Media seharusnya berhijrah sebagai pendakwah

Media seharusnya berhijrah sebagai pendakwah

MEDIA suatu ketika dahulu berperanan sebagai propagandis zaman. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIJRAH bukan hanya merujuk pertukaran kalendar Islam saban tahun, tetapi keupayaan menganjak paradigma untuk terus menyumbang pada pendidikan dan tarbiyah masyarakat ke arah sebuah kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya. Menyerap roh perjuangan baginda Rasulullah SAW yang memaknakan berhijrah itu meninggalkan sesuatu atas dasar untuk melakukan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah, media bertanggungjawab membawa masyarakat melakukan anjakan paradigma bagi mencapai maksud hijrah hakiki.

Hanya dengan berilmu dan menyampaikan ilmu (berdakwah), umat dapat mengeluarkan diri daripada segala kejahilan dan menuju kejayaan (al-falah). Seterusnya berjaya mewujudkan sebuah negara bertamadun sebagaimana digariskan dalam konsep Malaysia Madani.

Usaha membentuk naratif ilmu ini perlu diselarikan dengan perkembangan teknologi. Kini kecerdasan buatan (AI) yang digembur-gemburkan bersaing dengan manusia hangat diperbincangkan mutakhir ini.

Dalam negara yang majmuk bangsa dan agama ini, pendekatan ilmu sangat wajar dititikberatkan. Ini untuk mendidik masyarakat khususnya generasi baharu supaya tidak lemas dalam persekitaran ledakan teknologi dan arusnya yang deras. Isu-isu keagamaan, pendidikan dan moral serta cabaran kepada kekuatan jiwa bakal ditebak akan mendominasi kita dengan penggunaan AI ini sekiranya tiada persiapan dilakukan terlebih awal.

Dunia pendidikan masih berlegar pada aspek kognitif seperti menyumbat otak anak-anak hanya dengan teknik menghafal tarikh dan peristiwa dalam pelajaran Sejarah. Bagaimanapun, tanpa menyuntik elemen kesedaran, hal itu boleh menghancurkan sistem pendidikan dan kurang membantu pertumbuhan minda generasi pelapis.

Begitu juga dengan pendakwah yang hanya membacakan hukum-hakam tanpa sisipan kerohanian dalam ceramah akan ditinggal jauh oleh keupayaan AI yang mampu mengambil peranan mereka dengan lebih efisien.

Oleh hal demikian, media sebagai tonggak keempat (fourth estate) dalam hierarki pentadbiran sesebuah negara perlu bersikap proaktif dan dinamik menyalurkan ilmu dan maklumat. Ini boleh mendidik masyarakat supaya lebih memahami setiap perkembangan teknologi baharu serta cara yang tepat untuk berdepan dengan cabaran-cabarannya.

Hal ini kerana masyarakat celik ilmu akan lebih saling hormat-menghormati dan menjaga hubungan vertical (menegak) mahupun horizontal (mengufuk). Dengan suluhan ilmu melalui rancangan-rancangan diagendakan sedemikian, media mampu memandu arah masyarakat untuk mengambil sikap bijaksana dalam setiap langkah kehidupan.

Media juga perlu menggandakan usaha menyuntik ilmu duniawi dan ukhrawi supaya masyarakat yang terdidik ini menjalani kehidupan dengan panduan ilmu dan agama secara holistik. Usaha ini bertepatan dengan perkembangan semasa dunia di mana letusan Revolusi Industri (IR) 4.0 tidak boleh dipandang sebagai ancaman, sebaliknya perlu dihadapi dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Media mempunyai ruang komunikasi luas dengan masyarakat seharusnya bertindak sebagai pendakwah yang sentiasa meningkatkan potensi diri. Salah satunya dalam memanfaatkan AI untuk lebih inovatif dan kreatif dalam berkarya serta sentiasa kaya ilmu, jujur dan amanah. Masyarakat yang telah lama terdedah dengan gajet dan teknologi ini tidak memadai dididik daripada aspek ritualistik sahaja. Akan tetapi perlu digabung jalinkan dengan pelbagai ilmu lain yang boleh menangkis segala propaganda musuh dalam pelbagai bentuk.

Serangan pemikiran yang dijelmakan dalam bentuk hiburan, pendidikan, budaya dan sebagainya terlalu pantas sehingga kadangkala membuatkan kita lelah menangkisnya. Lebih malang lagi sekiranya media hanya menjadi pengikut yang menari mengikut paluan rebana propaganda orang lain, bukannya mengambil posisi sebagai pemukul gendang ataupun penganjur persembahan itu sendiri.

Media yang suatu ketika dahulu berperanan sebagai propagandis zaman harus mengambil sikap lebih matang dan mengelakkan daripada terikut-ikut dengan pendekatan media sosial yang sesetengahnya kurang bertanggungjawab.

Mengelakkan diri daripada laporan bersifat ‘menyapu daun kering dari pohon yang sakit akarnya’ tidak membawa masyarakat ke arah lebih baik. Sebaliknya hanya menyumbang kekacauan fikiran dan menghenyak mereka dalam suatu keadaan yang tiada penyelesaian.

Media seharusnya membentuk arus pemikiran masyarakat dengan naratif yang benar terhadap sesuatu isu melalui pendekatan ilmu sebagai lampu pandu ketika melalui gelapnya lorong kejahilan bersimpang-siur.

Pertumbuhan masyarakat berperadaban yang bijak memanfaatkan teknologi tanpa menggadaikan agama adalah tonggak utama dalam beradaptasi dengan dunia masa kini.

Kebijaksanaan ini memerlukan ilmu agar tidak keliru dalam membezakan antara gula dan garam yang hampir serupa pada zahirnya. Maka media yang dianalogikan sebagai kepala keretapi laju itu harus tahu destinasinya.

Justeru, selari dengan tuntutan zaman, TV AlHijrah mengguna pakai bantuan AI dalam kerja-kerja menyampaikan ilmu dan dakwah melalui rancangan dan program dirangka.

Bakal menyambut ulang tahun ke-13 penubuhannya pada 1 Muharam (19 Julai), stesen ini meneruskan agenda menyatukan ummah dengan slogan Satukan Umat Dengan Ilmu, Pada masa sama, stesen televisyen berkonsepkan Islam ini juga akan terus berganding bahu dengan para ulama dan cendekiawan dalam menangani persoalan seputar isu etika sosial dalam menghadapi cabaran global.

Tidak sekadar berperanan menyampaikan ilmu dan menyebar dakwah, tugas lebih besar tergalas di pundak stesen ini ialah memastikan sistem moral dan kod etika sosial benar-benar mantap.

Hal Ini termasuk mengimbangi penggunaan AI dengan kecerdasan manusia supaya teknologi tidak mendominasi dan menyimpangkan matlamat kehidupan yang boleh merugikan ummah. Ini kerana sebuah tamadun yang terbina tanpa panduan agama dan ilmu akan melorongkan masyarakat ke jurang kemurkaan Allah dan kerosakan seperti perbalahan sesama umat. – UTUSAN

PENULIS ialah Eksekutif Kanan Digital Media, TV AlHijrah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×