KECERDASAN buatan (AI) menjadi perbualan utama dalam dunia teknologi masa kini. AI adalah kemampuan mesin untuk menyelesaikan tugas dan aktiviti yang biasa dilakukan oleh manusia. AI mengumpul dan mengolah data diterima menjadi informasi berguna agar dapat menyelesaikan tugas diberikan.
AI pertama kali diperkenalkan oleh John McCarthy dalam program AI Darthmounth Summer Research Project Artificial Intelligence (DSRPAI). Namun, projek ini kurang mendapat sambutan ketika itu dan perkembangan AI agak perlahan, Namun, dengan kemajuan pesat dalam bidang komputer, perisian canggih dan keupayaan pengumpulan data yang besar, AI berkembang pesat dalam beberapa sektor masyarakat.
Penggunaan algoritma atau nama asalnya, al-Khwarizmi merentasi pelbagai bidang. Sebagai contoh, dalam bidang agama, perubatan, pendidikan, pengangkutan, pertahanan dan lain-lain lagi.
Dalam bidang agama misalnya, AI boleh mengumpul kesemua data mengenai hukum, fatwa, keputusan penghakiman mahkamah syariah atau apa sahaja berkaitan agama dari seluruh dunia. Jadi, masyarakat boleh mengaksesnya secara percuma di hujung jari sahaja. Maklumat yang kita kehendaki ini boleh juga bertanya kepada Chat GPT, namun data mereka hanya setakat September 2021.
Begitu juga mencari pasangan hidup atau jodoh yang sesuai, misalnya. AI boleh mengadakan padanan sesuai dengan calon pasangan hidup. Padanan dari segi tahap pendidikan, hobi, minat, kedudukan kewangan dan lain-lain lagi. Dengan adanya padanan yang paling sesuai atau sekufu (kesetaraan), kemungkinan AI dapat mengurangkan kadar perceraian di Malaysia secara teorinya.
Begitu juga poligami, AI dilihat mampu memberi pandangan mengenai siapakah calon yang layak untuk berpoligami, iaitu dapat berlaku adil dalam semua aspek. Saya melihat poligami ini dalam konteks untuk menambah umat Islam di dunia ini ke arah kebangkitan semula Islam di akhir zaman dan mungkin ramai tidak bersetuju. Saya berpandangan akan tiba masanya umat Islam adalah agama yang mempunyai penganut terbesar di dunia. Menurut Timesprayer.com, populasi umat Islam mewakili lebih 25 peratus, iaitu 2.02 bilion orang. Perkembangan penganut Islam juga dipercayai lebih cepat berbanding agama lain.
Dalam bidang perubatan, AI telah membantu doktor menganalisis data pesakit. mendiagnosis penyakit dengan cepat dan memberikan rawatan sesuai.
Dalam bidang pendidikan, kerajaan atau majikan tidak lagi perlu menghantar kakitangan untuk belajar sepenuh masa di luar negara selama bertahun-tahun secara sepenuh masa. Ini kerana kebanyakan bahan rujukan seperti jurnal, tesis, buku makalah prosiding dan lain-lain boleh diakses secara dalam talian kecuali bidang-bidang tertentu.
Sebagai contoh, bidang yang mengkaji manuskrip lama atau bahan makmal yang tidak terdapat di Malaysia. Perkara ini dapat menjimatkan kos dan universiti di Malaysia kini mempunyai kualiti tinggi dan diperakui di peringkat antarabangsa. Perbincangan dengan penyelia juga dapat dilakukan secara dalam talian. Mungkin hanya beberapa kali kunjungan diperlukan ke luar negara.
SETEL
Dalam bidang pengangkutan pula, saya melihat isu yang viral di media sosial apabila warga asing membeli petrol subsidi kerajaan, iaitu RON 95 berwarna kuning. Sekiranya kita menggunakan teknologi AI, pam minyak RON 95 secara automatik akan berhenti atau off apabila dapat mengesan ada kenderaan plat asing mengisinya. Aplikasi SETEL yang dibangunkan oleh Petronas mungkin boleh memasukkan ciri ini melibatkan imbas dan pengaturcaraan atau programming.
AI bukan menggantikan pekerjaan tetapi memberi kita pilihan sama ada menggunakan tenaga manusia atau AI. Sebagai contoh, DJ radio yang melibatkan manusia boleh digantikan dengan AI.
Bagaimanapun, aspek etika memainkan peranan penting dalam perkembangan AI kerana terdapat risiko dan cabaran perlu dihadapi. Contohnya, penggunaan data peribadi dan privasi menjadi isu utama. Terdapat kebimbangan tentang bagaimana data individu dikumpul, digunakan dan dilindungi oleh sistem AI.
Seperkara lagi, kebimbangan tentang penggunaan AI ketika membuat keputusan yang berpotensi mengabaikan nilai kemanusiaan dan menghasilkan keputusan tidak adil. Sebagai contoh, kenderaan menggunakan AI sepenuhnya dan tidak mempunya pemandu ada ketika perlu membuat keputusan sama ada melanggar A atau B jika A dan B ini tidak dapat dielakkan.
Akhir sekali, sudah tiba masanya kita mempunyai Institut Kecerdasan Buatan Negara yang dapat mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang ini dari dalam dan luar negara. Ekonomi negara telah berubah mengikut peredaran zaman. Suatu ketika dahulu, Malaysia bergantung kepada eksport getah dan bijih timah. Oleh sebab itu, kerajaan menubuhkan Institut Penyelidikan Getah (RRI).
Begitu juga hasil eksport seperti kelapa sawit, kerajaan menubuhkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Institut ini memainkan peranan penting dalam menjalankan pelbagai penyelidikan berkaitan bidang tujahan mereka.
Kini, apa yang lebih penting ialah data. Bagaimana kita boleh mendapat manfaat daripada data terutama dari sudut ekonomi, pertahanan, kesihatan, kesejahteraan rakyat dan banyak lagi. Malaysia tidak mampu untuk menguasai semua bidang tetapi kita boleh menguasai bidang AI yang kini amat terkait dengan kehidupan. – UTUSAN
Dr. Nor Azaruddin Husni Nuruddin ialah Felow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










