Legasi turun padang jenguk kesusahan rakyat - Utusan Malaysia

Legasi turun padang jenguk kesusahan rakyat

RAKYAT teruja berswafoto bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN rapat antara raja dan rakyat sudah menjadi prinsip dan legasi keluarga diraja Pahang dalam mengukuhkan ikatan silaturahim antara pemerintah dan rakyat.
Istilah “Raja dan rakyat berpisah tiada” terus dipegang erat oleh keluarga diraja Pahang dan kini ia diteruskan oleh Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 15 Januari 2019, kepemimpinan dan keperibadian Al-Sultan Abdullah sememangnya begitu disenangi rakyat negeri ini.
Sejak menjadi Tengku Mahkota Pahang seawal usia 16 tahun lagi dan kini Sultan Pahang, rakyat jelata memang senang hati dan bersyukur kerana dikurniakan anak raja yang berjiwa rakyat dan kuat beragama. Baginda Al-Sultan Abdullah tidak canggung untuk bersama rakyat setiap kali berlaku bencana termasuk banjir, ribut dan kes lemas.
Seorang ibu tunggal di Pekan, Pahang, Norhasnah Mat Yunos, 62, berkata, Al-Sultan Abdullah tidak lokek menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban rakyat yang dilanda kesusahan.
“Saya juga tidak akan lupa dan menjunjung kasih terhadap Al-Sultan Abdullah yang mengurniakan saya rumah baharu di Kampung Sungai Ganchong kerana rumah lama setiap tahun dilanda musibah banjir.
“Saya memang tidak pernah terfikir untuk dapat rumah setelah tinggal di sini sejak 41 tahun lalu,” katanya.Pada 15 Februari lalu, penerima rumah Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) yang juga orang kurang upaya (OKU) teruja apabila menerima bantuan kediaman baharu kurniaan Al-Sultan Abdullah di Kampung Tanjung Pulai di Pekan, Pahang.
Penerima rumah YASA, Mohd. Khairi Othman, 47, berkata, dia tidak pernah menyangka akan mendapat sebuah rumah baharu lebih-lebih lagi merupakan kurniaan diraja.
Beliau yang merupakan OKU cacat kedua-dua kakinya sejak lahir berkata, kurniaan itu disifatkan sebagai rezeki terbesar yang pernah diterima dalam hidupnya.
Sememangnya Al-Sultan Abdullah pemerintah yang sentiasa mendahulukan rakyat, sayang kepada rakyat dan sentiasa mahu berdamping dengan rakyat ketika susah atau senang menyebabkan kelibat baginda sentiasa dinanti-nantikan rakyat jelata.
Baginda sentiasa kelihatan di kawasan dilanda musibah atau banjir, kebakaran atau kejadian lemas untuk berdamping bersama rakyat dan bertanya khabar mereka seterusnya menghulurkan bantuan segera.
Penulis masih ingat pada 27 Disember 2021, walaupun keadaan Kampung Serdang di Temerloh, Pahang masih berlumpur namun Al-Sultan Abdullah tetap melawat kawasan tersebut dan bertemu serta bertanya khabar dengan penduduk terkesan banjir di situ.
Selain sanggup melalui laluan yang berlumpur, keprihatinan Seri Paduka terserlah apabila berkenan mendengar keluhan mangsa terjejas teruk akibat banjir di situ.
Al-Sultan Abdullah turut menaiki jambatan gantung di kampung itu sambil meninjau Sungai Semantan yang melimpahkan banjir di kawasan tersebut pada ketika itu.
Sempena Hari Keputeraan Ke-64 Al-Sultan Abdullah pada hari ini, semoga Allah SWT melanjutkan usia dan memelihara keselamatan Seri Paduka Baginda sebagai pemerintah yang memayungi negeri ini.
Didoakan semoga Pahang terus maju dan sejahtera di bawah naungan duli Tuanku. Raja dan rakyat berpisah tiada, dirgahayu Tuanku. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN