Mempersiapkan penjawat awam lalui beban sara hidup - Utusan Malaysia

Mempersiapkan penjawat awam lalui beban sara hidup

ANWAR Ibrahim (tiga dari kiri) mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi memastikan agenda untuk menangani isu keterjaminan makanan dan beban sara hidup dapat ditangani. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKANAN adalah keperluan asas manusia sejagat. Oleh itu, Hari Makanan Sedunia yang disambut 16 Oktober setiap tahun bertujuan menonjolkan dan meningkatkan kesedaran tentang isu pemakanan dihadapi penduduk dunia yang mana mereka tidak mampu memperoleh makanan yang sihat.

Selain itu, sambutan Hari Makanan Sedunia juga menekankan betapa pentingnya penduduk mempunyai sumber makanan berkhasiat. Berdasarkan laporan The State of Food Security and Nutrition in the World (SOFI) 2022, bilangan penduduk dunia yang mengalami masalah kebuluran meningkat kepada 828 juta orang pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 46 juta orang sejak 2020 dan 150 juta orang sejak penularan wabak Covid-19.

Di samping itu, SOFI 2022 juga melaporkan 670 juta orang atau lapan peratus daripada jumlah penduduk dunia dijangka terus dibelenggu masalah kebuluran dan isu keterjaminan makanan menjelang 2030.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tahap keterjaminan makanan di peringkat global mula merosot sejak beberapa tahun lepas. Statistik sedunia menunjukkan hampir 3.1 bilion orang tidak mampu untuk memperoleh makanan sihat pada 2020, iaitu peningkatan sebanyak 112 juta dari 2019.

Data ini memberi indikator bahawa dunia semakin jauh daripada matlamatnya untuk menamatkan kebuluran dan memastikan keterjaminan makanan menjelang 2030 sepertimana ditetapkan di bawah Agenda Pembangunan Lestari.

Dalam Sidang Kemuncak Makanan Sedunia 1996, konsep ‘keterjaminan makanan’ ditakrifkan sebagai semua orang pada setiap masa mempunyai capaian secara fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan mencukupi, selamat dan berkhasiat yang dapat memenuhi keperluan pemakanan mereka untuk menjalankan kehidupan aktif dan sihat.

Terdapat empat dimensi dikenal pasti bagi mencapai objektif keterjaminan makanan iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, keselamatan makanan dan pemakanan serta kestabilan dan kemampanan.

Mutakhir ini, cabaran-cabaran global seperti penularan wabak Covid-19, fenomena cuaca atau perubahan iklim melampau, pertambahan penduduk dunia dan pengangguran telah memberi kesan terhadap keterjaminan makanan dunia.

Ancaman terhadap keterjaminan makanan semakin ketara dan dirasai apabila rantaian bekalan makanan sedunia terencat berikutan konflik geopolitik antara Russia dan Ukraine yang merupakan dua pengeluar terbesar bijirin, gandum, baja dan tenaga di dunia.

Mengambil kira senario global semasa, Malaysia juga antara negara di dunia ini yang terdedah kepada risiko krisis keterjaminan makanan. Menurut laporan Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022, Malaysia berada di kedudukan 41 daripada 113 negara.

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pula menunjukkan kebergantungan Malaysia terhadap import komoditi pertanian meningkat kepada 13.7 peratus daripada 7.3 peratus bagi tempoh 28 tahun, iaitu 1987 hingga 2015.

BERKEBUN

Pada 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion. Import makanan Malaysia terus mencatatkan trend peningkatan kepada RM63 bilion pada 2021.

Kebergantungan yang tinggi kepada import makanan dan rencatan dalam rantaian bekalan import makanan boleh mengakibatkan inflasi sekali gus mengurangkan kuasa membeli serta meningkatkan beban sara hidup rakyat. Dalam situasi sebegini, golongan paling terhimpit adalah mereka yang berpendapatan rendah.

Kerajaan memandang serius isu beban sara hidup dan keterjaminan makanan. Dari segi sejarah, dapat dilihat kerajaan telah merangka pelbagai dasar dan polisi serta strategi seperti Dasar Pertanian Negara, Dasar Komoditi Negara, Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025).

Bagi memastikan agenda untuk menangani isu keterjaminan makanan dan beban sara hidup dapat ditangani, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara dan memperkasakan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di samping melancarkan inisiatif Rahmah di bawah gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kesemua dasar dan inisiatif ini merupakan langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan dan meminimumkan beban sara hidup rakyat selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Bagi sektor pertanian pula, sebanyak RM5.3 bilion diperuntukkan melalui Belanjawan 2023 Malaysia Madani.

Dalam era pascanormal dan juga menyedari hakikat terdapat banyak potensi dalam sektor pertanian yang masih belum diterokai sepenuhnya maka ilmu pengetahuan baharu, tenaga dan daya kreativiti boleh dimanfaatkan dengan masyarakat mempraktikkan pertanian bandar atau aktiviti berkebun di rumah.

Aktiviti pertanian seumpama ini membo­lehkan masyarakat mengoptimumkan penggunaan ruang sedia ada di tempat kediaman dan pada masa sama memupuk minat untuk bercucuk tanam serta menghasilkan makanan sendiri.

Bagi menyahut usaha kerajaan untuk memperluaskan agenda pembangunan Malaysia Madani khususnya dalam menangani beban sara hidup rakyat, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) mengambil inisiatif menawarkan program latihan secara berkala seperti Kursus Seni Berkebun di Rumah dan Kursus Pertanian Bandar bagi penjawat awam.

Fokus dan penekanan diberikan terhadap bidang pertanian melalui program latihan di sektor awam bukan sahaja dapat membantu penjawat awam untuk membina ketahanan diri serta keupayaan sara diri tetapi juga boleh mendatangkan kesan limpahan kepada masyarakat berasaskan konsep Satu Rumah, Satu Tanaman Makanan dalam mendepani sebarang kejutan ekonomi yang melanda. – UTUSAN

PENULIS ialah Timbalan Ketua Pusat, Sub Pusat Pengurusan Projek, Pusat Pengajian Dasar Awam, Pengurusan Projek dan Governan, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×