Masanya Rizab Biosfera Tasik Chini diberi penghormatan

Masanya Rizab Biosfera Tasik Chini diberi penghormatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIZAB Biosfera Tasik Chini (TCRB), nama yang digunapakai pada permulaan penghantaran dossier (dokumen) permohonan ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), 10 tahun lalu. Sekarang telah disambung pengiktirafan sebagai Tapak UNESCO Rizab Biosfera di bawah program Manusia dan Biosfera (MAB). Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri Pahang, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta semua pemegang taruh TCRB terutama para penyelidik yang merupakan salah satu fungsi teras dalam semua tapak rizab biosfera.

Perlu diingat, 10 tahun akan datang, TCRB akan dinilai sekali lagi. Mungkin kali ini TCRB perlu lebih bersedia. Banyak perkara perlu dilaksanakan supaya penilaian seterusnya berjalan lancar. Satu daripada perkara penting adalah kawasan zon TCRB. Pada asalnya, TCRB diluluskan oleh UNESCO dengan syarat dalam 10 tahun, tapak ini dapat mengukuhkan ketiga-tiga zon dengan jelas dan ditadbir di bawah satu badan yang teratur bagi memastikan pengurusannya dijadikan tempat pembelajaran untuk pembangunan mampan pada zon teras, zon penampan dan zon peralihan.

Kerajaan negeri menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) pada 2021 bagi memastikan pengurusan yang mampan berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan. Bagaimanakah PTNP akan terlibat dengan pengurusan tapak biosfera ini memandangkan dossier asal dalam pencalonan TCRB ini telah ditandatangani oleh Majlis Daerah Pekan (MDP) sebagai pihak berkuasa pentadbiran? MDP juga telah mengeluarkan draf Rancangan Khas Kawasan (RKK) Tasik Chini di mana zon-zon TCRB telah dizonkan mengikut ketetapan MDP.

Mungkinkah akan terdapat satu kolaborasi di antara PTNP dengan MDP nanti? Ini sangat penting kerana akhirnya di dalam audit Periodic Review akan datang, perlu ada kepastian siapa yang akan mentadbir TCRB, siapa yang akan memohon bajet tapak ini dan siapa yang akan menyiapkan dokumen audit Periodic Review 10 tahun akan datang pada 2029.

HUTAN DARA

Mengikut kenyataan Jabatan Perhutanan, sebanyak 57.9 peratus kawasan guna tanah di Tasik Chini akan diwartakan sebagai tapak TCRB. Ini merupakan satu kejayaan pemuliharaan kerana kawasan ini terdiri daripada hutan dara dipterokarpa tanah rendah. Jika kawasan ini akan dijadikan zon TCRB sebagai zon teras, sudah pasti kepelbagaian biologi di Tasik Chini boleh dikembalikan. Kajian kepelbagaian biologi menunjukkan kadar mamalia kecil telah menurun dan terdapat juga spesies yang sudah pupus. Satu perancangan pemuliharaan biologi amat diperlukan jika kawasan ini mahu mencapai mandat pemuliharaan kepelbagaian. Menurut PTNP, lokasi ini akan dijadikan kawasan pelancongan. Maka seharusnya tarikan utama pelancong adalah kepelbagaian.

Semua tapak rizab biosfera UNESCO mempunyai rangkaian penyelidikan yang membantu pentadbiran dalam membuat dasar dan keputusan. Setakat ini, aktiviti pemuliharaan dijalankan di TCRB kurang diselaraskan dengan penyelidikan. Contohnya, aktiviti pemulihan yang sedang dijalankan oleh Jabatan Perhutanan pada bekas tanah lombong telah ditanam dengan tumbuhan penutup bumi. Adakah cara ini boleh mengembalikan kepelbagaian biologi kawasan ini atau mampukan tanah yang pekat dengan logam berat boleh dibersihkan hanya dengan penanaman tumbuhan penutup bumi? Adakah mana-mana kumpulan penyelidik yang mengkaji teknik-teknik ini dan mendokumenkan impak dan kejayaan rancangan ini? Terdapat kajian dijalankan di loji penapis minyak Petronas menunjukan dengan teknik fitoremediasi boleh membebaskan dan membersihkan tanah daripada hidrokarbon dan logam berat sehingga diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar sebagai kawasan yang bersih daripada pencemaran.

Pemuliharaan juga sangat penting bagi mengembalikan ulu sungai pembekal yang dahulunya mengalir ke Tasik Chini. Sungai-sungai pembekal ini memainkan peranan penting untuk lembangan Tasik Chini yang juga merupakan zon teras TCRB. Satu jawatankuasa perlu ditubuhkan secara tetap bagi memastikan kawasan tasik tidak tercemar jika ingin dijadikan kawasan pelancongan.

Semasa pencalonan sebuah tapak dari Korea Selatan diterima sebagai tapak rizab biosfera UNESCO, seluruh negaranya menyambut dengan gilang gemilang. Berbanding TCRB yang juga mendapat pengiktirafan pada tahun dan masa sama tetapi tiada sambutan diadakan. Hanya ‘sejuk beku.’ Mungkin inilah masanya untuk TCRB diberikan penghormatan oleh kerajaan negeri Pahang setelah mendapat pengiktirafan semula selepas 10 tahun.

Sekarang Malaysia mempunyai tiga tapak rizab biosfera UNESCO, maka NRECC perlu mempunyai sebuah jawatankuasa kebangsaan MAB tetap serta laman web yang tulus supaya dapat dibaca oleh rakyat.

Pandangan rakyat perlu dialu-alukan memandangkan konsep tapak ini juga diasaskan dengan pembelajaran dan komuniti. Di sesi-sesi mesyuarat MAB, Malaysia perlu proaktif dalam mendokumentasi laporan berkaitan dengan rizab biosfera negara. Setelah 10 tahun, Malaysia perlu mampu memenangi Anugerah Saintis Muda atau Geran Michael Batisse yang dianugerahkan khusus untuk negara-negara membangun seperti Malaysia. TCRB sekarang sudah matang dan boleh bersaing dengan negara-negara Asia Tenggara lain khususnya dalam program MAB.

Selamat hari jadi ke-10 tahun TCRB! – UTUSAN

PENULIS ialah Profesor Kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pernah berkhidmat di Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Paris di Bahagian Manusia dan Biosfera (MAB) dan Program Hidrologi (IHP). Penerima Fellowship Bioteknologi UNESCO. Penerima Anugerah UNESCO Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×