Kempen akhirat lawan kempen duniawi - Utusan Malaysia

Kempen akhirat lawan kempen duniawi

Jika tengok pada sejarah pilihan raya, walaupun dikatakan menunggang agama sebagai strategi untuk mendapatkan sokongan, tetapi bukannya Pas menang dalam semua pilihan raya. Ada ketikanya mereka tewas dan ada masanya mereka tewas teruk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika tampil sebagai tetamu dalam podcast Keluar Sekejap Khairy Jamaludin dan Shahril Hamdan minggu lalu terang dan jelas menyatakan pendekatan kempen yang telah dan akan mereka gunakan terutama pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Ketika ditanya oleh Khairy mengapa PN terutama Pas tidak mengambil pelbagai masalah yang berlaku sekarang sebagai bola tanggung untuk menyerang Kerajaan Perpaduan atau kerajaan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH), jawapan Menteri Besar Kedah itu jelas mengenai pendekatan yang akan mereka gunakan dalam menarik sokongan pengundi dan rakyat.
Tanya Khairy, sekarang ini ada pelbagai isu yang bolehkan dimainkan oleh PN untuk serang BN-PH. Ada isu ekonomi yang tidak berkesudahan, nilai ringgit jatuh, harga barangan, kos sara hidup, hutang negara tinggi dan pelbagai isu lain membabitkan rakyat, tetapi mengapa PN terutama Pas tetap ‘menunggang’ agama?
Tetapi jawapan yang diberikan oleh Sanusi menyebabkan Khairy dan Shahril Hamdan hilang kata-kata. Malah, orang lain pun akan turut terkedu dan tidak boleh hendak cakap apa.
Dalam jawapan kepada soalan panas Khairy itu, Sanusi mengatakan pendekatan Pas melangkaui elemen duniawi seperti ekonomi, harga barang, kos sara hidup dan sebagainya. Katanya, pendekatan merangkumi persoalan yang lebih besar selepas mereka mati. Persoalan yang mereka perlu jawab selepas meninggal dunia. Persoalan akhirat.
Ramai yang berkata, jawapan Sanusi itu menyebabkan BN-PH kena check-mate dalam kalangan pengundi Melayu Islam. Bagi pengundi Islam itu adalah hujah yang sukar untuk dilawan kerana membabitkan agama dan akidah.
Tetapi itu adalah cara Pas. Sejak ia ditubuhkan atas nama Parti Islam SeMalaysia, agama adalah elemen utama dalam setiap kempen pilihan raya mereka dari dahulu hingga sekarang.
Cuma kaedah yang digunakan yang berbeza. Ada ketikanya mereka menggunakan pendekatan keras hingga dianggap sebagai ekstremis. Dan ada ketikanya pula pendekatan memujuk dan berlembut digunakan untuk menarik sekongan pengundi.
Jika tengok pada sejarah pilihan raya, walaupun dikatakan menunggang agama sebagai strategi untuk mendapatkan sokongan, tetapi bukannya Pas menang dalam semua pilihan raya. Ada ketikanya mereka tewas dan ada masanya mereka tewas teruk. Di ketika lain pula mereka menang dengan bergaya terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sejak dari awal penubuhannya, agama adalah elemen utama dalam kempen-kempen Pas. Sebab itu, dalam kalangan pengundi Melayu-Islam di luar bandar terutama di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis kedudukan Pas akan kukuh kerana kempen akhirat mereka.
Tetapi adakah menggunakan kempen akhirat itu menyebabkan Pas kebal di keempat-empat negeri ini? Jawapannya tidak juga. Di Kelantan boleh kita iyakan bahawa Pas memang konsisten. Tetapi tidak di Terengganu, Kedah dan Perlis. Di Perlis, Pas hanya berjaya kuasai pada PRU15. Di Terengganu dan Kedah ada kalanya mereka menang, dan di ketika lain pula mereka tewas.
Jadi, adakah kempen akhirat ini memberi kelebihan kepada Pas di kawasan DUN yang majoriti pengundinya Melayu-Islam pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan? Jawapannya bergantung kepada pendekatan yang digunakan oleh BN-PH dalam berhadapan dengan kempen akhirat Pas ini.
Sebab dalam Islam elemen dunia juga penting dalam mencapai kejayaan di akhirat. Jika hidup rakyat susah, miskin, terpaksa berhempas pulas dalam kehidupan tentunya banyak benda tidak dapat dilakukan untuk mengukuhkan agama.
Dalam kempen PRN di enam negeri ini BN-PH perlu bekerja keras meyakinkan rakyat bahawa kerajaan perpaduan pimpinan mereka berada di landasan yang betul untuk kembali memulihkan apa juga isu yang dihadapi rakyat terutama yang berhadapan dengan ekonomi.
Majoriti pengundi yang akan turun mengundi pada 12 Ogos ini tidak peduli apa itu dasar fiskal atau pendekatan ekonomi mikro dan makro. Mereka tidak peduli Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pendapatan perkapita naik atau turun.
Yang mereka peduli adalah mengenai harga beras, ayam, minyak masak, susu, lampin dan pendidikan anak serta pelbagai keperluan duniawi lain yang mereka perlukan dalam menjalani kehidupan harian.
Walaupun Pas menjual akhirat sebagai modal kempen mereka, tetapi tuntutan duniawi rakyat dan pengundi juga tidak boleh diketepikan. Apa yang rakyat alami dalam kehidupan harian juga bakal menentukan ke mana sokongan yang diberikan.
Ketika Pas menawarkan kebahagiaan di akhirat dan BN-PH pula perlu meyakinkan rakyat dengan naratif baharu hala tuju negara yang akan memberi manfaat pada semua.
Keyakinan penting untuk mendapatkan sokongan pengundi. Kenyataan-kenyataan retorik, merapu, kontradik dan makan diri perlu dielakkan. Ia hanya akan memberi kelebihan kepada PN dalam situasi sekarang.
Posisi kerajaan itu lebih sukar dalam menjelaskan isu berbanding pembangkang yang sifatnya menghentam dan mencari kesalahan.
Perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemilik Tesla, Elon Musk kelmarin diharap membuka naratif baharu dalam memulihkan keyakinan dalam dan luar negara terhadap keupayaan negara kembali bangkit menjadi salah satu kuasa ekonomi Asia.
Ia juga diharap menjadi penawar kepada segala macam bentuk keresahan rakyat, termasuk menjadi senjata berhadapan dengan kempen akhirat PN. Apa pun keputusan akhir tetap di tangan rakyat.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×