekat kerana sering membuat liputan sidang Dewan Rakyat sejak 2004. Allahyarham ketika itu ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Selalunya apabila Utusan Malaysia memerlukan komen daripada pemimpin Pas berhubung sesuatu isu, Salahuddin yang bersuara lembut tapi tegas adalah yang paling mudah untuk ditemu bual berbanding pemimpin Pas lain yang melihat akhbar ini pada waktu itu sebagai ‘milik musuh’, iaitu UMNO.
Walaupun berada dalam kalangan hierarki tertinggi Pas, pendirian Islam Salahuddin adalah lebih lemah lembut dan hujah-hujah beliau bersifat intelektual yang diguna sepenuhnya ketika menyertai Debat Perdana Sekolah Agama Rakyat (SAR) pada 2003 dengan Ketua UMNO Bahagian Chenderoh ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Ketika ditanya wartawan kenapa beliau berpelukan dengan Mohamed Nazri selepas debat itu, beliau menjawab, “Bersalaman dan berpelukan adalah budaya orang Melayu yang bersesuaian dengan ajaran Islam. Walaupun saya berdebat dengan beliau, tetapi beliau bukan musuh saya.”
PENJARA
Perkara itu bukan pelik jika dilihat latar belakangnya yang pernah dilantik sebagai Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Pontian dari 1981 hingga 1983.
Beliau tidak pernah berdendam dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO walaupun pernah ditahan di Penjara Kajang selama sebulan pada 2001 kerana terlibat dalam perhimpunan haram menentang kemasukan pemain kriket Israel ke Malaysia di Universiti Malaya (UM).
Seorang wartawan muda bukan Melayu yang pernah menemu bual Salahuddin bersama-sama saya telah meluah perasaan terkejut dengan pendirian Islam Allahyarham yang disifatkannya sangat sederhana termasuk sering memetik ungkapan tokoh pengurusan Barat, Stephen Covey yang menampakkan beliau seorang kuat membaca dan cukup petah bila berhujah.
Wartawan bukan Melayu itu juga sempat berseloroh dengan penulis apabila menyatakan Salahuddin yang ketika itu berusia 42 tahun seorang kacak dengan mata sepet mirip orang Cina.
Telahan wartawan muda itu sebenarnya tidak jauh tersasar kerana Allahyarham yang dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor berketurunan kacukan Melayu-Cina.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian (1967-1973) dan kemudian menamatkan pengajian di peringkat tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat, Pontian pada 1980. Beliau juga mengikuti pendidikan agama di Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan lulus Kelas Khas pada 1977.
Selepas tamat alam persekolahan, beliau pernah menjadi pegawai kewangan di Bank MUI pada 1980 sebelum mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) (1982-1983) dan selepas itu meneruskan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dalam pada itu, beliau menceburi bidang politik sepenuh masa pada 1983 dan dilantik Naib Yang Dipertua Pas Pontian (1983-1987) dan kemudian menjawat pelbagai jawatan selepas itu sehinggalah menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (2003-2009) dan Naib Presiden Pas Pusat (2009-2015).
Selepas itu, beliau gugur keahlian Pas secara automatik setelah melompat parti kepada Amanah pada 31 Ogos 2015 dengan jawatan sebagai Timbalan Presiden sehingga sekarang.
Beliau mula menjadi ahli Parlimen pada 2004 setelah menang kerusi Kubang Kerian ketika PRU11 pada 2004 dan mempertahankan kerusi sama ketika PRU12 (2008). Pada waktu itu, pemandu bas ekspres Kuala Lumpur-Kota Bharu amat mengenali beliau kerana setiap minggu balik ke kawasan menggunakan perkhidmatan murah itu dan jarang sekali naik kapal terbang.
Ketika PRU13 pada 2013, beliau kalah setelah beralih kawasan bertanding kerusi Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya. Semasa PRU14 pada 2018, beliau menang menentang Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada BN dengan majoriti 28,924 undi dan mempertahankan kerusi sama ketika PRU15 pada 2022 selepas menewaskan Nur Jazlan dengan majoriti lebih besar, iaitu 33,174 undi.
Di DUN Simpang Jeram pada PRU14 pula, beliau menang dengan majoriti 7,687 undi. Beliau menang kerusi sama ketika Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) pada Mac 2022 tetapi dengan majoriti berkurangan kepada 2,399 undi.
Al-Fatihah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










