POLITIK memang tidak dikenali sebagai sebuah arena yang ‘bersih.’ Ia selalu terpalit dengan 1,001 skandal, manipulasi dan tindakan yang meragukan, Namun sejak akhir-akhir ini, bukan sahaja tindakan sebilangan ahli politik ini menimbulkan keresahan, malah tutur kata mereka juga sudah semakin ‘kotor’ dan mengundang kebimbangan.
Tohmahan dan retorik politik mereka kini disampaikan dengan penuh bombastik dan keceluparan, Mereka tidak segan silu mengeluarkan kata-kata kesat dan memanggil musuh politik dengan pelbagai gelaran memalukan dalam ucapan-ucapan dan hantaran-hantaran di media sosial, demi mencapai cita-cita politik masing-masing. Apa yang penting bagi mereka adalah bagaimana untuk menggambarkan musuh politik dengan paling teruk dan jelik bagi mengundang persepsi dan emosi negatif dalam kalangan pendengar.
Tambah mengejutkan, gaya berpolitik sebegini disambut hangat oleh begitu ramai rakyat Malaysia seperti dapat dilihat menerusi reaksi mereka terhadap potongan klip-klip ucapan ahli-ahli politik ini di media sosial. Ia dianggap sebagai normal kerana ahli-ahli politik sebegini disifatkan bercakap dalam bahasa mereka atau bahasa yang digunakan sehari-hari. Ada pula mengangkat ahli-ahli politik sebegini sebagai seorang hero kerana keceluparan mereka yang dianggap sebagai simbol keberanian dan kejantanan.
Sebenarnya ini bukanlah fenomena baharu dalam politik seantero dunia.
Banyak pemimpin dunia seperti Presiden Russia, Vladimir Putin dan bekas Presiden Flipina, Rodrigo Duterte yang menggunakan retorik politik celupar sebegini bagi mengukuhkan kekuasaan mereka. Ia juga berjaya menjadikan penyokong masing-masing begitu taksub dengan mereka tanpa menghiraukan betul salahnya tindakan sebegitu.
Lihat sahaja bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. Tanpa mengira betapa celupar, rasis, seksis dan penuh skandalnya Trump, para penyokongnya masih begitu taksub dengan beliau sehingga ke hari ini. Malah, beliau kekal mendahului senarai calon Presiden Parti Republikan bagi Pilihan Raya Presiden AS tahun depan dengan majoriti sehingga 30 mata berbanding pencabar terdekatnya menerusi satu kaji selidik Reuters/Ipsos, baru-baru ini.
TERHIBUR
Normalisasi retorik politik celupar ini mengundang pelbagai persoalan. Apakah rakyat Malaysia tidak mempunyai pemikiran yang kritis sehingga begitu mudah ‘terhibur’ dan terpengaruh dengan gaya berpolitik sebegini, dibandingkan dengan politik yang berpaksikan idea-idea progresif tentang pembangunan dan kesejahteraan? Apa pula yang berubah dalam kehidupan sebenar selepas ini semasa mereka bersorak-sorai sambil mendengar keceluparan ini dilontarkan?
Juga, di manakah norma-norma kesopanan dan kesusilaan yang telah sekian lama menjadi pegangan rakyat seperti disebut dalam Rukun Negara? Dan di mana pula nilai adab sopan yang dianjurkan oleh semua agama?
Sangat menyedihkan saat melihat ahli politik menggunakan bahasa kasar dan kesat dalam retorik politik mereka. Hal ini bakal mendatangkan kesan yang tidak baik kepada remaja dan kanak-kanak. Maka tidak hairanlah jika kita lihat hari ini, perbualan anak-anak sekolah dan remaja begitu dipenuhi dengan pelbagai kata-kata kasar seperti b**i, s**l dan l****u yang tidak membawa sebarang maksud pun kerana ahli politik berpengaruh besar juga menggunakannya secara terbuka.
Sudahlah sesetengah ahli politik ini menjadikan kehidupan rakyat marhaen semakin sukar dan keliru dengan segala pertikaian bersifat remeh dan ketidakpuasan hati bertunjangkan persepsi semata-mata yang mereka bawa, kini kita terpaksa pula berhadapan dengan keceluparan mereka di pentas politik. Adakah kehidupan tidak cukup menekan kita dari segi ekonomi dan sosial sehingga terpaksa pula melindungi anak-anak daripada keceluparan sebegini?
Realitinya, kita mungkin tidak boleh berharap terlalu banyak kepada ahli politik untuk mengedepankan mandat yang diberi kepada mereka berbanding cita-cita dan kepuasan politik mereka. Maka, mungkin telah sampai waktunya kita harus memilih tentang generasi masa hadapan dan gaya berpolitik apa yang kita ingin bina dan amalkan. Adakah ia berdasarkan kepada idea, pencapaian dan kesopanan atau sekadar bersandarkan retorik, luapan emosi sesaat dan keceluparan tanpa batasan?
Ingatlah, jika kita membenarkan normalisasi keceluparan ini sekarang, maka bersedialah untuk mendengar lebih banyak lagi hal serupa dan mungkin lebih jelik pada masa akan datang. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak.










